
SEMINGGU yang sibuk untuk dunia motocross apabila tiga pengeluar besar iaitu Yamaha, Ducati dan terbaru Honda memperkenalkan model yang dikemas kini untuk musim 2027.
Jika Yamaha tampil dengan YZ250F dengan enjin baharu dan Ducati menampilkan Desmo250 MX serba baharu, Honda pula mengumumkan CRF250R, CRF250RX, CRF450R dan CRF450RX versi 2027.
Walaupun CRF250R dan CRF250RX menerima kemas kini visual, tumpuan utama sebenarnya terarah kepada CRF450R dan CRF450RX yang menjalani rombakan menyeluruh melibatkan enjin, casis, suspensi dan sistem elektronik.
CRF250R, CRF250RX Tampil Imej Honda Racing Baharu

Honda akan mula memasarkan CRF250R dan CRF250RX model 2027 di Jepun bermula 4 September 2026 menerusi tempoh tempahan terhad.
Bagi model tahun 2027, CRF250R menerima grafik triwarna merah, biru dan putih yang sinonim dengan aktiviti perlumbaan Honda, selain penggunaan logo Honda bersaiz lebih besar bagi menyerlahkan lagi kehadirannya di litar motocross.

CRF250R dibangunkan khusus untuk perlumbaan motocross, manakala CRF250RX berasaskan model sama tetapi menerima beberapa perubahan bagi memenuhi keperluan perlumbaan enduro.
Antara kelengkapan tambahan CRF250RX ialah pengadang tangan (knuckle guard), tongkat sisi dan tangki bahan api lebih besar berbanding CRF250R.

Kedua-dua model ditawarkan dalam satu pilihan warna iaitu Extreme Red yang melambangkan kekuatan dan semangat model off-road Honda.
Honda menetapkan sasaran jualan domestik sebanyak 350 unit setahun untuk siri CRF250.
Harga di Jepun:
- CRF250R – 913,000 yen (RM23,400)
- CRF250RX – 957,000 yen (RM24,550)
CRF450R, CRF450RX 2027 Rekaan Baharu
Selain model 250, Honda turut memperkenalkan CRF450R dan CRF450RX generasi baharu yang dibangunkan berdasarkan konsep Ultimate Performance.
Model baharu itu menerima enjin yang lebih ringan dan kompak, selain menawarkan peningkatan kuasa maksimum dan tork maksimum berbanding model terdahulu.
Bagi meningkatkan kecekapan aliran udara pada putaran sederhana dan tinggi, Honda membesarkan diameter injap kemasukan dan ekzos, selain mengoptimumkan profil aci sesondol.

Rekabentuk kebuk pembakaran dan bentuk mahkota omboh (crown shape) turut dikemas kini untuk meningkatkan kecekapan pembakaran, manakala aci engkol serta konfigurasi galas direka semula bagi meningkatkan ketegaran dan kecekapan putaran.
Pengecilan komponen seperti transmisi dan klac pula mengecilkan kelebaran dan berat enjin.
Bagi memastikan peningkatan prestasi dapat dimanfaatkan sepenuhnya, nisbah gear transmisi turut dioptimumkan untuk memberikan penghantaran kuasa yang lebih berkesan dalam julat kelajuan lebih luas.
Casis dan Suspensi Baharu

CRF450R dan CRF450RX turut menerima rangka baharu dengan tahap ketegaran yang dioptimumkan bagi meningkatkan kestabilan serta kawalan ketika menunggang di permukaan lasak.
Lengan ayun turut direka semula menerusi perubahan pada bentuk keratan rentas struktur utama dan bahagian kimpalan bagi mengurangkan berat sambil mengekalkan keseimbangan ketegaran.
Fork hadapan menggunakan salutan Kashima pada komponen gelongsor dalaman dan dilengkapi sistem DBS (Dynamic Blow System) yang menawarkan prestasi redaman mampatan lebih baik pada kelajuan rendah.

Suspensi belakang pula menerima pelbagai penambahbaikan termasuk pengurangan berat menerusi pemesinan dalaman perumah penyerap hentak dan perubahan pada komponen getah dalaman.
Honda turut menggunakan tangki bahan api titanium yang membantu mengekalkan profil badan yang langsing.

Sistem Elektronik Dipertingkat
Sistem elektronik turut menerima penambahbaikan melibatkan mod enjin, Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan sistem Launch Control.
Talaan baharu membantu meningkatkan penghantaran kuasa ke roda belakang selain memberikan pelancaran yang lebih konsisten ketika perlumbaan.
Mekanisme Slipper Pertama Seumpamanya

Satu lagi ciri menarik ialah penggunaan mekanisme slipper yang menurut Honda merupakan yang pertama di dunia menggunakan hanya penyerap hentakan getah (rubber damper) bagi mengurangkan kesan tork balikan (back torque) ketika brek enjin berlaku.
Teknologi itu dibangunkan bagi membantu meningkatkan kestabilan motosikal ketika memasuki selekoh dan situasi tunggangan agresif.
CRF450RX Lebih Fokus Kepada Enduro

Seperti model 250RX, CRF450RX dibangunkan berasaskan CRF450R tetapi menerima pelbagai komponen tambahan untuk kegunaan enduro.
Antaranya:
- Pengadang tangan (knuckle guard)
- Tongkat sisi (side stand)
- Pelindung bawah enjin (skid plate) khas bersaiz besar
- Talaan suspensi khusus
- Tetapan ECU khusus enduro
Honda Guna Bahan Kitar Semula pada Panel Badan
Menariknya, Honda turut menggunakan bahan kitar semula kilatan tinggi pada komponen seperti plat nombor hadapan, shroud dan fender hadapan.
Menurut Honda, ia merupakan penggunaan pertama seumpamanya bagi bahan kitar semula yang menggabungkan warna pendarfluor terang (fluorescent) dan ketahanan hentakan yang diperlukan untuk motosikal motocross.
Selain itu, bahan kitar semula berketahanan tinggi turut digunakan pada tapak tempat duduk sebagai sebahagian daripada sasaran Honda untuk meningkatkan penggunaan bahan lestari menjelang 2050.
Honda menetapkan sasaran jualan domestik sebanyak 140 unit setahun untuk siri CRF450.
Harga di Jepun:
- CRF450R – 1,182,500 yen (RM30,300)
- CRF450RX – 1,226,500 yen (RM31,500)
Spesifikasi Honda CRF250R 2027
- Enjin: 249.4cc, silinder tunggal, DOHC, 4 injap, penyejukan cecair
- Kotak gear: 5 kelajuan
- Tangki bahan api: 6.3 liter
- Berat: 107kg
- Ketinggian pelana: 955mm
- Jarak lega bumi: 330mm
- Rangka: Aluminium Twin-Tube
- Suspensi belakang: Pro-Link
- Tayar depan: 80/100-21
- Tayar belakang: 100/90-19
Spesifikasi Honda CRF250RX 2027
- Enjin: 249.4cc, silinder tunggal, DOHC, 4 injap, penyejukan cecair
- Kotak gear: 5 kelajuan
- Tangki bahan api: 8.0 liter
- Berat: 110kg
- Ketinggian pelana: 958mm
- Jarak lega bumi: 331mm
- Rangka: Aluminium Twin-Tube
- Suspensi belakang: Pro-Link
- Tayar depan: 90/90-21
- Tayar belakang: 110/100-18
Spesifikasi Honda CRF450R 2027
- Enjin: 449.5cc, silinder tunggal, OHC (Unicam), 4 injap, penyejukan cecair
- Kotak gear: 5 kelajuan
- Tangki bahan api: 7.1 liter
- Berat: 108kg
- Ketinggian tempat duduk: 953mm
- Jarak lega bumi: 333mm
- Rangka: Aluminium Twin-Tube
- Suspensi belakang: Pro-Link
- Tayar depan: 80/100-21
- Tayar belakang: 120/90-19
Spesifikasi Honda CRF450RX 2027
- Enjin: 449.5cc, silinder tunggal, OHC (Unicam), 4 injap, penyejukan cecair
- Kotak gear: 5 kelajuan
- Tangki bahan api: 7.1 liter
- Berat: 108.8kg
- Ketinggian pelana: 951mm
- Jarak lega bumi: 326mm
- Rangka: Aluminium Twin-Tube
- Suspensi belakang: Pro-Link
- Tayar depan: 90/90-21
- Tayar belakang: 120/90-18



























