KTM Malaysia akhirnya membuat kemunculan semula yang dinanti-nantikan peminat dua roda tempatan menerusi pelancaran empat model baharu merangkumi segmen advencer, dual-sport dan supermoto.
Pelancaran tersebut turut menandakan evolusi baharu platform KTM 390 yang kini lebih menumpukan keupayaan dwi-guna menerusi tema ‘≠1 Two Worlds, Zero Excuses’ dengan gabungan karakter jalan raya dan off-road dalam satu pakej.
Harga Rasmi KTM 390 Series di Malaysia
Berikut model dan harga diperkenalkan:
- KTM 390 Adventure R – RM33,300
- KTM 390 Adventure X – RM29,300
- KTM 390 Enduro R – RM27,300
- KTM 390 SMC R – RM27,300
Semua harga hadir bersama ciri Quickshifter+ percuma dan waranti empat [4] tahun. KTM 390 Duke generasi baharu pula dijadual tiba suku keempat (Q4) 2026 pada harga RM30,300.
Enjin Baharu LC4c – 45ps, 39 Nm
Semua model dibangunkan menggunakan platform sama menerusi enjin baharu silinder tunggal LC4c 398.7cc yang menghasilkan output kuasa 45ps dan tork 39Nm, serta dipadankan transmisi klac manual 6-kelajuan, dengan nisbah kuasa-ke-berat antara terbaik dalam kelas.
Selain prestasi lebih responsif, KTM turut memanjangkan selang servis kepada setiap 10,000km selepas servis pertama pada 1,000km, sekali gus membantu mengurangkan kos pemilikan jangka panjang.
i. KTM 390 Adventure R – Fokus Off-Road Maksimum
KTM 390 Adventure R tampil sebagai model paling ekstrem dalam famili ini dengan rekabentuk mengambil ilham jentera rali.
Model itu dilengkapi panel meter TFT 5 inci resolusi tinggi dengan tiga mod tunggangan: Street, Off-Road dan Rain.
Bagi meningkatkan keupayaan laluan lasak, KTM 390 Adventure R menggunakan fork WP APEX Open Cartridge 43mm dengan jarak travel 230mm di depan, dan monoshock WP APEX Separate Piston (belakang).
Turut tersedia ialah sistem Kawalan Traksi Motosikal (MTC) dengan teknologi belokan, Cornering ABS dan Offroad ABS.
ii. KTM 390 Adventure X – Advencer Mesra Harian
Bagi penunggang yang mahukan motosikal touring dan advencer ringan, KTM 390 Adventure X adalah pilihan paling praktikal.
Model itu hadir dengan tinggi pelana lebih rendah, 825mm selain kapasiti tangki bahan api 14 liter untuk perjalanan lebih jauh. Suspensi menggunakan unit WP APEX dengan Offroad ABS untuk memberikan keseimbangan antara keselesaan jalan raya dan kemampuan laluan kerikil.
iii. KTM 390 Enduro R – Dual-Sport Paling Ringan
KTM 390 Enduro R pula dibangunkan dengan mengambil ilham KTM 690 Enduro R dengan fokus utama terhadap tunggangan dual-sport sebenar.Dengan berat kering 159kg, model itu menawarkan pengendalian lincah untuk laluan teknikal dan penggunaan bandar.
Model tersebut menggunakan rim jejari 21 inci depan dan 18 inci (belakang) berserta fork WP APEX Open Cartridge 43mm dan monoshock Separate Piston.
Sistem ABS Bosch 10.3MB turut membenarkan mod Offroad ABS pilihan, selain komponen boleh laras seperti suspensi, peg kaki dan tuil klac.
iv. KTM 390 SMC R – Supermoto Tulen KTM
Buat kali pertama, KTM turut membawa model supermoto sesaran kecil menerusi KTM 390 SMC R.
Model itu direka untuk tunggangan agresif di bandar dan litar dengan penggunaan panel meter TFT 4.2 inci bersama mod tunggangan Street dan Sport.
Ia turut dilengkapi sistem Supermoto ABS yang membolehkan penunggang melakukan aksi gelongsor (slide) dengan lebih yakin sambil mengekalkan kawalan roda depan.
Bahagian suspensi menggunakan fork WP APEX Open Cartridge 43mm dengan travel 230mm di depan, manakala sistem brek depan jenis cakera radial 320mm dengan kaliper ByBre.
v. KTM 390 Duke Dapat Warna Baharu
Selain empat model utama itu, KTM Malaysia turut mengesahkan KTM 390 Duke bakal menerima pilihan warna baharu dengan penampilan lebih agresif.
Naked bike popular tersebut dijangka tiba ke pasaran tempatan sekitar suku keempat tahun ini.
Eurotech Road Tour Jelajah Malaysia
Sempena pelancaran siri baharu KTM 390, KTM Malaysia turut mengumumkan penganjuran Eurotech Road Tour yang akan berlangsung di beberapa lokasi seluruh negara.
Jelajah itu turut disertai jenama seperti Zontes, Gracshaw, Motorex dan BikeEmpire96 dengan pelbagai aktiviti seperti sesi tunggang uji dan pameran produk. Antara lokasi bakal dikunjungi adalah:
• MyTOWN Shopping Centre, Kuala Lumpur – 14 – 17 Mei 2026
• Auto-City, Pulau Pinang – 22 – 24 Mei 2026
• KTCC Mall, Terengganu – 11 – 13 Jun 2026
• Toppen Shopping Centre, Johor – 19 – 21 Jun 2026
KTM Kembali dengan Fokus Lebih Besar
Pengurus Pemasaran Nasional KTM Malaysia, Goi Seong Keng berkata, pelancaran siri KTM 390 baharu menunjukkan komitmen KTM dalam memenuhi permintaan penunggang moden yang mahukan motosikal versatil untuk kegunaan harian, touring dan off-road.
Dengan gabungan prestasi, teknologi dan karakter READY TO RACE yang sinonim dengan KTM, siri KTM 390 generasi baharu dijangka menjadi antara pilihan paling menarik dalam segmen motosikal ringan premium di Malaysia.














































































































