Close Menu
PanduLaju.com.my
  • Auto Terkini
  • Roda4
  • Roda2
  • Pandu Uji
  • Bikin Auto
  • Autotainment
  • Sembang Deras
  • Aksesori
  • PR NEWSWIRE
Facebook Instagram YouTube TikTok Threads
  • UTAMA
  • EDITORIAL
  • PENGIKLANAN
  • HUBUNGI KAMI
  • DriveFast.com.my (English)
TikTok YouTube Facebook Instagram Threads
PanduLaju.com.myPanduLaju.com.my
  • Auto Terkini
  • Roda4
  • Roda2
  • Pandu Uji
  • Bikin Auto
  • Autotainment
  • Sembang Deras
  • Aksesori
  • PR NEWSWIRE
PanduLaju.com.my
Home»Autotainment»Kenapa ‘Tayar Kangkang’? Sekadar Trend atau Ada Fakta Mekanikal?
Autotainment

Kenapa ‘Tayar Kangkang’? Sekadar Trend atau Ada Fakta Mekanikal?

Han OthmanBy Han Othman20/04/20191 Comment
Facebook Twitter Telegram Threads
Share
Facebook Twitter Telegram Threads


PERNAH dengar istilah tayar ‘kangkang’ atau ‘képak’ seperti gambar di atas? Beberapa tahun lalu (masih lagi jadi trend?), trend tayar sebegitu sangat popular di kalangan segelintir pemilik kereta negara ini. Uniknya, trend tersebut bukan saja terhad untuk kereta jenis pacuan roda belakang (RWD) atau prestasi, tetapi turut berjangkit kepada pemilik kereta pelbagai model dan segmen.

Daripada sekenit Perodua Viva sehinggalah kenderaan pelbagai guna (MPV) seperti Alza. Masing-masing kereta dikangkangkan tayar secukup rasa dan selera. Persoalannya, apakah semua itu sekadar trend atau ada alasan mekanikal? Ataupun ada agenda Freemason atau Iluminati?

BACA >>> #TahukahAnda: Benarkah Tayar Belakang Lebih Besar Boleh Tambah Top Speed?

TAYAR MEMANG SUDAH TERKANGKANG

Begini, sebenarnya ramai orang tidak tahu tentang fakta bahawa roda standard pun sudah siap terkangkang, dan bukannya benar-benar tegak dan lurus seperti yang disangka. Ia memang sengaja direka begitu dan bukannya disebabkan anda baru saja melanggar tiang bangunan ketika berebut petak parkir kereta. Jadi, jangan terkeliru.

Sama ada roda kereta anda direka untuk bergerak menegak atau condong sedikit ke dalam atau ke luar, ia sebenarnya merujuk kepada kamber (camber). Roda yang condong keluar dipanggil kamber positif, manakala condong ke dalam dipanggil kamber negatif. Sila rujuk diagram di bawah:


Kamber negatif beberapa darjah, ataupun tayar yang terkangkang sedikit keluar sebenarnya ialah normal bagi kereta kebanyakan, manakala bagi bagi kereta sport, sudut kamber adalah lebih negatif dan begitu juga bagi kereta lumba.

Ini kerana, apabila sesebuah kereta membelok, berat kenderaan itu akan dipindahkan pada roda sebelah luar, jadi dengan kamber negatif, tayar luar itu akan jadi serenjang atau sama rata dengan permukaan jalan.

Cuba lihat lebih dekat aksi sebuah kereta lumba dengan tayar lebar, katakan BMW M3, ataupun perhatikan roda depan sebuah supercar berenjin V8. Anda pasti akan perasan kamber negatif yang ketara pada kereta-kereta tersebut.  Secara mudahnya, semakin laju sesebuah kereta itu dipandu di selekoh, semakin besar kamber negatif.

BACA >>> Mitos dan Fakta Tayar Nitrogen Kini Dibongkar

BACA >>> 3 Langkah Mudah Periksa Tayar Ini Mampu Selamatkan Perjalanan Anda

Lihatlah bagaimana roda depan serenjang dengan permukaan jalan ketika membelok. Ini kerana kamber negatif pada roda depan dibikin untuk berdepan dengan situasi seperti itu.

APAKAH KERETA ‘STANCED’?

Bagi peminat modifikasi, sesebuah kereta itu layak dianggap ‘stanced’ dalam erti kata sebenar hanya apabila roda kereta miliknya tampil dengan kamber negatif yang signifikan dan ketara seperti gambar di bawah ini:


Kereta stanced memerlukan gerbang roda yang mengembang atau terkeluar daripada badan kereta, ataupun tampil dengan kit badan khas supaya sebahagian fizikal roda yang terdedah dapat dihijabkan mengikut undang-undang jalan raya setempat dan agar tidak nampak terlalu menjolok mata apabila dipandu di khalayak umum.

Kereta stanced juga biasanya rendah (dipanggil slammed atau lowered) dengan ketinggian lantai hampir mencecah permukaan jalan. Objektif tertingggi tidak lain dan tidak bukan adalah mencapai status ‘hellaflush’, iaitu supaya hanya jarak seminimum mungkin ditinggalkan antara roda dan gerbang roda, atau badan kereta dan permukaan jalan.

Tipikal lain tentang kereta stanced ialah menggunakan had maksimum kelebaran tayar yang dibenarkan pengeluar. Namun spesifikasi maksimum dibenarkan pengeluar itu bukanlah bermakna tayar kereta anda sah di mata abang-abang penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia sama seperti memakai kain pelikat ke pejabat sebagai syarat sah berpakaian, tetapi itu bukanlah bermakna anda akan selamat daripada mendapat surat amaran dibuang kerja.

Jadi, kenapa trend ‘tayar kangkang’ sebegitu wujud? Jawapannya mudah saja; sekadar untuk penampilan.

BACA >>> Tukar Enjin Wajib Mohon JPJ – Apakah Akibat Jika Tidak Daftar?


TIADA FUNGSI, ASALKAN BERGAYA

Ada banyak perubahan kosmetik ke atas kereta yang tidak menjejaskan prestasi. Bagi penggemar modifikasi, mereka biasanya menggunakan peraturan sendiri. Asalkan lawa, sedap mata memandang dan mampu berikan kesan ‘feeling good’, semuanya boleh dilakukan. Malangnya, trend kereta stanced dengan ‘tayar kangkang’ ini sebenarnya mengundang bahaya dan musibah kepada diri sendiri dan sekeliling. Sama saja seperti trend cermin sisi dikepak masuk ke dalam dan tayar sotong di kalangan penunggang motosikal. Kononnya nampak cool, tetapi sangat bahaya!

Anda boleh bayangkan, sepinggan nasi lemak standard cuma memerlukan sambal, kacang, ikan bilis, timun dan telur rebus serta mungkin ayam goreng sebagai ‘aksesori’ tambahan. Tetapi, kini ditambah pula dengan 10 lagi lauk yang dicampur sekali dan salah satunya ialah kuah spageti. Kita panggil pula makanan itu sebagai nasi lemak stanced. Macam bagus, nampak lawa dan trendy, walhal idea tersebut sangat teruk dan langsung tidak sedap.

Mari kita lihat apa bahaya dan musibah kepada anda yang berminat membikin kereta stanced ala hellaflush:

  • BREK TIDAK CEKAP – Tayar kereta biasa direka untuk bersentuhan dengan permukaan jalan mendatar atau hampir rata, dan bukan pada sudut di mana separuh tayar sedang terangkat. Anda bukannya hari-hari pergi berlumba. Faktanya, kereta stanced kurang cengkaman brek dan memerlukan lebih jarak untuk berhenti.
  • TAYAR CEPAT HAUS – Bahagian dalam tayar kereta stanced akan lebih cepat haus. Tayar kereta tidak dicipta seperti tayar motosikal yang dapat bekerja dengan cekap pada sudut ekstrem. Seperkara lagi, mengangkangkan tayar sama sekali tidak dapat mengelak tayar kereta anda daripada pancit.
  • MEMBELOK LEBIH CENGKAMAN?  – Kamber negatif mungkin membantu anda mendapat lebih cengkaman ketika membelok. Tetapi itu bukanlah semudah yang anda sangka. Situasinya langsung tidak sama seperti kereta lumba yang sedang beraksi dalam trek. Jurutera kereta lumba menghabiskan banyak masa dan tenaga untuk mengira pusat olengan, pekali geseran, pindahan berat, sudut inersia dan bermacam-macam parameter lain. Ia bukan semudah pergi bersembang dengan tauke kedai tayar.
  • TRENPACU CEPAT ROSAK – Bering roda, sendi CV (CV joint), sesendal (bushing), dan komponen lain memang direka untuk beroperasi optimum dalam sudut, kelegaan dan toleran tertentu dan mampu menampung had kamber negatif berlebihan, tetapi bukan melampau. Bayangkan kereta stanced anda seperti kerusi setinggi dua inci dan anda pula perlu meletakkan kaki atas meja sambil membuka komputer riba serta menaip menggunakan buku jari. Terseksa bukan?
  • PEMANDUAN TERJEJAS – Sistem suspensi dihasilkan untuk menangani pelbagai dugaan pemanduan dan direka supaya dapat bekerja dengan harmoni dalam pelbagai kondisi jalan. Sebaliknya, kereta stanced pula tiba-tiba sahaja dibikin untuk mengurangkan segala keharmonian tersebut, sekali gus menjadikan pemanduan yang sepatutnya selesa menjadi mimpi ngeri. Hanya dengan mengubah sudut tayar, anda sebenarnya sedang mengubah karakter tekanan tayar yang secara langsung menjejaskan kiraan berat tanpa pegas (unsprung weight) kereta. Ingat, suspensi begini langsung tidak menyumbang kepada cengkaman tayar kereta anda.
  • STERENG TIDAK DAPAT DIKUNCI – Kereta stanced kerap mengalami masalah mengunci stereng secara penuh kerana posisi tayar akan bergesel dengan bahagian dalam madgad atau disebabkan had geometri melampau.
  • KEGAGALAN SISTEM KESELAMATAN – Ciri keselamatan kereta seperti Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBS), Kawalan Traksi (TRC) dan lain-lain akan gagal berfungsi secara optimum. Kegagalan tersebut pastinya mendatangkan mudarat kepada anda, penumpang dan sesiapa saja yang berada berdekatan kereta lowered terkangkang anda itu.

Kesimpulannya, jika anda sangat berminat mahu menjadikan jentera anda sebuah kereta stanced, sila pastikan modifikasi yang dilakukan tidak mengurangkan aspek keselamatan, tidak meningkatkan kerosakan mekanikal dan lebih penting, tidak menyalahi peraturan jalan raya yang ditetapkan, termasuk tidak menjejaskan perlindungan insurans dan menjadi liabiliti kepada pengguna lain.

BACA >>> #TahukahAnda: Bagaimanakah Membaca Tayar Motosikal Anda?

Tidak guna kalau kereta lawa tetapi membawa malapetaka. 😀

autotainment fakta tayar kangkang hellaflush kereta stanced tahukah anda tayar kangkang tayar kepak trend kereta trend tayar kangkang
Han Othman
  • Website

Kecederaan distal radius fracture memaksa dia menguburkan hasrat berlumba dalam litar GP antarabangsa. Amat mementingkan pemanduan berkeselamatan tinggi, sukakan roller coaster, gemar mendengar muzik jalanan dan selalu membantu ular sawa melintas jalan.

Artikel Berkaitan

Konsep kapal boleh terapung atas air
Tahukah Anda

#TahukahAnda: Bagaimanakah Kapal Boleh Terapung Atas Air Walaupun Berat Beribu Tan?

09/07/2026
Ambulans di jalan raya Malaysia dan Efek Doppler
Tahukah Anda

#TahukahAnda: Kenapa Bunyi Siren Ambulans Berubah Nada?

09/07/2026
Malaysia bakal jadi hab EV Asean
Sembang Deras

#SembangDeras: Malaysia Bakal Jadi Hab EV Asean Seterusnya, Bukan Sekadar Pasaran Import Lagi?

08/07/2026
Autotainment

Protected: Pemilik Diesel, Jangan Rugi: Isi BUDI Diesel dengan eCard Pun Boleh Dapat Mata Ganjaran!

07/07/2026

1 Comment

  1. SARAVANAN RAJAGOPAL on 02/07/2017 14:11

    The best article that I’ve read. Technical but backed up with facts

    Reply
Leave A Reply Cancel Reply

  • Facebook401K
  • Instagram194K
  • YouTube593K
  • TikTok1000K
  • Threads46.6K
Pilihan Ramai Minggu Ini
Modenas Elegan 240X 2026
Roda2

Modenas Elegan EX 250 2026 Kini dengan Tiga Warna Baharu, Dapat Kotak GIVI Percuma!

By Shazwan Hisam16/07/2026
ARC XRS x Star Wars
Aksesori

Helmet Edisi Istimewa ARC XRS x Star Wars Rasmi Jual, Harga Mula RM135!

By Syafie08/07/2026
Roda2

Honda ADV 160 Spider-Man Edition 2027 Lancar di Malaysia, Hanya 300 Unit, Harga RM14,149

By Shazwan Hisam16/07/2026
Volkswagen Taycron 2027 lancar di Malaysia
Roda4

Volkswagen Tayron 2027 Lancar di Malaysia – SUV Segmen-D 7-Kerusi, Harga Mula RM189,890

By Shazwan Hisam15/07/2026
Konsep kapal boleh terapung atas air
Tahukah Anda

#TahukahAnda: Bagaimanakah Kapal Boleh Terapung Atas Air Walaupun Berat Beribu Tan?

By Shazwan Hisam09/07/2026
Roda2

Warna Baru Yamaha Ysuku, Y15ZR SE Sudah Tiba, Harga Bermula RM8,998

By Shazwan Hisam07/07/2026
Modenas perkenal Program Z1GT Care
Auto Terkini

Modenas Lancar Program Z15GT Care, Pemeriksaan Percuma di 57 Pengedar Sah Seluruh Negara

By Shazwan Hisam16/07/2026
ZXMoto 820RR-R 2027
Roda2

ZXMoto 820RR-R 2027 Lancar di China, Penunggang Baharu Dilarang Beli!

By Shazwan Hisam08/07/2026
PanduLaju.com.my
TikTok YouTube Facebook Instagram Threads
  • Auto Terkini
  • Roda4
  • Roda2
  • Pandu Uji
  • Bikin Auto
  • Autotainment
  • Sembang Deras
  • Aksesori
  • PR NEWSWIRE
© 2026 PanduLaju.com.my · GYL Media Services Sdn Bhd (1257406-V)
designXCII TECH

Type above and press Enter to search. Press Esc to cancel.