YAMAHA memperkenalkan skuter elektrik (EV) baharu, Yamaha GearEV 2027 dan Yamaha News GearEV 2027, yang dibangunkan khas untuk kegunaan komersial seperti pengumpulan dan penghantaran barangan. Model itu dijadualkan mula dijual di Jepun 17 Julai 2026.
Kedua-dua model itu ialah skuter elektrik Kelas 1 (Class 1 moped) yang menekankan aspek praktikal, kecekapan tenaga dan kemudahan operasi dalam persekitaran bandar yang padat.
Pembangunan Berasaskan Yamaha Gear
Model itu ialah evolusi kepada siri Yamaha Gear (Ego Gear/Mio Gear), foto atas, yang diperkenalkan 1994, yang terkenal sebagai motosikal kerja tahan lasak untuk sektor penghantaran.
Dengan pengenalan versi elektrik itu, Yamaha Motor Co Ltd menyasarkan pematuhan kepada peraturan emisi baharu dan menyokong matlamat neutral karbon dalam kategori penggunaan produk menjelang 2050 melalui strategi pelbagai laluan.
Yamaha GearEV dan Yamaha News GearEV bukan sekadar skuter EV biasa, tetapi platform kerja khas yang dibangunkan untuk sektor logistik bandar.
Dengan jarak tunggangan 100km, sistem bateri boleh tukar, dan ciri bantuan operasi seperti bantuan undur, Yamaha jelas menyasarkan segmen penghantaran yang semakin berkembang di era elektrifikasi.
Jika diukur dari sudut kegunaan harian, model itu lebih fokus kepada fungsi praktikal berbanding prestasi semata-mata, selari keperluan operasi penghantaran moden.
Direka untuk Kerja Penghantaran Harian
Yamaha GearEV 2027 (foto atas) dibangunkan dengan rak belakang rata dan luas, yang sesuai untuk membawa muatan.
Yamaha News GearEV 2027 (foto atas) pula ialah varian khas penghantaran surat khabar yang dilengkapi aksesori tambahan seperti bakul depan besar dan rak belakang besar.
Antara ciri utama:
- Fungsi bantuan undur (reverse assist)
- Rak belakang rata dan luas untuk muatan
- Sistem bateri boleh tanggal
- Direka untuk operasi penghantaran bandar
Bateri Boleh Tukar
Yamaha GearEV dan News GearEV menggunakan sistem EV 96V, dengan dua bateri litium-ion 48V yang disambung secara bersiri.
Spesifikasi bateri dan pengecasan ialah:
- Bateri: Litium-ion 50.26V / 26.1Ah
- Konfigurasi: Dua bateri boleh tanggal
- Masa pengecasan penuh: kira-kira 6 jam
- Sistem bateri: Honda Mobile Power Pack e:
Sistem itu membolehkan bateri ditukar mudah, termasuk melalui ekosistem pertukaran bateri Gachaco, yang dibangunkan menerusi kerjasama Honda Motor Co Ltd, Kawasaki Motors, Suzuki Motor Corporation dan Yamaha Motor Co Ltd.
Prestasi: Tork Tinggi RPM Rendah, Jarak Tunggangan 100km
Motor elektrik yang digunakan menghasilkan tork segera dari halaju rendah, yangsesuai untuk membawa muatan. Prestasi utama seperti berikut:
- Output kuasa 0.58kW – 2.8kW (3.8ps) @ 3,000rpm, dan tork 13Nm @ 2,000rpm
- Kelajuan ujian 30kmj (malar)
- Jarak tunggangan 100km setiap cas penuh
- Keupayaan mendaki cerun 12° dengan beban 30kg
Kemudahan Operasi untuk Kegunaan Komersial
Yamaha memberi penekanan kepada kemudahan penggunaan dalam operasi harian penghantaran seperti:
- Sistem brek kombi (CBS) depan dan belakang
- Panel meter digital lengkap (halaju, jam, tahap bateri, indikator undur)
- Soket aksesori untuk pengecasan peranti
- Lampu LED penuh (hadapan dan belakang)
- Fungsi indikator tongkat sisi
Tambahan pada Yamaha News GearEV:
- Bakul depan besar
- Rak belakang besar
- Pelindung tangan (knuckle visor)
- Brek kaki
- Kunci brek belakang
Dimensi, Berat dan Kapasiti
Dimensi:
- Yamaha GearEV: Panjang 1,820mm, lebar 710mm, dan tinggi 1,025mm
- Yamaha News GearEV: Panjang 1,840mm, lebar 780mm, dan tinggi 1,050mm
Ciri lain:
- Jarak roda: 1,280mm
- Tinggi pelana: 710mm
- Berat: 125kg (GearEV) | 130kg (News GearEV)
- Kapasiti muatan dek belakang: 30kg
- Kapasiti penunggang: 1 orang
Harga, Varian di Jepun
Harga rasmi (termasuk bateri dan pengecas):
- Yamaha GearEV: 690,800 yen (RM17,440)
- Yamaha News GearEV: 701,800 yen (RM17,720)
Harga komponen:
- Unit asas GearEV: 363,000 yen (RM9,135)
- Unit asas News GearEV: 374,000 yen (RM9,410)
- Bateri Honda Mobile Power Pack e: 108,900 yen seunit (RM2,741)
- Pengecas:55,000 yen (RM1,380)
Sasaran jualan ditetapkan pada 200 unit setahun untuk pasaran domestik Jepun.
Yamaha News GearEV
Yamaha GearEV















































