
PENGEDAR rasmi, AMI SUZUKI Malaysia membuat kejutan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 menerusi penampilan sulung Suzuki SV-7 GX, sebuah motosikal sport touring baharu yang direka khusus untuk tunggangan jarak jauh di atas jalan raya.
Model itu mengambil inspirasi daripada reka bentuk Suzuki GSX-S1000GX, namun hadir dengan karakter tersendiri yang lebih mesra penunggang harian. Berbanding Suzuki V-Strom 650 yang mempunyai elemen pengembaraan lebih ketara, SV-7 GX memberi tumpuan kepada keselesaan dan prestasi di atas permukaan berturap.
Enjin V-Twin 645cc Euro 5+

Dari aspek kuasa, Suzuki SV-7 GX menggunakan enjin sama yang terdapat pada V-Strom 650, iaitu unit V-Twin 90 darjah berkapasiti 645cc yang mematuhi piawaian emisi Euro 5+.
Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 73PS pada 8,500rpm dan tork 64Nm pada 6,800rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan lengkap dengan quickshifter serta sistem pacuan rantai.
Tiga Mod Tunggangan Disediakan
Bagi memenuhi pelbagai situasi tunggangan, Suzuki melengkapkan SV-7 GX dengan tiga mod tunggangan berbeza.
Mod A menawarkan respons pendikit paling agresif untuk tunggangan sporty, manakala Mod B sesuai digunakan dalam kebanyakan keadaan jalan raya. Mod C pula bertindak sebagai mod hujan dengan kuasa dihadkan kepada 60PS bagi meningkatkan tahap kawalan ketika permukaan jalan licin.
Kawalan Cengkaman Boleh Laras
Turut melengkapi pakej elektronik ialah sistem kawalan cengkaman (Traction Control) yang menawarkan tiga tahap tetapan.
Penunggang juga boleh menyahaktifkan sistem tersebut sepenuhnya mengikut keperluan dan gaya tunggangan masing-masing.
Suspensi, Casis Untuk Keselesaan Harian

SV-7 GX menggunakan rim bersaiz 17 inci di hadapan dan belakang, menjadikannya lebih fokus kepada prestasi jalan raya berbanding motosikal adventure tradisional.
Bahagian hadapan dipadankan dengan fork teleskopik berdiameter 41mm yang menawarkan jarak gerakan suspensi 125mm, manakala bahagian belakang menggunakan penyerap hentak tunggal boleh laras pra-beban dengan jarak gerakan 129mm.
Jarak kelegaan tanah pula direkodkan pada 135mm.
Sistem Brek Dengan ABS Dwi-Saluran

Kuasa membrek diserahkan kepada angkup brek Tokico empat omboh bersama cakera tunggal di hadapan.
Roda belakang pula menggunakan cakera tunggal dengan angkup satu omboh. Sistem ABS dwi-saluran ditawarkan sebagai kelengkapan standard bagi meningkatkan keselamatan ketika membrek dalam pelbagai keadaan jalan.
Skrin TFT 4.2 Inci Dengan Sambungan Telefon Pintar

Bahagian kokpit dilengkapi skrin TFT berwarna bersaiz 4.2 inci yang memaparkan pelbagai maklumat tunggangan penting.
Sistem itu turut menyokong sambungan Bluetooth ke telefon pintar, manakala port pengecas USB-C disediakan berhampiran panel meter bagi memudahkan penggunaan peranti elektronik ketika perjalanan.
Lengkap Dengan Ciri Touring

Sebagai motosikal sport touring, Suzuki turut melengkapkan SV-7 GX dengan beberapa ciri yang meningkatkan keselesaan perjalanan jarak jauh.
Antaranya termasuk pelindung tangan (hand guard), penghadang angin boleh laras tiga kedudukan secara manual serta sistem lampu LED penuh yang merangkumi lampu utama jenis projektor LED.
Tangki 17.4 Liter, Berat 211kg

Suzuki SV-7 GX mempunyai berat keseluruhan 211kg dan menggunakan tangki bahan api berkapasiti 17.4 liter bagi menyokong perjalanan jarak jauh. Ketinggian tempat duduk pula ditetapkan pada 795mm, sekali gus menjadikannya lebih mudah dikendalikan oleh pelbagai kategori penunggang termasuk mereka yang mempunyai ketinggian sederhana.
Buat masa ini, Suzuki Malaysia masih belum mengumumkan harga jualan rasmi atau tarikh pelancaran model tersebut, namun ia dijangka dirasmikan sekitar hujung tahun ini atau seawal tahun depan.

































