PEMILIK dan peminat Mercedes-Benz di Pantai Timur kini ada sebab untuk tersenyum. Mercedes-Benz Malaysia (MBM) bersama rakan pengedar, Asbenz Stern Sdn Bhd rasmi melancarkan Autohaus baharu di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.
Fasiliti itu bukan sekadar bilik pameran baharu, tetapi juga Autohaus Mercedes-Benz terbesar di seluruh Pantai Timur, yang direka khas untuk memberikan pengalaman pelanggan lebih lancar, digital dan premium selari falsafah global jenama itu, ‘Welcome Home’.
Lokasi Strategik di Hab Perniagaan Kuantan
Terletak di Indera Mahkota, sebuah kawasan perbandaran yang pesat membangun, lokasi ini dipilih kerana aksesibilitinya kepada pelanggan dari Pahang, Terengganu dan selatan Kelantan. Dengan keluasan binaan keseluruhan 65,340 kaki persegi, ia menempatkan ruang pameran dan kawasan pelanggan seluas 26,565 kaki persegi.
“Pembukaan Asbenz Stern Kuantan Autohaus ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk terus meningkatkan pengalaman pelanggan Mercedes-Benz di wilayah Pantai Timur,” kata Martin Schulz, CEO & President Mercedes-Benz Cars Malaysia & Head of Region, Mercedes-Benz Cars Southeast Asia.
“Sempena sambutan 140 tahun inovasi Mercedes-Benz, kami kekal fokus bukan sahaja pada kecemerlangan automotif, tetapi juga mencipta pengalaman yang lancar dan diperibadikan di setiap titik sentuhan.”
Bukan Sekadar Bilik Pameran: Ada 6 Model, Star Lounge dan Lifestyle Collection
Masuk ke dalam, pengunjung disambut dengan konsep runcit Mercedes-Benz terkini. Ruang pameran mampu memuatkan sehingga enam unit kenderaan, membolehkan pelanggan melihat barisan model yang lebih luas pada satu masa, dari sedan eksekutif hingga ke kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik EQ.
Autohaus itu turut dilengkapi Star Lounge yang direka teliti dan akses kepada Mercedes-Benz Lifestyle Collection. Ia mencipta suasana lebih mesra dan mengalu-alukan, serta bukan sekadar tempat menunggu servis.
Pertama untuk Asbenz Stern: Servis Bs]adan dan Cat Kini di Pantai Timur
Ini berita paling penting kepada pemilik sedia ada. Buat kali pertama, Asbenz Stern menawarkan perkhidmatan baik pulih badan dan cat (body & paint) bersepadu di Kuantan.
Fasiliti selepas jualan itu dilengkapi dengan 16 ruang kerja serba lengkap. Semua kerja penyelenggaraan berjadual hingga kerja baik pulih lebih kompleks akan dikendali juruteknik terlatih dan bertauliah Mercedes-Benz, sekali gus menjamin kualiti dan penjagaan konsisten.
Pengarah Urusan Asbenz Stern Sdn Bhd, Goh Chuan Kiong berkata;
Kuantan sentiasa menjadi lokasi penting bagi kami, dan Autohaus baharu ini adalah langkah seterusnya dalam perjalanan kami di sini.
“Dengan melabur dalam fasiliti yang dibina khas dengan keupayaan yang dipeluas, termasuk servis body & paint, kami mampu melayani pelanggan dengan lebih cekap dan menyeluruh.”
Sedia untuk Era Elektrik: Pengecas Pantas DC 120kW
Menyokong peralihan mobiliti elektrik, Autohaus Kuantan turut dilengkapi infrastruktur pengecasan pantas (DC) sehingga 120kW di lokasi. Pengecas itu mampu mengecas dua kenderaan serentak, memberikan kemudahan tambahan kepada pemilik model elektrik penuh dan hibrdi plug-in (PHEV).
Pelaburan RM23 Juta Perkukuh Rangkaian Pantai Timur
Setakat ini, Asbenz Stern sudah melabur sejumlah RM35 juta di seluruh rangkaian. Daripada jumlah itu, RM23 juta diperuntuk khas untuk pembangunan Autohaus Kuantan tersebut.
Dengan pembukaan berkenaan, Asbenz Stern kini mengendalikan tiga Autohaus di wilayah utara dan timur, iaitu di Kedah, Pahang dan Terengganu.
Ini mengukuhkan lagi komitmen untuk menyampaikan pengalaman pelanggan luar biasa yang sinonim dengan lambang bintang berbucu tiga itu.
Bagi warga Pantai Timur yang mahu merasai sendiri pengalaman premium, Asbenz Stern Kuantan Autohaus kini dibuka untuk kunjungan.
Maklumat Ringkas Asbenz Stern Kuantan Autohaus
- Lokasi: Indera Mahkota, Kuantan, Pahang
- Keluasan: 65,340 kaki persegi
- Ruang Pameran: 26,565 kaki persegi, 6 kereta
- Perkhidmatan Selepas Jualan: 16 ruang kerja, Body & Paint
- Fasiliti EV: Pengecas DC 120kW (2 petak)
- Pelaburan: RM23 juta







