
VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini melancarkan Tayron serba baharu untuk pasaran tempatan, sekali gus memperluaskan penawaran SUV jenama Jerman itu menerusi model tujuh tempat duduk yang dipasang secara tempatan (CKD) di Pekan, Pahang.
Tayron ditawarkan dalam dua varian iaitu Elegance dan R-Line, dengan harga bermula RM189,890 bagi Elegance, manakala R-Line kini dibuka untuk pratonton dengan anggaran harga antara RM259,000 hingga RM269,000.
SUV Baharu Di Antara Tiguan dan Touareg

Volkswagen meletakkan Tayron sebagai model yang mengisi ruang di antara Tiguan dan Touareg, sekali gus menyasarkan pelanggan yang memerlukan sebuah SUV keluarga lebih besar tanpa mengorbankan keselesaan dan teknologi moden.
Sejak diperkenalkan di China pada 2018 sebelum dipasarkan secara global pada 2025, Tayron mencatat jualan hampir 1.3 juta unit di seluruh dunia, sekali gus membuktikan penerimaan positif terhadap model tersebut.
Dua Pilihan Enjin Mengikut Keperluan
Varian Elegance menggunakan enjin 1.5 liter eTSI Mild Hybrid yang menghasilkan 150PS dan 250Nm, dipadankan dengan transmisi DSG tujuh kelajuan.
Enjin itu dilengkapi sistem hibrid ringan 48 volt bersama teknologi Active Cylinder Management (ACTplus) yang mampu menyahaktifkan dua daripada empat silinder ketika beban enjin rendah bagi mengurangkan penggunaan bahan api. Sistem itu turut menyokong fungsi coasting serta pemulihan tenaga ketika membrek.
Bagi mereka yang mahukan prestasi lebih tinggi, Tayron R-Line dikuasakan enjin 2.0 liter TSI turbo yang menghasilkan 265PS dan 400Nm, lengkap dengan sistem pacuan semua roda 4MOTION.

DCC Pro Tingkatkan Keselesaan Pemanduan
Kedua-dua varian menerima Dynamic Chassis Control Pro (DCC Pro) yang melaras tahap kekerasan suspensi secara elektronik mengikut keadaan jalan dan gaya pemanduan.
Gabungan sistem itu bersama transmisi DSG tujuh kelajuan memberikan keseimbangan antara keselesaan, kestabilan serta pengendalian yang lebih yakin sama ada di lebuh raya mahupun jalan berliku.
Rekaan Premium Dengan Identiti Berbeza
Tayron tampil dengan bahasa reka bentuk SUV terkini Volkswagen menerusi bonet yang lebih tinggi, garis badan kemas serta rekaan belakang yang moden.
Varian Elegance dilengkapi lampu hadapan LED Plus, manakala R-Line menerima lampu IQ.LIGHT HD Matrix LED bersama fungsi lampu tinggi bebas silau dan lampu isyarat belakang dinamik. Kedua-dua varian turut menggunakan logo Volkswagen bercahaya di bahagian hadapan dan belakang.
Kabin 7 Tempat Duduk, Ruang Kargo Sehingga 1,905 Liter
Di dalam kabin, Tayron menawarkan konfigurasi tujuh tempat duduk dengan tempat duduk baris kedua dan ketiga boleh dilipat bagi menghasilkan ruang simpanan maksimum 1,905 liter.
Tempat duduk hadapan jenis Varenna Leather ergoActive Plus dilengkapi pelarasan kuasa 12 hala, fungsi pemanas, pengudaraan serta urutan menggunakan 10 kusyen udara bagi meningkatkan keselesaan ketika perjalanan jauh.
Varian Elegance menggunakan sistem audio lapan pembesar suara, manakala R-Line menerima sistem audio premium Harman Kardon 700 watt bersama 10 pembesar suara, subwufer dan penguat digital 16 saluran.
Sistem Infotainmen Generasi Baharu
Elegance didatangkan dengan skrin infotainmen Discover bersaiz 12.9 inci, sementara R-Line menerima skrin Discover Pro Max bersaiz 15 inci.
Kedua-duanya menggunakan perisian MIB4, menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pembantu suara IDA, paparan instrumen Digital Cockpit Pro 10.25 inci, manakala R-Line turut dilengkapi Head-Up Display.
IQ.DRIVE Lengkap Dengan 9 Beg Udara
Dari aspek keselamatan, Tayron menerima penarafan 5 bintang Euro NCAP dan dilengkapi pakej bantuan pemandu IQ.DRIVE.
Antara ciri yang ditawarkan termasuk Adaptive Cruise Control (ACC), Travel Assist, Lane Assist, Side Assist, Rear Traffic Alert, Front Assist, Emergency Assist, Park Assist Plus, Driver Attention Monitor serta sembilan beg udara, termasuk beg udara tengah hadapan.
Tawaran Pengenalan Sempena Merdeka

Sempena pelancarannya, VPCM menawarkan pakej istimewa kepada 69 pelanggan pertama Tayron yang merangkumi penyelenggaraan percuma selama tujuh tahun, perlindungan kemalangan diri dan kunci kereta, selain peluang memenangi percutian mewah selama tiga hari dua malam.
Volkswagen Tayron Elegance dijual pada harga bermula RM189,890, manakala harga bersama Volkswagen Assurance Package (VAP) yang merangkumi penyelenggaraan, waranti dan bantuan tepi jalan selama lima tahun bermula RM199,990. Varian R-Line pula kini dibuka untuk pratonton dengan anggaran harga antara RM259,000 hingga RM269,000.









































































