
MERCEDES-AMG memperkenalkan CLA 45 4MATIC+ serba baharu yang menetapkan penanda aras baharu dalam segmen kereta prestasi elektrik kompak menerusi gabungan kuasa sehingga 500kW (680hp), pecutan 0-100km/j sepantas 2.7 saat dan sistem pacuan semua roda pintar AMG Performance 4MATIC+.
Ditawarkan dalam dua varian iaitu Saloon dan Shooting Brake, model baharu ini dibangunkan berasaskan seni bina EV Mercedes-Benz terkini dengan talaan menyeluruh oleh AMG dari aspek rangkaian kuasa, casis, aerodinamik, sistem kawalan dan pengalaman pemanduan.

Model ini dibangunkan berasaskan Mercedes-Benz CLA yang dinobatkan sebagai Car of the Year 2026 oleh juri European Car of the Year, selain muncul sebagai kereta paling selamat dalam ujian Euro NCAP 2025.
Tiga Motor Elektrik baharu, 680hp
Nadi utama CLA 45 4MATIC+ ialah tiga motor elektrik axial flux, terdiri daripada dua motor pada gandar belakang dan satu motor di hadapan.
Motor jenis axial flux ini lebih nipis, ringan dan mempunyai ketumpatan kuasa lebih tinggi berbanding motor elektrik konvensional, selain menggunakan inverter silikon karbida (Silicon Carbide, SiC) bagi meningkatkan kecekapan serta prestasi.

Motor hadapan mampu menghasilkan sehingga 225kW (360hp) dan berfungsi sebagai booster motor apabila diperlukan, manakala dua motor belakang menyumbang kepada output keseluruhan sistem.
Gabungan ketiga-tiga motor menghasilkan:
- Kuasa maksimum 500kW (680hp)
- Kuasa berterusan 450kW (612hp)
- Tork 1,759Nm
Prestasi yang dicapai juga mengagumkan:
- 0-100km/j (1-foot rollout): 2.7 saat
- 0-100km/j: 3.0 saat
- Kelajuan maksimum 250km/j
- 270km/j dengan AMG Dynamic Plus Package
AWD Pintar dengan Torque Vectoring

Kuasa disalurkan menerusi sistem AMG Performance 4MATIC+ yang mampu mengagihkan tork secara berubah-ubah ke setiap gandar dan juga antara roda belakang secara individu menerusi fungsi Torque Vectoring.
Motor hadapan turut dilengkapi Disconnect Unit (DCU) yang boleh memutuskan sambungan ketika beban rendah bagi mengurangkan kehilangan tenaga sebelum diaktifkan semula ketika pecutan atau pemulihan tenaga.
Bateri 94kWj, Seni Bina 800V dan Jarak Lebih 670km

CLA 45 4MATIC+ menggunakan bateri litium-ion berkapasiti boleh guna 94kWj bersama sistem elektrik 800 volt.
Bateri tersebut menggunakan anod silikon oksida yang dicampur grafit, sekali gus meningkatkan ketumpatan tenaga sehingga 20 peratus berbanding bateri grafit konvensional.
Bergantung kepada varian, jarak pemanduan WLTP ialah:
- Saloon: lebih 670km
- Shooting Brake: lebih 640km
Sistem pengecasan pantas DC menyokong sehingga 330kW, membolehkan pengecasan 10-80 peratus dalam kira-kira 22 minit, manakala pengecasan selama 10 minit mampu menambah lebih 270km jarak pemanduan.
Pengecasan AC pula menyokong sehingga 22kW.

Mercedes-AMG turut melengkapkan model ini dengan sistem Multi-Source Heat Pump yang menggunakan haba daripada udara persekitaran, rangkaian kuasa dan bateri bagi membantu meningkatkan kecekapan tenaga.
Sistem itu juga melakukan pra-kondisi bateri secara automatik sebelum pengecasan pantas bagi memastikan prestasi pengecasan yang optimum.
Casis AMG dengan Suspensi Adaptif

Bagi memastikan kuasa besar itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya, AMG melengkapkan model ini dengan suspensi AMG Ride Control menggunakan spring keluli bersama penyerap hentak adaptif tiga tahap.
Pemandu boleh memilih talaan Comfort, Sport atau AMGFORCE S+, dengan sistem melaras daya redaman setiap roda dalam masa beberapa milisaat mengikut keadaan pemanduan.
Turut dipasang ialah suspensi hadapan tiga-pautan, suspensi belakang pelbagai-link, stereng talaan AMG serta sistem brek berprestasi tinggi yang turut menyokong pemulihan tenaga sehingga 5m/s².
Tujuh Mod Pemanduan

CLA 45 4MATIC+ memiliki enam mod pemanduan standard:
- Slippery
- Comfort
- Sport
- AMGFORCE S+
- ECO
- Individual
Pakej AMG Dynamic Plus menambah mod RACE yang dioptimumkan untuk pemanduan litar bersama fungsi Launch Control, kawalan cengkaman, Response Control dan Agility Control.
Salah satu ciri paling unik ialah mod AMGFORCE S+ yang mensimulasikan pengalaman memandu kereta enjin pembakaran dalaman menerusi bunyi enjin empat silinder AMG, pertukaran gear maya menggunakan pedal gear, getaran tempat duduk serta paparan rpm dan gear.
Aerodinamik Aktif

AMG turut memberi perhatian kepada aspek aerodinamik dengan spoiler aktif yang pertama dalam kelasnya.
Varian Saloon menerima spoiler belakang aktif, manakala Shooting Brake menggunakan spoiler bumbung aktif yang berubah sudut mengikut mod pemanduan dan kelajuan bagi meningkatkan kestabilan atau mengurangkan seretan angin.

Di bahagian hadapan, bidai udara aktif (Active Radiator Shutters) turut membantu meningkatkan kecekapan aerodinamik dan hanya dibuka apabila sistem penyejukan memerlukannya.
Varian Saloon turut memiliki pekali seretan udara (Cd) serendah 0.23, sekali gus membantu meningkatkan kecekapan tenaga serta jarak pemanduan.
Rekaan Lebih Agresif

Penampilan luar diserlahkan menerusi gril AMG Panamericana dengan 10 bilah menegak, bampar AMG, splitter hadapan, diffuser belakang enam sirip serta fender yang dilebarkan.
Model ini menggunakan rim 19 inci sebagai standard, manakala rim 20 inci ditempatkan dalam senarai pilihan.
Bumbung kaca panoramik turut diberikan sebagai kelengkapan standard.
Kabin Digital

Di ruang dalaman, CLA 45 4MATIC+ dilengkapi kerusi sport AMG, stereng AMG Performance, pedal sport keluli tahan karat dan sistem infotainmen MBUX generasi keempat yang dibangunkan berasaskan sistem operasi baharu Mercedes-Benz, MB.OS.
Sistem itu turut mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) daripada ChatGPT, Microsoft Bing dan Google Gemini, selain menawarkan pembantu maya MBUX yang mampu berinteraksi secara lebih semula jadi.
Turut disediakan ialah aplikasi khusus AMG seperti AMG Performance Menu, AMG Set-Up dan AMG Track Pace, yang merekod lebih 80 parameter kenderaan sebanyak 10 kali sesaat ketika pemanduan di litar.

Spesifikasi Utama Mercedes-AMG CLA 45 4MATIC+ 2027
- Tiga motor elektrik Axial Flux
- Kuasa maksimum: 500kW (680hp)
- Kuasa berterusan: 450kW (612hp)
- Tork: 1,759Nm
- Motor hadapan: 225kW (360hp)
- Pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+
- Bateri lithium-ion 94kWj
- Sistem elektrik 800V
- Pengecasan AC: 22kW
- Pengecasan DC: 330kW
- 10-80%: 22 minit
- Tambahan jarak selepas 10 minit pengecasan: lebih 270km
- Jarak WLTP: lebih 670km (Saloon), lebih 640km (Shooting Brake)
- 0-100km/j: 2.7 saat (1-foot rollout)
- Kelajuan maksimum: 250km/j atau 270km/j (AMG Dynamic Plus)
- Pekali seretan udara (Cd): 0.23 (Saloon)
- Ruang kargo: 390 liter (Saloon), 450 liter (Shooting Brake)
- Ruang simpanan hadapan (frunk): 101 liter







