UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini rasmi memperkenalkan Toyota Yaris Cross serba baharu untuk pasaran Malaysia sebagai tambahan terkini dalam barisan Hybrid Electric Vehicle (HEV) jenama itu.
Kenderaan utiliti sukan (SUV) 5-kerusi itu ditawarkan dalam dua pilihan varian pada harga seperti berikut:
- Toyota Yaris Cross 1.5S (petrol) – RM99,900
- Toyota Yaris Cross 1.5S HEV (hibrid) – RM109,900
Model itu juga menjadi SUV pertama Toyota dalam segmen-B yang dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Bukit Raja, Selangor, sekali gus menyertai Toyota Corolla Cross HEV dan Toyota Vios HEV dalam famili elektrifikasi Toyota di Malaysia.
Rekabentuk SUV Moden, Lebih Lasak dan Premium
Dari segi luaran, Toyota Yaris Cross 2026 tampil dengan identiti SUV moden menerusi rekabentuk gril trapezoid kembar bersama lampu LED nipis yang memberi imej lebih lebar dan agresif.
Profil sisi pula menampilkan garisan badan tajam bersama fender besar yang menyerlahkan karakter SUV sebenar. Rim aloi 18 inci bersama tayar 215/55 R18 melengkapkan penampilan sporty dan premium.
Bahagian belakang hadir dengan lampu kombinasi LED penuh yang memanjang sehingga hujung badan untuk memberi ilusi lebih lebar dan stabil.
Toyota turut menawarkan lima pilihan warna menarik:
- Spicy Scarlet SE (merah)
- Dark Turquoise SE (biru gelap)
- Platinum Pearl White (putih)
- Silver Metallic (perak)
- Attitude Black (hitam)
Kabin Premium dengan Sentuhan Moden
Menjengah ruang dalaman, Toyota Yaris Cross 2026 menampilkan tema Blue-Black yang memberikan aura moden dan sporty, khususnya pada varian HEV.
Antara ciri premium disediakan adalah:
- Stereng kulit asli
- Kerusi kulit sintetik
- Jahitan biru khas model HEV
- Lampu kabin LED penuh
- Lampu ambien dengan 4-tetapan kecerahan
- Kerusi pemandu boleh laras elektrik 8-tetapan
SUV itu turut dilengkapi kluster instrumen digital TFT 7 inci dengan empat mod paparan berbeza.
Di tengah papan pemuka pula tersedia unit infotainmen 10.1 inci yang lengkap dengan konektiviti wayarles Apple CarPlay dan Android Auto.
Turut disediakan:
- Pengecas telefon wayarless
- Dua port USB Type-C di belakang
- But elektrik dengan sensor kaki
- Fungsi tutup dan kunci (close & lock)
Ruang Kabin, But Besar
Dengan dimensi panjang 4,310mm dan lebar 1,770mm, Toyota Yaris Cross 2026 menawarkan ruang kabin luas untuk sebuah SUV segmen-B.
Kapasiti ruang but seluas 471 liter dengan tambahan ruang simpanan bawah lantai sedalam 200mm.
Toyota mendakwa ruang tersebut mampu memuatkan sehingga enam beg bagasi saiz sederhana atau sebuah basikal apabila kerusi belakang dilipat.
Enjin Hibrid Generasi Keempat Toyota
Varian Toyota Yaris Cross HEV menggunakan sistem hibrid generasi keempat Toyota yang menggabungkan:
- Enjin petrol 2NR-VEX 4-silinder 1.5L dengan motor elektrik
- Transmisi P910 transaxle
Enjin petrol menghasilkan output kuasa 91ps, dan tork 121Nm, manakala motor elektrik menghasilkan output kuasa 80ps, dan tork 141Nm, dengan output kuasa gabungan 111ps.
Toyota mendakwa penggunaan bahan api antara 27.8km per liter hingga 33.3km per liter berdasarkan ujian dalaman Toyota.
Sistem itu juga membolehkan Yaris Cross HEV bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dalam mod EV pada halaju rendah.
Menariknya, bateri lithium-ion 48 sel itu tidak perlu dicas secara manual kerana sistem HEV Toyota menggunakan konsep cas sendiri (self-charging).
Varian Petrol Turut Ditawarkan
Selain HEV, Toyota turut menawarkan varian petrol biasa menggunakan enjin 1.5L 2NR-VE dengan transmisi automatik CVT
Enjin tersebut menghasilkan output kuasa 106ps, dan tork 138Nm.
Pemanduan Lebih Stabil, Selesa
Topyota Yaris Cross 2026 menggunakan:
- Suspensi depan strut MacPherson
- Suspensi belakang torsion beam
- Stereng kuasa elektrik (EPS)
Dengan jarak tinggi bumi 210mm, SUV subkompak itu mampu meredah laluan banjir sedalam 600mm, manakala radius pusingan minimum 5.2 meter membantu memudahkan pemanduan di kawasan bandar dan jalan sempit.
Teknologi ADAS Lengkap
Dari aspek keselamatan, Toyota Yaris Cross 2026 didatangkan standard dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS), Toyota Safety Sense (TSS) yang terdiri daripada:
- Sistem Pra Perlanggaran (PCS)
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
- Amaran Tukar Lorong (LDW)
- Kawalan Kekal Lorong (LKC)
- Lampu Suluh Tinggi Automatik (AHB)
- Kawalan Salah Tekan Pedal (Pedal Misoperation Control)
Turut disediakan:
- Monitor Titik Buta (BSM)
- Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA)
- Monitor Pandangan Panorami (PVM)
- Clearance Sonar
Selain itu, SUV itu turut dilengkapi ciri keselamatan asas seperti:
- 6 beg udara SRS
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
- Agihan Brek Elektronik (EBD)
- PAutan kerusi kanak-kanak ISOFIX
Waranti Hingga 10 Tahun Untuk Sistem Hybrid
Setiap pembelian layan mendapat waranti daripada Toyota seperti berikut:
- Waranti kenderaan lima [5] tahun, tanpa had perbatuan
- Waranti bateri hibrid lapan [8] tahun, tanpa had perbatuan
Pelanggan juga boleh melanjutkan waranti sistem hibrid sehingga 10 tahun.



















































































































