PELUMBA muda Mercedes-AMG Petronas Formula One, Kimi Antonelli terus mencuri tumpuan musim Formula Satu (F1) 2026 apabila meraih kemenangan keempat berturut-turut di Grand Prix (GP) Kanada.
Kemenangan di Litar Gilles Villeneuve itu menjadi lebih bermakna selepas rakan sepasukan Mercedes, George Russell terpaksa menarik diri ketika sedang mendahului perlumbaan.
Russell Dominan Sebelum Jentera Rosak
Russell sebenarnya berada di landasan terbaik untuk meraih kemenangan pertama sejak GP Australia selepas bertarung sengit dengan Antonelli sepanjang separuh pertama perlumbaan.
Kedua-dua pelumba Mercedes itu beberapa kali bertukar kedudukan pendahulu, termasuk insiden sentuhan ringan di selekoh terakhir pada pusingan ke-24.
Antonelli sempat memintas Russell di luar trek sebelum diarahkan pihak perlumbaan memulangkan semula kedudukan tersebut.
Namun drama sebenar berlaku pada pusingan ke-30 apabila jentera Russell mengalami masalah unit kuasa sebelum beliau terpaksa berhenti kereta di Turn 9.
Antonelli Kini Semakin Selesa di Puncak
Russell dilihat cukup kecewa ketika keluar dari jentera kerana bukan saja kehilangan peluang kemenangan, tetapi menyaksikan Antonelli semakin kukuh dalam perebutan kejuaraan dunia.
Selepas Russell tersingkir, Antonelli mengawal perlumbaan dengan cukup selesa sebelum menamatkan saingan sebagai pemenang.
Kemenangan itu membolehkan pelumba Itali tersebut melebarkan jurang mata kejuaraan kepada 43 mata di depan Russell.
Russell pula mengakui beliau ‘kehilangan kata-kata’ selepas perlumbaan berakhir akibat kekecewaan terhadap masalah teknikal yang berlaku.
Strategi McLaren Jadi Mimpi Ngeri
Di belakang Antonelli, pasukan McLaren Mastercard mengharungi perlumbaan cukup buruk selepas membuat keputusan menggunakan tayar intermediate ketika trek hanya sedikit lembap.
Oscar Piastri dan Lando Norris kemudian terpaksa masuk awal ke pit untuk menukar kepada tayar slik selepas beberapa pusingan.
Situasi menjadi lebih parah apabila Piastri terlanggar belakang jentera Williams dipandu Alex Albon di selekoh hairpin.
Insiden itu menyebabkan Albon gagal menamatkan perlumbaan, manakala Piastri pula dikenakan penalti 10 saat selain perlu menukar sayap depan.
Norris Turut Gagal Tamatkan Perlumbaan
Nasib Norris juga tidak lebih baik apabila beliau terpaksa menarik diri pada pusingan ke-40 akibat masalah kotak gear.
Kereta keselamatan virtual (VSC) yang keluar selepas itu memberi peluang terbaik kepada pelumba di kelompok depan menukar tayar dalam perlumbaan yang akhirnya hanya memerlukan satu hentian pit.
Hujan yang dijangka turun pula tidak menjadi kenyataan, sekali gus menjadikan strategi perlumbaan lebih mudah daripada jangkaan awal.
Dengan kedua-dua pelumba McLaren tersingkir daripada perebutan podium, Max Verstappen (Oracle Red Bull Racing) berjaya naik ke posisi kedua.
Hamilton Pintas Verstappen
Juara dunia Red Bull itu cuba bertahan daripada tekanan Lewis Hamilton yang tampil agresif bersama Scuderia Ferrari HP. Hamilton akhirnya memintas Verstappen di Turn 1 pada pusingan ke-62 untuk merampas tempat kedua.
Pelumba Britain itu menamatkan perlumbaan kira-kira 10 saat di belakang Antonelli, manakala Charles Leclerc membawa Ferrari ke tempat keempat selepas pertarungan sengit dengan rakan sepasukan Verstappen, Isack Hadjar.
Banyak Drama, Penalti di Kanada
Hadjar awalnya menerima penalti 10 saat selepas didapati melakukan gerakan berbahaya di laluan lurus yang hampir menyebabkan kemalangan kelajuan tinggi.
Pelumba muda itu kemudian dikenakan penalti tambahan stop-and-go kerana mengabaikan bendera kuning.
Namun, Hadjar masih berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima kerana jurang besar antara kelompok depan dan pertengahan.
Pasukan BWT Alpines ekali lagi muncul pasukan terbaik kelompok pertengahan apabila Franco Colapinto meraih keputusan terbaik karier dengan menamatkan perlumbaan di tempat keenam.
Enam Pelumba Gagal Tamat Perlumbaan
Liam Lawson (Visa Cash App Racing Bulls) dan Pierre Gasly (BWT Alpine) turut menyumbang mata buat pasukan masing-masing, manakala Carlos Sainz (Williams Racing) serta Oliver Bearman (MoneyGram Haas) melengkapkan kelompok 10 terbaik.
Piastri menamatkan perlumbaan di luar mata pada kedudukan ke-11 bersama kedua-dua jentera Audi Revolut.
Secara keseluruhan, enam pelumba gagal menamatkan perlumbaan, termasuk Russell, Norris, Alex Albon dan Fernando Alonso.
Alonso (Aston Martin Aramco-Honda) dilaporkan mengalami masalah kerusi jentera, manakala Sergio Perez pula berdepan detik cemas selepas suspensi depan kanan jentera Cadillac miliknya rosak ketika perlumbaan sedang berlangsung.
SUMBER: Motorsport.com































