
KTM memperkenalkan 790 DUKE 2027 (MY27), yang disifatkan sebagai evolusi paling besar pernah dilakukan terhadap model itu sejak ia diperkenalkan ke pasaran.
Dikenali sebagai The Scalpel, model naked pertengahan tersebut menerima pelbagai peningkatan melibatkan rekaan, ergonomik, pengendalian, sistem brek dan suspensi bagi menawarkan tahap kawalan yang lebih baik kepada penunggang.
Fokus utama pembangunan model baharu itu adalah untuk menjadikan 790 DUKE lebih intuitif, lebih tepat dan lebih menyeronokkan ditunggang dalam pelbagai situasi.
Rekaan Lebih Agresif

Perubahan paling ketara dapat dilihat pada penampilan apabila KTM 790 DUKE 2027 mengambil inspirasi daripada model lebih besar seperti KTM 990 DUKE dan KTM 1390 SUPER DUKE R.
Antara pembaharuan yang dilakukan termasuk:
- Unit lampu hadapan baharu
- Panel badan yang lebih kemas dan aerodinamik
- Fairing hadapan lebih besar
- Tangki bahan api direka semula
Hasilnya ialah penampilan yang lebih garang dan matang berbanding model terdahulu.
Enjin 799cc LC8c Kekal Dengan 105hp

Di sebalik perubahan luaran, KTM masih mengekalkan enjin berkembar selari (parallel-twin) LC8c berkapasiti 799cc yang kini mematuhi piawaian pelepasan emisi Euro 5+.
Enjin tersebut menghasilkan:
- 105hp untuk versi standard
- 95hp untuk versi lesen A2
Sistem ekzos dan peredam bunyi (muffler) direka semula bagi melengkapkan pakej trenkuasa model 2027.
Kedudukan Tunggangan Baharu

Peningkatan terbesar pada KTM 790 DUKE 2027 tertumpu kepada aspek ergonomik menerusi reka bentuk semula keseluruhan rider triangle.
KTM memperkenalkan:
- Hendal baharu dengan sudut yang lebih terbuka
- Kedudukan perehat kaki penunggang dan pembonceng yang diubah
- Pelana yang dipertingkatkan
Gabungan komponen tersebut memberikan kedudukan tunggangan yang lebih semula jadi serta meningkatkan hubungan antara penunggang dan motosikal.

Walaupun tampil dengan imej yang lebih besar dan matang, KTM berjaya mengurangkan berat keseluruhan sebanyak 2kg berbanding model terdahulu.
Model baharu ini turut menerima subrangka baharu, triple clamp baharu dan reka bentuk tangki yang dikemas kini bagi meningkatkan maklum balas casis serta rasa kawalan pada roda hadapan.
Sistem Brek WP Radial Baharu

Satu lagi peningkatan penting ialah penggunaan sistem brek radial WP baharu yang dibangunkan secara dalaman oleh KTM.
Menurut KTM, sistem itu menawarkan:
- Kuasa membrek yang lebih tinggi
- Operasi tuil brek yang memerlukan kurang tenaga
- Respons yang lebih linear
- Kawalan dan maklum balas yang lebih baik
- Kurang sentakan awal ketika membrek
Peredam hendal WP turut dipasang sebagai kelengkapan standard bagi meningkatkan kestabilan motosikal.
Suspensi WP APEX Dipertingkatkan

Bahagian suspensi turut menerima penambahbaikan menerusi penggunaan komponen WP APEX yang dikemas kini.
Di hadapan, KTM menggunakan fork terbalik WP APEX 43mm jenis kartrij terbuka dengan:
- Gerakan suspensi 150mm
- Larasan mampatan (compression)
- Larasan lantunan (rebound)
- Teknologi fungsi berasingan (split-function)

Di belakang penyerap hentak WP APEX Monotube berbantu gas yang menawarkan:
- Gerakan suspensi 170mm
- Larasan prabeban (preload)
- Larasan lantunan
KTM turut memperkenalkan sistem pelarasan suspensi yang lebih mudah menerusi dail lima klik bagi membolehkan penunggang menyesuaikan karakter motosikal mengikut keperluan masing-masing.
Tayar Pirelli Diablo Rosso IV Sebagai Standard

KTM turut mengumumkan penggunaan tayar Pirelli Diablo Rosso IV sebagai kelengkapan standard.
Demo Mode Dihentikan
Selain itu, pengeluar Austria tersebut memaklumkan bahawa maklum balas pengguna telah membawa kepada keputusan untuk menghentikan penggunaan fungsi Demo Mode secara berperingkat pada model-model KTM akan datang.
Masih Tajam, Kini Lebih Terkawal

KTM menyifatkan 790 DUKE 2027 sebagai motosikal yang dibangunkan berasaskan falsafah Cut on Command, dengan karakter yang bertindak balas secara langsung terhadap setiap input penunggang.
Walaupun masih mengekalkan DNA pengendalian tajam dan lincah yang sinonim dengan keluarga DUKE, model baharu ini menawarkan tahap kawalan, kestabilan dan keyakinan yang lebih tinggi berbanding sebelumnya.

KTM turut menawarkan rangkaian aksesori KTM PowerParts serta pakaian tunggangan KTM PowerWear untuk pemilik yang ingin menyesuaikan motosikal mengikut keperluan masing-masing.
KTM 790 DUKE 2027 akan mula berada di pusat jualan sah KTM bermula penghujung Julai 2026, bergantung kepada pasaran. Harga jualan akan diumumkan mengikut negara masing-masing.































