
KETIKA peminat bola sepak seluruh dunia sedang menikmati aksi Piala Dunia FIFA 2026, nama striker atau penyerang pasti antara paling kerap disebut.
Menariknya, pengeluar automotif dari Romania, Dacia, turut memilih nama Striker untuk model kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu jenama itu. Namun bagi Dacia, nama Striker bukan merujuk kepada posisi penyerang dalam bola sepak.
Sebaliknya, membawa maksud ‘making a strike‘ atau mengena sasaran, yang melambangkan cita-cita Dacia untuk menawarkan alternatif baharu dalam segmen-C menerusi gabungan kelebihan SUV, wagon dan sedan.
Dacia Striker 2027 menandakan langkah penting Dacia dalam memperkukuh kehadiran dalam pasaran SUV segmen-C, selaras pelan strategik syarikat menjelang 2030 yang menyasarkan peningkatan sumbangan segmen tersebut daripada 20 peratus kepada 33 peratus daripada keseluruhan jualan.
Gabungan SUV, Wagon dan Sedan
Dacia Striker 2027 dibangunkan sebagai SUV segmen-C yang menggabungkan tiga karakter berbeza dalam satu pakej. Antaranya adalah posisi pemanduan tinggi dan keupayaan meredah laluan mencabar seperti SUV, ruang dalaman dan praktikaliti sebuah wagon, dan kecekapan aerodinamik selain pengendalian yang menghampiri sedan.
Pengarah Rekaaventuk Dacia, David Durand berkata, Dacia Striker adalah jawapan baharu kepada keperluan pengguna masa kini yang mahukan sebuah kenderaan lebih seimbang berbanding SUV konvensional.
Rekabentuk Serba Baharu
Dari segi penampilan, Dacia Striker 2027 tampil bergaya dan tidak nampak seperti produk murah. Konsep sebegini perlu diberi perhatian jenama kereta yang berpegang kepada kereta murah perlu dibuat dengan rekaan ringkas dan sekadar cukup syarat.
Sebaliknya Striker direka dengan garis bumbung lebih rendah dan memanjang, cermin depan lebih condong dan bahagian belakang direka bagi meningkatkan kecekapan aerodinamik.
Antgara elemen utama ialah garisan bahu yang menghubungkan lampu depan dan belakang, sekali gus membentuk identiti rekabentuk model tersebut.
Dacia Striker 2027 juga menjadi model pertama Dacia menggunakan lampu LED bentuk-T pada keempat-empat penjuru badan, yang dipadankan gril hitam kilat dengan logo Dacia Link.
Walaupun memiliki jarak tinggi bumi setanding SUV segmen-C lain, iaitu 200mm (4×4) dan 190mm (4×2), Tinggi keseluruhan Dacia Striker 2027 hanya 1,53omm, lebih rendah berbanding kebanyakan SUV segmen sama yang biasanya melebihi 1,600mm.
SUV kompak itu memiliki dimensi panjang 4,620mm, dan menggunakan rim standard 17 inci, dengan pilihan rim 18 inci dan 19 inci.
Dua Gaya Berbeza
Dacia Striker 2027 ditawarkan dalam pilihan dua varian. Varian Extreme menyasarkan pengguna aktif dengan kemasan pelindung Starkle®, upholsteri sintetik Microcloud, karpet getah, sistem pacuan empat roda (4×4), dan ciri Kawalan Turun Bukit (HDC).
Sementara itu, varian Journey lebih menumpukan pada keselesaan perjalanan jauh menerusi kehadiran kerusi pemandu boleh laras elektrik, kerusi depan dan stereng dengan fungsi pemanas, pintu but elektrik dan pelbagai ciri premium lain.
Kabin Moden, Praktikal
Bahagian dalaman Dacia Striker 2027 menampilkan papan pemuka tiga lapis dengan unit infotainmen skrin sentuh 10.1 inci sebagai ciri standard.
Turut disediakan kluster instrumen digital LightVisio 7 inci, dengan varian lebih tinggi menerima sistem Media Nav Live yang lengkap navigasi masa nyata, kemas kini peta selama lapan tahun dan sistem audio Arkamys 3D dengan enam pembesar suara.
Dacia Striker 2027 turut memperkenalkan beberapa penyelesaian praktikal seperti sistem aksesori YouClip dengan sehingga sembilan cagak (mounting) pemasangan dalam kabin dan ruang storan bawah perehat tangan berkapasiti 6.7 liter.
Menariknya, Dacia turut membekalkan pengikis ais yang disorokkan dalam papan pemuka dan pemegang cawan boleh tanggal.
Ruang Kargo hingga 600 Liter
Dacia Striker 2027 mampu membawa lima penumpang dan menawarkan kapasiti ruang but hingga 600 liter, antara terbesar dalam segmen-C.
Model itu turut dilengkapi sistem buka but mudah Easy Trunk Opening, yang mana pintu but dibuka automatik apabila pengguna berdiri berhampiran kenderaan bersama kunci pintar.
Selain itu, lantai but tiga bahagian boleh dilaras mengikut keperluan, manakala tempat duduk belakang boleh dilipat 60:40, terus dari ruang but menerusi sistem lipatan mudah Easy Fold.
Dua Pilihan Trenkuasa Hibrid
Dacia Striker 2027 ditawarkan dalam pilihan dua trenkuasa elektrifikasi. Pertama ialah Hybrid 155 yang menggabungkan enjin petrol 1.8L berkuasa 109hp, dua motor elektrik (49hp), bateri 1.4 kWj (280V) dan transmisi automatik tanpa klac.
Menurut Dacia, varian itu mampu bergerak menggunakan kuasa elektrik sehingga 80 peratus ketika pemanduan bandar, dengan pelepasan emisi karbon dioksida kurang 100 gram per km.
Pilihan kedua ialah Hybrid 150 4×4 yang menggunakan enjin hibrid ringan (MHEV) 1.2L 48V berkuasa 140hp dan tork 230Nm, yang dipadankan transmisi automatik dual-klac (DCT) 6-kelajuan dengan pedal syif gear.
Gandar belakang pula menerima motor elektrik berkuasa 31hp dan tork 87Nm dengan transmisi 2-kelajuan, menghasilkan kuasa gabungan 150hp.
Sistem itu menawarkan lima mod pandu: Auto, Eco, Snow, Mud/Sand dan Off-Road, selain fungsi Kawalan Turun Bukit (HDC) sebagai ciri standard untun Extreme.
Lebih Mesra Alam

Dacia Striker 2027 turut meneruskan pendekatan Eco-Smart Dacia dengan penggunaan lebih 32 peratus bahan ekonomi kitaran.
Model itu mengandungi 47kg plastik kitar semula, iaitu 3.4 kg lebih banyak berbanding Bigster dan 5.5kg lebih banyak daripada Duster, sekali gus menjadi rekod tertinggi bagi Dacia.
Selain penggunaan bahan Starkle®, Dacia juga tidak lagi menggunakan kemasan kulit asli dan krom pada model baharu itu bagi mengurangkan jejak karbon pengeluaran.
Harga Dacia Striker 2027
Dacia Striker 2027 ditawarkan dalam empat varian: Essential, Expression, Extreme danJourney.
Di pasaran Britain, harga SUV itu ditetapkan bawah £25,000 (RM136,010), sekali gus menjadi antara model paling kompetitif dalam SUV segmen-C.














































































