MOTOSIKAL dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) memperkenalkan varian terkini Modenas Elegan EX 250 2026 yang menampilkan pilihan warna dan grafik baharu, selain menawarkan nilai tambah kepada pelanggan menerusi pemberian kotak atas (top box) GIVI percuma!
Kemas kini terbaharu itu bertujuan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna tanpa mengubah karakter utama Modenas Elegan EX 250 yang terkenal sebagai skuter maksi yang mengutamakan keselesaan, praktikaliti dan seuai untuk tunggangan harian atau jarak jauh.
Tiga Pilihan Warna Lebih Segar
Varian baharu Modenas Elegan EX 250 2026 kini ditawarkan dalam tiga pilihan warna moden: Light Sage Green (hijau), Matte Brown (coklat) dan Bright Grey Blue (biru), sekali gus memberikan penampilan lebih segar dan kontemporari.
Selain perubahan kosmetik, setiap pembelian turut didatangkan dengan top box GIVI bernilai RM500 tanpa sebarang caj tambahan.
Aksesori tersebut melengkapkan ruang simpanan bawah pelana sedia ada, sekali gus menawarkan kapasiti storan lebih besar untuk kegunaan harian.
Lebih Praktikal untuk Pelbagai Kegunaan
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Modenas, Roslan Roskan berkata, penyegaran model itu mencerminkan usaha syarikat untuk terus memenuhi keperluan penunggang yang semakin pelbagai, terutama mereka yang mahukan skuter yang selesa, praktikal dan serba boleh.
Beliau berkata, tambahan top box GIVI memberi nilai pemilikan lebih tinggi kepada pelanggan sejak hari pertama menerima motosikal, selain memudahkan pengguna membawa barangan peribadi ketika berulang-alik ke tempat kerja, membeli-belah atau melakukan perjalanan jauh.
Sesuai untuk Bandar, Jelajah Jarak Jauh
Roslan turut menjelaskan, gabungan ruang simpanan tambahan bersama rekabentuk lebih moden menjadikan Modenas Elegan EX 250 2026 lebih sesuai digunakan dalam pelbagai situasi sepanjang minggu.
Sama ada digunakan sebagai pengangkutan harian di bandar atau aktiviti tunggangan hujung minggu, skuter itu menawarkan tahap keselesaan dan kapasiti membawa barangan yang lebih praktikal berbanding sebelum ini.
Sudah Mula Ditawarkan di Pengedar Sah
Varian baharu Modenas Elegan EX 250 2026 mula ditawarkan di semua pengedar sah Modenas seluruh negara bermula Julai 2026.
Bagaimanapun, promosi pemberian top box GIVI percuma adalah tertakluk kepada terma dan syarat serta ketersediaan stok.
Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi pengedar sah Modenas atau layari laman web rasmi syarikat.














