OMODA | Jaecoo Malaysia rasmi mempamerkan Jaecoo J5 EV buat kali pertama kepada orang ramai di acara Oh My Meow! Expo 2026, sekali gus menandakan kemunculan sulung kenderaan elektrik (EV) pertama jenama itu di Malaysia.
SUV EV subkompak itu bakal dilancarkan dalam masa terdekat yang bukan sekadar mempeluas portfolio elektrifikasi Omoda | Jaecoo, tetapi menampilkan konsep unik yang menumpukan kepada gaya hidup moden, termasuk pemilik haiwan peliharaan.
Ketua Omoda | Jaecoo Malaysia, Chris Tan berkata, kemunculan sulung J5 EV ialah satu lagi langkah penting dalam strategi elektrifikasi pengeluar itu dalam memenuhi permintaan pengguna tempatan yang semakin beralih kepada mobiliti mampan.
Jaecoo J5 EV ialah EV pertama kami di Malaysia dan membuktikan komitmen jenama dalam menawarkan lebih banyak pilihan EV kepada pengguna.
“Kami memilih Oh My Meow! Expo sebagai platform pertama kerana sepadan dengan karakter J5 EV yang mesra haiwan peliharaan, praktikal dan sesuai untuk gaya hidup moden,” katanya.
Motor Elektrik 155kW, Tork 288Nm, Bateri CATL LFP
Dibangunkan sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik untuk kegunaan harian dan aktiviti hujung minggu, Jaecoo J5 EV dipacu motor elektrik pacuan depan yang menghasilkan output kuasa 155kW (208hp) dan tork 288Nm.
Hantaran kuasa disalurkan menerusi bateri litium-besi-fosfat (LFP) CATL 58.9kWh, dengan jarak pemanduan sehingga 402km (WLTP).
Bagi pengecasan pantas (DC), bateri boleh dicas 30 – 80 peratus dalam masa hanya 28 minit.
Turut disediakan fungsi kenderaan kepada beban Vehicle-to-Load (V2L) yang membolehkan tenaga bateri digunakan untuk menghidupkan peralatan elektrik luar seperti lampu, periuk elektrik, komputer riba dan kelengkapan perkhemahan.
Direka Mesra Keluarga, Haiwan Peliharaan
Apa membezakan Jaecoo J5 EV berbanding kebanyakan SUV EV lain adalah rekabentuk yang memberi perhatian kepada pemilik haiwan peliharaan.
Ruang kabin direka lebih luas bagi keselesaan penumpang dan haiwan kesayangan, selain menawarkan banyak ruang simpanan untuk membawa sangkar, makanan, aksesori atau kelengkapan aktiviti luar.
Menurut Omoda | Jaecoo Malaysia, kerjasama bersama Oh My Meow! Expo 2026 juga menjadikan mereka antara pengeluar automotif pertama Malaysia yang berkolaborasi dengan acara bertemakan kucing.
Sarat Teknologi Moden
Dari aspek teknologi, Jaecoo J5 EV didatangkan dengan pelbagai ciri premium yang kini menjadi antara keutamaan pembeli EV.
Antaranya ialah:
- Penutup Grip Aktif (Active Grille Shutter, AGS) bagi meningkatkan kecekapan aerodinamik
- Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2+ dengan 19 ciri keselamatan pintar
- Kamera panoramik 540º definisi tinggi (HD)
- Unit infotainmen skrin sentuh 13.2 inci resolusi 2K
Kabin Lebih Selesa
Bukan sekadar fokus teknologi, Jaecoo J5 EV turut menawarkan keselesaan premium menerusi beberapa ciri seperti:
- Bumbung panoramik kaca 1.45 meter persegi
- Cermin sisi depan dwi-lapis (double-glazed) untuk mengurangkan bunyi angin
- Suspensi belakang Multi-Link
- Sistem penyaman udara automatik dwi- zon
Gabungan ciri tersebut dijangka memberikan pengalaman pemanduan lebih senyap dan selesa, sama ada ketika memandu dalam bandar atau perjalanan jauh.
Praktikal Kegunaan Harian
Dari aspek praktikaliti, Jaecoo J5 EV menawarkan:
- Kapasiti bonet (frunk) 35 liter
- Kapasiti but 480 liter
- Ada 35 ruang simpanan seluruh kabin
Konfigurasi itu menjadikan SUV elektrik itu sesuai digunakan sebagai kenderaan keluarga, termasuk membawa barangan membeli-belah, bagasi atau aksesori haiwan peliharaan.
Bakal Lancar Tidak Lama Lagi
Walaupun tarikh pelancaran rasmi masih belum diumumkan, debut Jaecoo J5 EV memberi gambaran model tersebut semakin hampir memasuki pasaran Malaysia.
Dengan gabungan jarak pemanduan 402km (WLTP), bateri CATL LFP, pengecasan pantas, fungsi V2L, ruang kabin luas dan ciri premium, Jaecoo J5 EV bakal menjadi antara pencabar baharu dalam segmen SUV EV segmen-C yang kini dihuni model seperti BYD Atto 3, Proton e.MAS 7, MG S5 EV, Deepal S05 dan Geely EX5.
Orang ramai yang mahu melihat sendiri Jaecoo J5 EV boleh mengunjungi Oh My Meow! Expo 2026 yang berlangsung 9 – 12 Julai ini di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC), di Kuala Lumpur.

































































































