
MV Agusta memperkenalkan Brutale 1000 ABT, model edisi terhad hasil kerjasama bersama ABT Sportsline yang menggabungkan seni motosikal Itali dan kejuruteraan prestasi Jerman dalam satu pakej eksklusif.
Model ini dihasilkan sebanyak 130 unit sahaja dan sempena ulang tahun ke-130 ABT Sportsline, sekali gus menandakan lebih satu abad legasi prestasi jenama Jerman itu.
Menurut MV Agusta, kerjasama tersebut menghimpunkan dua jenama yang berkongsi falsafah sama dalam aspek inovasi, ketelitian pembuatan dan pembangunan prestasi berorientasikan emosi pemanduan.
Kerjasama MV Agusta dan ABT

MV Agusta menyatakan Brutale 1000 ABT bukan sekadar model edisi khas, sebaliknya sebuah jentera yang menggabungkan teknologi moden, eksklusiviti dan elemen rekaan dalam satu pakej seimbang.
Kerjasama itu turut menggabungkan:
- Warisan reka bentuk dan DNA perlumbaan MV Agusta
- Kepakaran ABT dalam kejuruteraan automotif berprestasi tinggi
- Pembangunan berorientasikan prestasi dan emosi penunggang
Rekaan dan Konsep Warna

Brutale 1000 ABT menggunakan gabungan warna Nero Carbonio Metallizzato dan Rosso Fuoco yang direka untuk menampilkan karakter agresif serta sofistikated.
- Teknik manual
- Kawalan kitaran pengerasan
- Lapisan akhir khas untuk meningkatkan ketahanan dan rintangan UV
MV Agusta turut menampilkan elemen visual khas pada dua sisi motosikal:
- Bendera Jerman bersama slogan ABT FROM THE RACETRACK TO THE ROAD
- Bendera Itali bersama slogan ikonik MV Agusta MOTORCYCLE ART
Gabungan itu diwujudkan bagi menggambarkan hubungan visual antara kejuruteraan Jerman dan seni automotif Itali.
Inspirasi Automotif

Brutale 1000 ABT menerima beberapa elemen rekaan yang diinspirasikan daripada dunia automotif prestasi tinggi dan teknologi perlumbaan.
Pelana menggunakan corak tekstur sarang lebah yang sinonim dengan kabin kereta prestasi premium, manakala kaliper brek Brembo Stylema menerima kemasan hitam bersama logo Brembo merah.
Antara komponen paling menonjol ialah penutup rim belakang gentian karbon yang diinspirasikan daripada rim gaya turbofan perlumbaan.
Menurut MV Agusta, komponen tersebut bukan sekadar kosmetik kerana ia membantu:
- Mengurangkan gelora aerodinamik di sekitar roda belakang
- Meningkatkan kecekapan aerodinamik
- Menyumbang kepada prestasi lebih baik
Trenkuasa

Jentera ini dikuasakan enjin empat silinder sebaris 1,000cc yang kini mematuhi piawaian Euro 5+ sambil mengekalkan prestasi tinggi sinonim MV Agusta.
Enjin dipasangkan sistem ekzos Arrow Titanium slip-on empat saluran yang ditawarkan menerusi kit khas untuk kegunaan perlumbaan sahaja.
Antara kemas kini yang diberikan termasuk:
- Aci sesondol baharu
- Talaan semula pemetaan enjin
- Sensitiviti pendikit dipertingkat
- Nisbah kotak gear dioptimumkan
- Nisbah akhir lebih pendek untuk pecutan lebih responsif
Prestasi yang dihasilkan adalah:
- 201hp@13,500rpm dengan ekzos standard
- 208hp@14,000rpm menerusi kit perlumbaan bersama pemetaan ECU khas
- 116Nm@11,000rpm
Kit perlumbaan khas itu turut merangkumi sistem ekzos Arrow Titanium empat muncung bersama pemetaan ECU khusus untuk kegunaan perlumbaan sahaja.
Suspensi elektronik Öhlins

Brutale 1000 ABT dilengkapi sistem suspensi elektronik Öhlins berprestasi tinggi yang direka untuk memberikan ketepatan kawalan maksimum dan keyakinan lebih tinggi kepada penunggang.
Komponen yang digunakan terdiri daripada:
- Fork depan terbalik Öhlins Nix EC dengan rawatan permukaan TiN
- Penyerap hentak belakang progresif EC TTX
- Damper stereng EC dengan mod pelarasan manual elektronik dan automatik

Sistem tersebut membolehkan pelarasan elektronik dilakukan pada:
- Kadar mampatan suspensi
- Kadar lantunan suspensi
- Talaan casis mengikut keadaan tunggangan
Rim Tempa dan Aerodinamik

Rim tempa depan dan belakang digunakan bagi meningkatkan ketegaran serta mengurangkan berat tidak berspring untuk pengendalian lebih tangkas.
MV Agusta turut menggunakan penutup rim belakang gentian karbon yang diinspirasikan daripada aerodinamik kereta lumba bagi membantu:
- Mengurangkan gelora
- Meningkatkan kecekapan aerodinamik
Rim depan pula menerima jalur merah halus yang dipadankan dengan warna Rosso Fuoco pada badan motosikal.
Sistem brek berinspirasikan perlumbaan

Sistem brek menggunakan cakera depan Braking Batfly bersaiz 320 mm yang direka khusus untuk kegunaan perlumbaan.
Cakera tersebut menggunakan geometri saluran khas untuk:
- Meningkatkan penyejukan haba
- Menghasilkan fungsi pembersihan kendiri secara berterusan
Ia dipadankan bersama kaliper monoblok Brembo Stylema bagi memberikan:
- Prestasi membrek lebih konsisten
- Modulasi brek lebih baik
- Kuasa henti tahap litar
Pelana Alcantara

Brutale 1000 ABT menggunakan pelana khas berbalut Alcantara yang dipilih kerana kualiti sentuhan premium dan kaitannya dengan kabin automotif prestasi tinggi.
Pelana tersebut menerima:
- Corak jahitan sarang lebah
- Lapisan busa sokongan setebal 5 mm
Gabungan tersebut membantu meningkatkan:
- Keselesaan
- Ketahanan
- Sokongan ergonomik untuk penunggang
Komponen Gentian Karbon

Sebanyak 19 komponen menggunakan binaan gentian karbon dengan kemasan plain weave.
Komponen tersebut termasuk:
- Sokongan pelindung lumpur depan kanan dan kiri
- Penutup kotak udara
- Penutup pendawaian papan pemuka
- Saluran udara dalaman kanan dan kiri
- Panel sisi tangki bahan api kanan dan kiri
- Panel bawah pelana baharu bersama logo MV Agusta dan ABT kanan dan kiri
- Penutup lampu projektor
- Spoiler depan
- Pelindung haba kanan dan kiri
- Penutup rim belakang
- Penutup enjin bahagian klac dan kotak gear
- Penutup pelana penumpang bercat
- Panel bawah belakang
Kit khas pemilikan

Setiap Brutale 1000 ABT didatangkan bersama pakej khas yang merangkumi:
- Ekzos Arrow Titanium Slip-on bersama pemetaan ECU khas
- Cakera depan Braking Batfly
- Penutup pelana penumpang gentian karbon bercat
- Plat pelarasan pivot lengan ayun
- Penutup motosikal khas
- Kit sambutan dan sijil ketulenan
- Kotak khas komponen kecil serta manual arahan
Pengeluaran dan harga

MV Agusta Brutale 1000 ABT akan dihasilkan dalam jumlah hanya 130 unit bagi pasaran global dengan pengeluaran dijadualkan bermula pada suku keempat 2026.
Harga jualan di Itali ditetapkan pada €40,990 iaitu sekitar RM188,932.
























