
AERONAS Aerocraft Sdn Bhd, sebuah syarikat bumiputera yang bertanggungjawab mereka, membina dan menyiapkan sepenuhnya pesawat ringan buatan tempatan dilihat mampu menjadi tanda keupayaan negara dalam menghasilkan pesawat sendiri.
Bukan itu saja, ini juga membuktikan kepakaran tenaga tempatan secara terus mampu untuk bersaing pada pentas global selepas berjaya meraih membuktikan kepada pembeli bahawa bakat tempatan juga setanding dengan mereka di negara-negara dunia pertama.
9Tiba Masa Malaysia Melangkah Ke Pembuatan Pesawat

Menurut Pengarah Urusan dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Aeronas Aerocraft, Raja Shazreen Petra Raja Azman Shah Petra, kewujudan Malaysia sebagai pasaran penyelengaraan, pembaikan pesawat (MRO) serta pembekal komponen aeroangkasa dilihat sebagai pelan bisnes yang bagus, namun masih tiada tenaga untuk menghasilkan sebuah pesawat secara menyeluruh menyebabkan kita akan sentiasa berada pada tangga kedua.
Dengan syarikat seperti Aeronas, bakat dan tenaga tempatan mampu menyalurkan kemampuan kita untuk membina pesawat lengkap yang boleh dipasarkan ke pelanggan secara terus dapat membuka lembaran baru kepada ekonomi yang bernilai ratusan juta ringgit ini.
Pengambilalihan Strategik Aeronas

Tambahnya lagi, syarikatnya berjaya mendapatkan pelan kertas biru (blueprint) MAEL Aircraft Corporation yang bertapak di Amerika Syarikat (AS) bagi menjadi asas kepada Aeronas untuk secara rasmi memiliki hak-hak berkaitan untuk tujuan kajian dan pembangunan (R&D) sesebuah pesawat.
Pelan itu kemudiannya dibawa balik ke Malaysia untuk dikaji, difahami seterusnya dijadikan pandu arah untuk menyiapkan pesawat yang berkualiti dan berdaya saing untuk dikomersialkan ke pasaran serantau.
“Ramai yang tanya kenapa perlu laksanakan pengambilalihan. Ramai yang tidak faham jika kita mahu membangunkan pesawat dari kosong, mungkin kita perlu menunggu 10 hingga 15 tahun lagi serta menanggung kos pembangunan bernilai ratusan juta dolar.
“Namun, dengan memperoleh program yang sudah diperakui, Malaysia dapat melangkah lebih pantas dan terus memberi tumpuan kepada pengeluaran, pekerjaan berkemahiran tinggi serta pembangunan industri aeroangkasa negara.
Mematuh Pencapaian Standard Tertinggi Dunia

Raja Shazreen turut menambah bahawa program pesawat yang dibangunkan oleh Aeronas berpaksikan platform pesawat yang mempunyai Pensijilan Type Certificate Part 23.
Pensijilan ini dikeluarkan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) AS yang merupakan antara jabatan kerajaan pensijilan paling berprestij dalam industri penerbangan awam dunia bagi kategori pesawat ringan.
Gudang pemasangan di selatan semenanjung Malaysia

Raja Shazreen berkata, Aeronas kini mengendalikan kemudahan pembuatan di Senai dan Iskandar Puteri, Johor, selain sedang membangunkan sebuah kemudahan baharu yang dijadual mula beroperasi pada suku keempat tahun ini. Ketika ini, fasiliti sedia ada mampu menghasilkan sehingga 30 pesawat setahun, manakala kemudahan pembuatan penuh itu dijangka meningkatkan kapasiti kepada 60 pesawat setahun bagi setiap barisan pengeluaran.
Beliau berkata, kadar pembuatan dalam negara yang kini berada pada 78 peratus disasarkan meningkat kepada 100 peratus dalam tempoh tiga hingga lima tahun, dengan penggunaan sepenuhnya bahan mentah serta rantaian bekalan tempatan. Menurutnya, pelaksanaan pengeluaran penuh turut dijangka mewujudkan kira-kira 450 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, sekali gus menyokong usaha kerajaan menyediakan lebih banyak pekerjaan bergaji premium.
Tempahan Bernilai RM357 Juta
Aeronas kini mempunyai tempahan terkumpul sebanyak 50 unit pesawat ringan model MYPX5 MARK I dan MYPX5 MARK II bernilai AS$85 juta (kira-kira RM357 juta). Penghantaran pertama melibatkan 15 pesawat dijadual dilaksanakan secara berperingkat pada suku pertama dan kedua 2027 bagi menyokong operasi sekolah penerbangan serta pajakan pesawat oleh Konsortium Wholechoice di Asia.
Menurut Raja Shazreen, tempahan itu mencerminkan keyakinan pasaran terhadap keupayaan Aeronas sebagai pengeluar pesawat ringan tempatan yang mampu memenuhi keperluan pelbagai sektor penerbangan.
Pensijilan Antarabangsa Jadi Kunci Kepercayaan
Raja Shazreen berkata, pembeli pesawat lebih menitikberatkan pensijilan berbanding negara asal pengeluar. Aeronas memiliki pensijilan daripada FAA yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, sekali gus membuktikan pesawat keluarannya memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang ketat.
Beliau menambah, reputasi Malaysia sebagai hab OEM dan MRO aeroangkasa global turut meningkatkan keyakinan pembeli. Selain kegunaan komersial, pesawat Aeronas juga boleh diubah suai untuk pelbagai aplikasi seperti kargo, sekolah penerbangan dan sukan udara.
SUMBER: Berita Harian







