BERMULA Julai ini, peminat motosikal dan francais Star Wars sudah boleh tampil lebih bergaya apabila ARC Helmet memperkenalkan koleksi helmet edisi istimewa ARC x Star Wars untuk pasaran Malaysia.
Menggunakan model ARC XRS, koleksi khas itu hadir dengan beberapa rekaan karakter popular Star Wars, seperti Darth Vader, Stormtrooper, The Mandalorian, BB-8 dan Grogu.
Direka Khas untuk Penunggang Malaysia
Menurut maklumat dikongsi, model ARC XRS dibangunkan dengan mengambil kira keperluan dan kesesuaian penunggang di Malaysia.
Helmet itu hadir dengan saiz cengkerang (shell) agak besar, selain menggunakan sistem tali pengikat jenis D-ring untuk memastikan helmet dapat dikunci lebih kemas ketika dipakai.
Span Dalaman Boleh Tanggal, Basuh
Bagi memudahkan aspek penjagaan, bahagian span dalaman ARC XRS boleh ditanggal dan dibasuh.
Ciri itu cukup praktikal untuk kegunaan harian, terutama dalam cuaca panas dan lembap di Malaysia yang menyebabkan bahagian dalaman helmet lebih mudah menyerap peluh.
Ada ‘Built-In Sun Visor’
Satu lagi ciri menarik ARC XRS ialah visor matahari terbina dalam (built-in sun visor), yang membantu mengurangkan silau cahaya matahari ketika menunggang siang.
Menariknya, bagi penunggang yang bercermin mata, visor dalaman itu direka supaya tidak mengganggu pemakaian cermin mata, sekali gus menawarkan tahap keselesaan lebih baik.
Patuh Piawaian ECE 22.06
Dari aspek keselamatan, ARC XRS dibangunkan mengikut piawaian ECE 22.06, iaitu standard keselamatan helmet motosikal yang lebih terkini.
Ini menjadikan koleksi ARC XRS x Star Wars bukan sekadar menawarkan grafik menarik untuk peminat filem francais tersebut, tetapi turut memberi perhatian kepada aspek keselamatan dan keselesaan penunggang.
Harga RM370, Helmet Kanak-Kanak RM135
Mengenai harga, helmet ARC XRS x Star Wars ditawarkan RM370 seunit. Turut tersedia helmet untuk kanak-kanak yang berharga RM135, menjadikan koleksi khas itu sesuai untuk peminat Star Wars pelbagai peringkat umur.
@pandulaju Helmet tempatan pun ada collab dengan Star Wars! 👀 Helmet ARC XRS Star Wars Special Edition kini di pasaran dengan harga RM370! #pandulaju #starwars #arc #helmet ♬ Carti Wave Beat – Staysee


































