EDARAN Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) memperkenalkan enam varian trak pikap Nissan Navara (2021) baharu sebentar tadi pada harga bermula serendah RM91,900.
Navara, atau popular dengan julukan 'Mother Trucker' menawarkan enjin 2.5L (YD25) dalam dua pilihan transmisi, iaitu manual atau automatik. Jenis varian dan harga adalah seperti berikut:
- 2.5L Pro-4X (AT) - RM142,200 (Semenanjung Malaysia); RM144,200 (Sabah & Sarawak)
- 2.5L VL (AT) - RM137,900 (Semenanjung Malaysia); RM139,900 (Sabah & Sarawak)
- 2.5L V (AT) - RM125,500 (Semenanjung Malaysia); RM127,500 (Sabah & Sarawak)
- 2.5L SE (AT) - RM116,900 (Semenanjung Malaysia); 118,900 (Sabah & Sarawak)
- 2.5L SE (MT) - RM110,900 (Semenanjung Malaysia); RM112,900 (Sabah & Sarawak)
- 2.5L Single Cab (MT) - RM91,900 (Semenanjung Malaysia); RM93,900 (Sabah & Sarawak)
* Harga atas jalan dengan cukai jualan, tanpa insurans. Tambahan RM50 untuk cukai jualan tayar di Sarawak.
Di bawah ini pula adalah perincian lengkap mengenai varian Navara (2021) baharu yang ditawarkan ETCM kepada pembeli Malaysia:
1. TRENKUASA
- Enjin 4-silinder sebaris Intercooler Turbo-Diesel DOHC dan transmisi automatik 7-kelajuan dengan mod manual, berkuasa 188hp @ 3,600rpm dan tork 450Nm pada 2,000rpm.
- Varian: Pro-4X Auto, VL Auto, V Auto dan SE Auto.
- Enjin 4-silinder sebaris Intercooler Turbo-Diesel DOHC dan transmisi manual 6-kelajuan, berkuasa 161hp @ 3,600rpm dan tork 403Nm pada 2,000rpm.
- Varian: SE Manual dan Single Cab Manual.
2. SUSPENSI, CIRI DAN KESELAMATAN
- Semua varian Navara (2021) baharu (kecuali varian Single Cab) dilengkapi sistem suspensi belakang jenis multilink dengan Dual-Rate Coil Springs untuk mengurangkan kesan pergerakan badan.
- Sistem Elektronik Locking Rear Differential pula membantu mengunci kedua-dua roda belakang untuk memastikannya dapat berpusing pada kelajuan sama jika terperangkap dalam laluan berpasir, lumpur dan permukaan jalan mencabar.
- Pintu but terasa ringan kerana teknologi Tailgate Assist untuk lebih mudah dibuka atau tutup semasa memuatkan kargo di bahagian belakang.
- Cermin kaca Laminasi Akustik untuk mengurangkan kesan bunyi pada cermin utama dan tingkap depan.
- Ciri keselamatan pula membabitkan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Sistem Kawalan Traksi (TCS), Active Brake Limited Slip Differential, Bantu Mula Bukit (HSA), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA). Varian Pro-4X Auto, VL Auto dan V Auto turut menerima teknologi Nissan Intelligent Mobility.
3. JENIS VARIAN
i. SINGLE CAB MANUAL
LUARAN
- Gril depan Interlock baharu. Bampar depan sama warna dengan badan tetapi bampar belakang serta pemegang hendal pula tidak dicat. Bampar belakang turut disatukan dengan pemijak (Integrated Step).
- Lampu utama jenis halogen (dengan fungsi Nyala/Padam) dan lampu belakang halogen. Dilengkapi pemijak sisi (Bed Step) untuk memudahkan akses masuk ke dalam kabin. Cermin sisi pula boleh laras tetapi hanya boleh dilipat secara manual.
- Menggunakan suspensi belakang jenis Leaf Spring. Rim 16 inci digunakan diperbuat dari besi dengan tayar bersaiz (205/16). Dimensi trak pikap ini ialah 5,335mm (panjang) x 1,560mm (lebar) dan 1,775mm (tinggi). Mampu membawa muatan 1.1 tan.
- Warna pilihan cuma Solid White (putih).
Dalaman
- Masukan tanpa kunci (keyless) dengan kunci jack knife dan Penghidup Kunci Silinder (Key Cylinder Ignition). Meter digunakan ialah monokrom standard.
- Sistem stereng jenis sporty beserta butang kawalan audio dan Bluetooth. Sistem audio pula jenis Double-Din dengan sambungan Bluetooth dan dua unit pembesar suara. Tempat duduk adalah jenis kain Vinyl.
- Tambahan lain ialah sistem penyaman udara, sistem pengelap cermin dengan sensor kelajuan serta sistem mengunci pintu dengan sensor kelajuan.
Keselamatan
- Ada ABS, EBD, BA, dua beg udara SRS, dua unit sensor undur dan imobilizer.
ii. SE AUTO dan MANUAL
Luaran
- Gril depan Interlock baharu berwarna krom beserta cetakan nama Navara. Lampu depan dan belakang sama seperti Single Cab Manual. Bampar depan dwiwarna iaitu hitam dan perak. Pemegang pintu juga berwarna krom manakala pemijak sisi berwarna hitam.
- Cermin sisi kuasa mengikut warna badan dan boleh dilaras atau dilipat. Lampu isyarat belok jenis LED turut dipasang pada perumah cermin sisi. Rim pula 17 inci dengan profil tayar 255/65.
- Dimensi keseluruhan ialah 5,260mm (panjang) x 1,850mm (lebar) x 1,825mm (tinggi).
- Ada tiga pilihan warna iaitu Black Star (hitam), Brilliant Silver (perak) dan Solid White (putih).
Dalaman
- Memiliki ciri sama seperti Single Cab Manual dengan tambahan 4-pembesar suara audio dan tempat duduk jenis sport semi bucket dengan kemasan fabrik hitam yang boleh laras 6-tetapan secara manual.
- Tempat duduk belakang pula ada sokongan paha dan penyandar kepala berlekuk. Selain itu, ada perehat tangan untuk penumpang belakang. Varian ini didatangkan bersama penyaman udara dengan ventilator belakang.
Keselamatan
- Sama seperti Single Cab Manual dengan tambahan ciri ISOFIX
iii. V AUTO
Luaran
- Mewarisi gaya seperti SE Auto tetapi dilengkapi lampu utama projektor kuas LED dengan lampu siang (DRL) LED bentuk C. Lampu belakang dan lampu kabus juga LED.
- Pilihan warna: Burning Red (merah), Black Star (hitam), Brilliant Silver (perak) dan Solid White (putih).
Dalaman
- Ada tambahan butang kawalan stereng untuk akses kluster instrumen digital dan kawalan jelajah (cruise control) untuk teknologi Sistem Kawalan Jelajah.
- Menggunakan paparan digital 7-inci, unit infotainment skrin sentuh 8 inci pada papan pemuka dengan konektiviti Apple CarPlay dan Android Auto. Konsol tengah itu digabungkan berserta kamera undur dan enam unit sistem pembesar suara. Penyaman udara pula sama seperti SE Auto, tetapi jenis automatik dwi-zon.
Keselamatan
- Ciri keselamatan sama seperti SE Auto dengan beberapa tambahan, seperti Amaran Ramalan Pelanggan Pintar Depan, Amaran Pembrekan Pintar Depan, Amaran Kesedaran Pemandu Pintar dan enam beg udara SRS.
iv. VL AUTO
Luaran
- Dilengkapi rel bumbung perak, rim aloi dwi-tona 18 inci dengan profil tayar 255/60. Ukuran dimensi sama seperti SE Auto, tetapi lebih tinggi 35mm. Trak pikap ini juga mewarisi aspek luaran lain sama seperti V Auto.
Dalaman
- Varian ini sama ciri seperti V Auto tetapi ada tambahan ciri lain seperti kerusi elektrik boleh laras 8-tetapan, kerusi kulit hitam corak heksagon dengan sulaman benang perak. Tambahan lain, sistem pengelap cermin dengan sensor hujan.
Keselamatan
- Merangkumi Intelligent Around View Monitor dengan Moving Object Detection dan mod off-road, Amaran Keluar Lorong (LDW), Amaran Titik Buta (BSW), Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA), Bantuan Lampu Tinggi, Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS) dan empat sensor undur serta immobilizer.
v. PRO-4X AUTO
Menerima rekabentuk sama seperti VL Auto dengan tambahan ciri menarik seperti gril depan Interlock hitam dengan teks Navara dan logo Nissan pada bahagian depan dan belakang model itu.
Varian ini menerima aksen warna jingga dan hitam pada bamper depan, manakala fender pula dihitamkan berserta kemasan jingga. Tona hitam juga dikenakan pada rel bumbung, perumah cermin sisi, hendal pintu dan pemijak sisi kenderaan.
Rim aloi Pro-4X hitam 17 inci dibalut tayar semua rupa bumi (all-terrain) bersaiz 255/65. Ada tambahan Utili-Track Channel badan ruang kargo belakang dan empat cangkuk hitam jenis aluminium (tahan lasak).
Dimensi trak pikap ini ialah 5,260mm panjang dengan 1,875mm (lebar) dan 1,855mm tinggi. Varian ini tidak didatangkan dengan ciri Sistem Pemantau Tekanan Tayar. Warna pilihan: Stealth Grey (kelabu), Burning Red (merah), Black Star (hitam) dan Pearl White (putih mutiara). Warna putih mutiara dikenakan harga tambahan RM1,300.
Dalaman
Aspek dalaman mirip VL Auto, tetapi ada sulaman logo Pro-4X dengan sulaman benang jingga. Kerusi jenis boleh laras manual enam tahap. Ciri keselamatan pula sama seperti VL Auto.
4. JAMINAN
Setiap pembelian Navara (2021) akan dipakejkan bersama waranti selama lima tahun atau jarak perbatuan 150,000km (mana satu tiba dulu).
Leave a Reply