VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-D, Volkswagen Tayron 2027 serba baharu untuk pasaran tempatan, sekali gus mempeluas penawaran SUV jenama Jerman itu menerusi model 7-kerusi yang dipasang secara tempatan (CKD) di Pekan, Pahang.
Tayron ditawarkan dalam dua varian: Elegance dan R-Line, pada harga bermula RM189,890 untuk Elegance, manakala R-Line dibuka untuk previu pada anggaran harga antara RM259,000 hingga RM269,000.
SUV Baharu antara Tiguan, Touareg
Volkswagen meletakkan Tayron sebagai model yang mengisi ruang antara Tiguan dan Touareg, sekali gus menyasarkan pelanggan yang memerlukan SUV famili lebih besar tanpa mengorbankan keselesaan dan teknologi moden.
Sejak diperkenalkan di China pada 2018 sebelum dipasarkan secara global pada 2025, Tayron mencatat jualan hampir 1.3 juta unit seluruh dunia, sekali gus membuktikan penerimaan positif terhadap model tersebut.
Dua Pilihan Enjin Ikut Keperluan
Varian Elegance menggunakan enjin hibrid ringan (MHEV) 1.5L eTSI MHEV yang menghasilkan output kuasa 150ps dan tork 250Nm, serta dipadankan transmisi dual-klac (DCT) DSG 7-kelajuan.
Enjin itu dilengkapi sistem MHEV 48V dengan teknologi Pengurusan Silinder Aktif ACTplus yang mampu menyah aktif dua daripada empat silinder ketika beban enjin rendah bagi mengurangkan penggunaan bahan api.
Sistem itu turut menyokong fungsi luncur (coasting) dan brek regeneratif.
Kepada mereka yang mahukan prestasi lebih tinggi, Volkswagen Tayron R-Line dikuasakan enjin 2.0L TSI Turbo yang menghasilkan output kuasa 265ps dan tork 400Nm, lengkap dengan sistem pacuan semua roda 4MOTION.
DCC Pro Pertingkat Keselesaan Pemanduan
Kedua-dua varian menerima ciri kawalan casis dinamik Dynamic Chassis Control Pro (DCC Pro) yang melaras tahap kekerasan suspensi secara elektronik mengikut kondisi jalan dan gaya pemanduan.
Gabungan sistem itu bersama transmisi DSG 7-kelajuan memberikan keseimbangan antara keselesaan, kestabilan dan pengendalian lebih yakin sama ada di lebuh raya atau jalan berliku.
Rekabentuk Premium dengan Identiti Berbeza
Volkswagen Tayron menampilkan bahasa rekabentuk SUV terkini Volkswagen menerusi bonet lebih tinggi, garis badan kemas dan rekabentuk belakang moden.
Varian Elegance dilengkapi lampu depan LED Plus, manakala R-Line menerima lampu IQ.LIGHT HD Matrix LED dengan fungsi lampu suluh tinggi antisilau dan lampu signal belakang dinamik.
Kedua-dua varian turut menggunakan logo Volkswagen bercahaya di depan dan belakang.
Kabin 7-Kerusi, Ruang But hingga 1,905 Liter
Dalam kabin, Volkswagen Tayron menawarkan konfigurasi 7-kerusi dengan tempat duduk baris kedua dan ketiga boleh lipat bagi menghasilkan ruang simpanan maksimum 1,905 liter.
Tempat duduk depan jenis Varenna Leather ergoActive Plus dilengkapi ciri boleh laras elektrik 12-tetapan, fungsi pemanas, ventilasi dan urutan menggunakan 10 kusyen udara bagi meningkatkan keselesaan ketika perjalanan jauh.
Varian Elegance menggunakan sistem audio dengan lapan pembesar suara, manakala R-Line menerima sistem audio premium Harman Kardon 700W dengan 10 pembesar suara, subwufer dan ampilifier 16 saluran.
Sistem Infotainmen Generasi Baharu
Elegance didatangkan dengan unit infotainmen Discover 12.9 inci, sementara R-Line menerima saiz skrin Discover Pro Max 15 inci.
Kedua-dua varian menggunakan perisian MIB4, yang menyokong konektiviti Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, pembantu suara IDA, kluster instrumen Digital Cockpit Pro 10.25 inci, manakala R-Line dilengkapi paparan dongak (HUD).
IQ.DRIVE Lengkap dengan 9 Beg Udara
Dari aspek keselamatan, Volkswagen Tayron menerima rating 5-bintang Euro NCAP dan dilengkapi pakej bantuan pemandu IQ.DRIVE.
Antara ciri ditawarkan ialah Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Bantuan Travel , Bantuan Lorong, bantuan Sisi, Amaran Trafik Belakang (RTA), Bantuan Depan, Bantuan Kecemasan, Bantuan Parkir Plus, Pemantau Perhatian Pemandu (DAM), dan sembilan beg udara, termasuk beg udara tengah depan.
Tawaran Pengenalan Sempena Merdeka
Sempena pelancarannya, VPCM menawarkan pakej istimewa kepada 69 pelanggan pertama, merangkumi:
- Servis percuma tujuh [7] tahun
- Perlindungan kemalangan diri dan kunci kereta
- Peluang memenangi percutian mewah tiga hari dua malam
Volkswagen Tayron Elegance dijual pada harga RM189,890, manakala harga dengan pakej Volkswagen Assurance Package (VAP), membabitkan servis, waranti dan bantuan tepi jalan lima [5] tahun bermula RM199,990.
VarianR-Line pula kini dibuka untuk previu pada anggaran harga antara RM259,000 hingga RM269,000.

















































































