ACARA permotoran Kustom dan Counter Culture terbesar di Malaysia, Art of Speed (AOS) Malaysia kembali untuk edisi ke-15 dengan skala lebih besar dan pengalaman lebih imersif.
Bertemakan ‘Summer Festival – Kustom Bergaya‘, edisi kali ini akan berlangsung pada 1 – 2 Ogos 2026 bertempat di lokasi ikonik Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor membabitkan mruang dalaman seluas 452,084 kaki persegi dan kawasan luar seluas 320 ekar.
Acara akan dibuka bermula jam 10 pagi – 7 malam.
Menurut penganjur, edisi 2026 adalah kolaborasi ulung yang menyatukan kelestarian gaya hidup automotif dan kehangatan muzik rancak dalam satu hujung minggu, sekali gus mengangkat kemuncak kreativiti tempatan dan antarabangsa.
Barisan Tetamu Antarabangsa Gred A
AOS Malaysia 2026 bakal menyaksikan kehadiran lebih 25 tetamu dan VIP antarabangsa daripada komuniti kustom dunia. Antara nama besar disahkan hadir ialah:
- MOONEYES (Jepun): Emi Suganuma, Michihisa ‘NATQQ’ Shinotsuka dan Sohei Murakami
- Liberty Walk, (Jepun): Wataru Kato – kehadiran sulung yang mencipta sejarah baharu untuk landskap Kustom Kulture rantau ini
- Hawgholic (Jepun): Yokomizo Gaku
- Vise Clothing (Jepun): Yoshiki Okubo
- DicE Magazine (Amerika Syarikat): Scott Walker
- Hot Wheels Premium (Amerika Syarikat): Ronald Wong (Ketua Pereka Produk)
- Wakil dari Banzai Racing, Boo Pinstriping, Vibes Magazine, Choppajoop Singapura, SixtySick Paintlab Indonesia, Bangkok Hot Rod Show, Kustomanila Filipina dan banyak lagi
Tumpuan Utama: Jentera Mahakarya dari Tokyo hingga Bangkok
Pameran kenderaan kustom eksklusif menjadi nadi utama AOS Malaysia 2026. Tahun ini, pengunjung berpeluang menyaksikan lebih dekat:
- 1945 Harley-Davidson Knucklehead vintaj daripada Hawgholic, Tokyo
- 1966 Harley-Davidson Shovelhead daripada Vise Clothing, Nagoya
- Pameran khas kereta kustom dari Bangkok dan Taiwan
- Kehadiran syarikat talaan gergasi dunia, Liberty Walk
Festival SoundCircus Pecah Rekod dengan Enam Pentas
Edisi Festival SoundCircus (SCF) melakar sejarah sebagai penganjuran terbesar dengan enam pentas merentasi ruang dalaman dan luaran MAEPS.
Barisan artis yang bakal menggegar pentas dari jam 3 petang hingga 12 tengah malam terdiri daripada kolaborasi eksklusif Ella x Cokelat, Jemput Dengar featuring Sheila Majid, Nadin Amizah, Disagree, Johnny Pandora, Dannqrack & Eemrun, Tenxi, Hari Slatan, dan sambutan khas 20 Tahun Hujan dan tribut 30 Tahun Asian Hardcore.
Sorotan Baharu yang Wajib Tahu
AOS Malaysia 2026 memperkenalkan beberapa segmen baharu seperti:
1. AOS Invitational Build-Off
Lapan pembina motosikal kustom elit tempatan, iaitu Chaos Custom, Valley Machines, Rocketeer Custom Art, Bad Soul Cycle Custom, Mujo Joros, AR Choppers, Fazben Custom dan Sedarah MC akan berentap merebut hadiah wang tunai dan tiket untuk membawa jentera ke pentas dunia di The 34th Yokohama Hot Rod Custom Show 2026, Jepun.
2. Red Carpet Photo Zone
Pemilik kenderaan berpeluang mempamerkan jentera di Entrance Arch yang dinaik taraf dengan sistem pencahayaan sinematik, lengkap dengan sesi fotografi taraf superstar.
3. 10 Kolaborasi Mega
AOS bekerjasama dengan jenama global dan tempatan seperti Liberty Walk, Hot Wheels, DICE Magazine, Xocks, DRUM, Touch ‘n Go, Zippo, Cricket, Skillo dan Easthood.
4. Sinergi Sinematik Bersama Astro Shaw
Mempromosikan filem terbaharu ‘Terbang‘ dengan aktiviti interaktif, sesi bertemu pelakon dan pameran jentera utama filem tersebut.
Padat Aktiviti Pagi hingga Malam

- Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) Dewan C: Kembali untuk edisi ke-4 dengan model eksklusif Nissan Skyline GT-R V-Spec II (BNR34) bernombor siri terhad, lengkap dekal Motul dan Yokohama, dan pameran kereta sebenar bersama Malaysia Skyline Owners Group (MSOG)
- Model Diecast Eksklusif: Pelancaran Kyosho X MOONEYES, Tarmac Works X RWB dan Mini GT X Liberty Walk yang hanya boleh didapati di AOS
- Show & Shine Dewan A: Tema baharu termasuk Chopper Paradise bersama DicE Magazine dan Pick-Up Line untuk trak pikap kustom
- Dewan D: Gravel Travel, Kulture Kartel untuk peminat vintaj dan streetwear, dan pertunjukan fesyen Sunburst Tribe

- Outdoor ThunderCircus: Perhimpunan Brotherhood Rally, Santai Scooterist, himpunan kelab kereta bersama Qartel TV, dan buat kali pertama di Asia, pengalaman Flying Foxย merentasi pentas SoundCircus.
- Test Ride Zone: Tunggang uji motosikal daripada Royal Enfield, Vespa, Aprilia, Triumph, Lambretta, Harley-Davidson dan banyak lagi
Kembara Passport Tawar Hadiah RM80,000, termasuk Motosikal Kustom dan Honda HR-V
Aktiviti ikonik Kembara Passport kembali. Semua pemegang tiket akan menerima passport dan perlu mengumpul 24 cap di reruai korporat dan rakan penaja.
Pemenang berpeluang membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM80,000 termasuk hadiah utama sebuah motosikal kustom daripada Thunder Motorcycles, sebuah Honda HR-V ubah suai khasย Qartel TV, dan sebuah Vespa S 125.
Harga Tiket, Maklumat Penting
Art of Speed (Dewan Pameran)
- Early Bird Weekend Pass: RM35 (tidak termasuk yuran proses RM3)
- Harga di Kaunter: RM40
- Kanak-kanak bawah 12 tahun dan pemegang Kad OKU: Masuk percuma
- Valet VIP Parking: RM30
SoundCircus Festival (SCF)
- Tiket Umum: RM149 (Group Buy 3 pax: RM135 seorang)
- Rockzone: RM199 (Group Buy: RM189 seorang)
- Pas 1 Hari: RM89
Tiket boleh didapati di www.artofspeedmy.com. Ibu bapa diingatkan memantau anak-anak di zon SoundCircus sepanjang konsert berlangsung.
Mengulas mengenai edisi ke-15 ini, Pengarah Festival Art of Speed Malaysia, Asep Ahmad Iskandar berkata, edisi kali ini melambangkan realisasi impian lama untuk memayungi satu festival bertaraf dunia yang menyatukan gaya hidup automotif dan festival muzik secara harmoni.
Kami sangat teruja mengumumkan kehadiran sulung firma legenda Liberty Walk di pentas AOS, satu lakaran sejarah baharu buat landskap Kustom Kulture di rantau ini,” katanya.













































































































































