
MERCEDES-AMG memperkenalkan CLA 45 4MATIC+ 2027 serba baharu yang menetapkan penanda aras baharu dalam segmen kereta elektrik ((EV) kompak prestasi menerusi gabungan kuasa 500kW (680hp), pecutan 0 – 100kmj sepantas 2.7 saat dan sistem pacuan semua roda pintar AMG Performance 4MATIC+.
Ditawarkan dalam dua varian: Saloon dan Shooting Brake, model baharu itu dibangunkan berasaskan platform EV Mercedes-Benz terkini dengan talaan menyeluruh AMG dari aspek trenkuasa, casis, aerodinamik, sistem kawalan dan pengalaman pemanduan.

Model EV itu dibangunkan berasaskan Mercedes-Benz CLA yang dinobatkan juri Kereta Terbaik Eropah (European Car of the Year) sebagai Kereta Terbaik 2026 (COTY 2026), selain muncul kereta paling selamat dalam ujian Euro NCAP 2025.
Tiga Motor Elektrik Baharu, 680hp
Nadi utama Mercedes-AMG CLA 45 4MATIC+ 2027 ialah tiga motor elektrik axial flux, terdiri daripada dua motor gandar belakang dan motor tunggal di depan.
Motor jenis axial flux itu lebih nipis, ringan dan mempunyai ketumpatan kuasa lebih tinggi berbanding motor elektrik konvensional, selain menggunakan inverter silikon karbida (Silicon Carbide, SiC) bagi meningkatkan kecekapan dan prestasi.

Motor depan mampu menghasilkan kuasa 225kW (360hp) dan berfungsi sebagai motor buster (booster motor) apabila diperlukan, manakala dua motor belakang menyumbang kepada output keseluruhan sistem.
Gabungan ketiga-tiga motor menghasilkan:
- Outpu kuasa maksimum 500kW (680hp)
- Kuasa berterusan 450kW (612hp)
- Tork 1,759Nm
Prestasi dicapai juga mengagumkan seperti berikut:
- 0 – 100kmj (1-foot rollout, permulaan guling 1 kaki) sepantas 2.7 saat
- 0 – 100kmj sepantas 3 saat
- Kelajuan maksimum 250kmj
- 270kmj dengan pakej AMG Dynamic Plus Package
AWD Pintar dengan Pemvektoran Tork

Kuasa disalurkan menerusi sistem AMG Performance 4MATIC+ yang mampu mengagihkan tork secara berubah-ubah kepada setiap gandar dan juga sesama roda belakang secara individu menerusi fungsi pemvektoran tork (torque vectoring).
Motor depan turut dilengkapi Unit Nyah Sambung (DCU) yang boleh memutuskan sambungan ketika beban rendah bagi mengurangkan kehilangan tenaga sebelum diaktifkan semula ketika pecutan atau pemulihan tenaga.
Bateri 94kWj, Arkitektur 800V dan Jarak Lebih 670km

Mercedes-AMG CLA 45 4MATIC+ 2027 menggunakan bateri litium-ion 94kWj dengan sistem elektrik 800V.
Bateri tersebut menggunakan anod silikon oksida dicampur grafit, sekali gus meningkatkan ketumpatan tenaga sehingga 20 peratus berbanding bateri grafit konvensional.
Bergantung varian, jarak pemanduan WLTP ialah:
- Saloon – lebih 670km
- Shooting Brake – lebih 640km
Sistem pengecasan pantas (DC) menyokong sehingga 330kW, yang membolehkan pengecasan 10 – 80 peratus dibuat dalam masa kira-kira 22 minit, manakala pengecasan 10 minit mampu menambah lebih 270km jarak pemanduan.
Pengecasan standard (AC) pula menyokong sehingga 22kW.

Mercedes-AMG turut melengkapkan model itu dengan sistem Multi-Source Heat Pump yang menggunakan haba daripada udara persekitaran, trenkuasa dan bateri bagi membantu meningkatkan kecekapan tenaga.
Sistem itu juga melakukan pra-kondisi bateri secara automatik sebelum pengecasan pantas bagi memastikan prestasi pengecasan optimum.
Casis AMG dengan Suspensi Adaptif

Bagi memastikan kuasa besar itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya, AMG melengkapkan model tersebut dengan suspensi AMG Ride Control menggunakan spring keluli dan absorber adaptif 3-tetapan.
Pemandu boleh memilih talaan Comfort, Sport atau AMGFORCE S+, dengan sistem laras daya redaman setiap roda dalam masa beberapa milisaat (ms) mengikut situasi pemanduan.
Turut dipasang suspensi depan 3-pautan, suspensi belakang multi-link, stereng talaan AMG dan sistem brek prestasi tinggi yang menyokong pemulihan tenaga sehingga 5m/s² (meter per saat kuasa dua).
Tujuh Mod Pandu

Mercedes AMG CLA 45 4MATIC+ 2027 memiliki enam mod pandu standard, iaitu:
- Slippery
- Comfort
- Sport
- AMGFORCE S+
- ECO
- Individual
Pakej AMG Dynamic Plus menambah mod RACE yang dioptimum untuk pemanduan litar bersama fungsi Kawalan Luncur, Kawalan Traksi, Kawalan Respons dan Kawalan Agiliti.
Salah satu ciri paling unik ialah mod AMGFORCE S+ yang mensimulasi pengalaman memandu kereta enjin pembakaran dalaman (ICE) menerusi bunyi enjin 4-silinder AMG, anjakan gear virtual menggunakan pedal gear, getaran kerusi, dan paparan rpm, termasuk gear.
Aerodinamik Aktif

AMG turut memberi perhatian kepada aspek aerodinamik dengan spoiler aktif pertama dalam kelas.
Varian Saloon menerima spoiler belakang aktif, manakala Shooting Brake menggunakan spoiler bumbung aktif yang berubah sudut mengikut mod pandu dan kelajuan bagi meningkatkan kestabilan atau mengurangkan seretan angin.

Di depan, Penutup Radiator Aktif (ARS) turut membantu meningkatkan kecekapan aerodinamik dan hanya dibuka apabila diperlukan sistem penyejukan.
Varian Saloon turut memiliki pekali seretan udara (Cd) serendah 0.23Cd, sekali gus membantu meningkatkan kecekapan tenaga dan jarak pemanduan.
Rekabentuk Lebih Agresif

Penampilan luar diserlahkan menerusi gril AMG Panamericana dengan 10 bilah menegak, bampar AMG, spliter depan, diffuser belakang enam siri , dan fender dilebarkan.
Model itu menggunakan rim 19 inci sebagai standard, manakala rim 20 inci ditempatkan dalam senarai pilihan. Bumbung kaca panoramik turut diberikan sebagai ciri standard.
Kabin Digital

Di ruang dalaman, Mercedes-AMG CLA 45 4MATIC+ 2027 dilengkapi kerusi sport AMG, stereng AMG Performance, pedal sport keluli tahan karat dan sistem infotainmen MBUX generasi keempat yang dibangunkan berasaskan sistem operasi (OS) Mercedes-Benz baharu, MB.OS.
Sistem itu turut mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) daripada ChatGPT, Microsoft Bing dan Google Gemini, selain menawarkan pembantu virtual MBUX yang mampu berinteraksi lebih natural.
Turut disediakan aplikasi khas AMG seperti AMG Performance Menu, AMG Set-Up dan AMG Track Pace, yang merekod lebih 80 parameter kenderaan sebanyak 10 kali sesaat ketika pemanduan litar.

Spesifikasi Utama Mercedes-AMG CLA 45 4MATIC+ 2027
- Tiga motor elektrik Axial Flux
- Output kuasa 500kW (680hp)
- Output kuasa berterusan 450kW (612hp)
- Tork 1,759Nm
- Motor depan 225kW (360hp)
- Pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+
- Bateri lithium-ion 94kWj
- Sistem elektrik 800V
- Pengecasan AC 22kW
- Pengecasan DC 330kW
- Cas 10 – 80 peratus 22 minit
- Tambahan jarak selepas 10 minit cas lebih 270km
- Jarak WLTP: lebih 670km (Saloon), lebih 640km (Shooting Brake)
- 0 – 100kmj sepantas 2.7 saat (1-footrollout – permulaan guling 1 kaki)
- Kelajuan maksimum 250kmj atau 270kmj (AMG Dynamic Plus)
- Pekali seretan udara (Cd) 0.23Cd (Saloon)
- Ruang but 390 liter (Saloon), 450 liter (Shooting Brake)
- Ruang simpanan depan (frunk) 101 liter










































