URBAN Automotive meraikan ulang tahun ke-10 penyertaan di Goodwood Festival of Speed dengan memperkenalkan dua projek terbesar berasaskan Land Rover Defender, iaitu Urban Widetrack Avontur Prototype dan program talaan khas, Defender OCTA.
Kedua-dua projek berkenaan menggambarkan perancangan Urban Automotive untuk menghasilkan rekabentuk lebih berani, meningkatkan pelaburan dalam pembangunan produk dan keupayaan kejuruteraan dalaman, selain menawarkan kenderaan yang lebih eksklusif kepada pelanggan.
1. Urban Widetrack Avontur – Defender Ubah Jadi Kenderaan Utiliti Mewah

Urban Widetrack Avontur Prototype membuat kemunculan sulung dunia di Goodwood Festival of Speed 2026.
Dibangunkan berasaskan Land Rover Defender 110 Hard Top, Avontur mengubah kenderaan utiliti sukan (SUV) itu menjadi kenderaan utiliti gaya hidup mewah yang menggabungkan kemewahan, praktikaliti dan keupayaan komersial dalam satu pakej.
Model itu turut menjadi antara program pembangunan kenderaan terbesar pernah dihasilkan Urban Automotive, selain projek utama pertama syarikat selepas menyertai AM Group.
Avontur direka untuk digunakan dalam pelbagai situasi sama ada di kawasan estet, marina persendirian, pusat bandar atau kawasan luar bandar tanpa mengorbankan prestasi atau kemewahan.
Lebih 36 Komponen Khas Dibangunkan
Bagi menghasilkan Avontur, Urban membangunkan struktur kejuruteraan baharu yang lengkap dengan casis badan dan sistem perlindungan oleng (rollover ) yang direka khas untuk memastikan ketegaran struktur, tahap penghalusan dan karakter pemanduan asal Defender terus dikekalkan.
Menggunakan platform Widetrack, Avontur dilengkapi lebih 36 komponen khas, seperti:
- Bonet gentian karbon baharu
- Kemasan sisi gentian karbon
- Rekaan belakang badan serba baharu
- Ruang kargo terbuka menggunakan gentian karbon sepenuhnya
- Sistem rel utiliti modular terbina dalam
- Logo UA Icon pada lantai ruang but
- Pintu belakang asal yang masih berfungsi
- Pemegang botol terbina dalam pada pintu belakang
- Struktur kejuruteraan dan rangka oleng (rollover) khas
Pelanggan boleh memilih kemasan Forged Carbon, Urban 2×2 Carbon Fibre atau Urban 4×4 Carbon Fibre, yang masing-masing dengan pilihan kemasan kilat atau kusam.
2. Defender OCTA Tampil Pakej Talaan Lengkap
Turut membuat penampilan rasmi ialah program talaan baharu Land Rover Defender OCTA, yang dibangunkan khas untuk model prestasi tinggi Defender itu.
Program itu mencerminkan komitmen Urban Automotive terhadap rekabentuk asli, kejuruteraan dan pembuatan komponen sendiri, selain memperkenal evolusi terkini bahasa rekabentuk syarikat.
Antara komponen ditawarkan ialah:
- Bonet gentian karbon dengan saluran udara
- Canard depan gentian karbon
- Perumah lampu siang (DRL) dan gril gentian karbon
- Kemasan gril tengah gentian karbon
- Liang sisi gentian karbon
- Sambungan gerbang roda depan dan belakang
- Spoiler belakang baharu
- Kemasan ekzos gentian karbon
- Penutup tayar simpanan khas dengan sisipan gentian karbon
Selain itu, beberapa komponen dihasilkan menggunakan teknologi cetakan 3D PA12 bagi meningkatkan ketepatan pemasangan.
Defender OCTA itu turut dipadankan rim tempa Urban-Vossen 23 inci yang dihasilkan secara buatan tangan di Miami, khas untuk model tersebut.
Seperti Avontur, pelanggan boleh memilih kemasan Forged Carbon, Urban 2×2 Carbon Fibre atau Urban 4×4 Carbon Fibre, bersama pilihan lapisan kilat atau kusam.
Keseluruhan pakej talaan kini boleh ditempah melalui Urban Automotive dan rangkaian pengedar global.
Barisan Model Mewah Lain
Selain dua projek Defender berkenaan, Urban Automotive turut mempamerkan beberapa model lain yang menggunakan pakej Widetrackย seperti Rolls-Royce Cullinan Series II, Lamborghini Urus SE, Mercedes-Benz G-Class dan Range Rover Autobiography hasil kerjasama Urban x Visionnaire.





































