PROGRAM Penilaian Kereta Baharu (NCAP) kini memasuki era baharu yang jauh lebih mencabar. Misalnya, Euro NCAP memperkenalkan protokol penilaian kenderaan 2026, yang menyaksikan rombakan paling besar terhadap prosedur ujian dan sistem pemarkahan dalam tempoh lebih sedekad.
Kerangka kerja baharu itu meningkatkan standard perlindungan pengguna dengan memberikan penekanan lebih tinggi kepada sistem bantuan pemandu intuitif, kecekapan mengelak kemalangan, perlindungan impak untuk pelbagai variasi saiz penumpang, dan keselamatan pasca-kemalangan.
Dua kenderaan pertama dinilai di bawah protokol ketat itu ialah BMW iX3 dan Zeekr 7GT, yang mana kedua-dua model tersebut merangkul rating 5-bintang.
Pencapaian itu menunjukkan pengeluar dari Eropah atau China mampu menyesuaikan diri dengan cemerlang bawah sistem penilaian diperketatkan berkenaan.
Evolusi Penilaian Menerusi Empat Fasa Keselamatan
Apabila Euro NCAP ditubuhkan pada 1996, ramai pengeluar kenderaan secara terbuka menentang ujian kemalangan bebas itu atas alasan tidak praktikal dan merugikan dari segi kos.
Bagaimanapun, masa membuktikan sebaliknya apabila rating 5-bintang kini menjadi nilai teras utama bagi pengguna sebelum membeli sesebuah kenderaan.
Hari ini, satu lagi titik perubahan teknologi berlaku apabila kenderaan moden semakin bergantung kepada sistem bantuan pemandu yang rumit, integrasi perisian, skrin sentuh digital dan platform trenkuasa elektrik voltan tinggi.
Menerusi protokol terbaharu itu, fokus penilaian kini diubah kepada sistem komprehensif dipanggil Fasa Keselamatan (Stages of Safety).
Pendekatan itu tidak lagi hanya melihat kepada impak perlanggaran statik, sebaliknya mengikut kronologi perjalanan pemanduan sebenar:
1. Fasa Pemanduan Selamat (Safe Driving)
- Menilai bagaimana rekabentuk kenderaan menyokong pemandu ketika di jalan raya
- Memastikan pengalaman dan ergonomik di dalam kabin kekal selamat untuk pemandu dan penumpang
2. Fasa Elak Kemalangan (Crash Avoidance)
- Menguji kecekapan sistem keselamatan aktif dalam mengesan potensi bahaya di luar kenderaan
- Menilai tindakan automatik jentera dalam menghalang atau mengurangkan risiko perlanggaran
3. Fasa Perlindungan Kemalangan (Crash Protection)
- Mengukur kekuatan struktur fizikal kenderaan apabila berlaku impak
- Menilai kecekapan beg udara dan sistem kekangan dalam melindungi penghuni kabin dan pengguna jalan raya lain
4. Fasa Pasca-Kemalangan (Post Crash)
- Memastikan sistem pintar dalaman kenderaan mampu berhubung dengan pasukan penyelamat secara automatik
- Menilai ciri mekanikal yang membantu mempercepatkan rawatan dan menyelamat mangsa selepas impak berlaku
BMW iX3: Eksperimen Cemerlang Model Neue Klasse
Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) elektrik (EV) saiz pernuh, besar BMW iX3 50 xDrive dengan berat kerb 2,285kg mempamerkan prestasi luar biasa di semua fasa penilaian.
Malah, model itu disifatkan sebagai kenderaan paling selamat pernah dihasilkan BMW setakat ini.
Butiran terperinci setiap fasa ujian mendedahkan fokus kejuruteraan Eropah dalam mengimbangi aspek ergonomik kabin dan kecekapan keselamatan aktif:
Pemanduan Selamat (73 Peratus)
- BMW menerima pujian tinggi kerana mengekalkan suis dan kawalan fizikal
- Butang fizikal dikekalkan untuk fungsi penting seperti lampu isyarat (indicator), lampu kecemasan, hon, lampu depan, dan tombol anjakan gear
- Sistem pemantauan pemandu sangat berkesan dalam mengesan isu keletihan fizikal
- Bagaimanapun, sistem pengesan itu dikesan kurang sensitif terhadap gangguan visual jangka pendek
- Fungsi bantuan had laju terbukti cemerlang dengan kadar ketepatan mengecam papan tanda 86 peratus
- Ujian had laju dilakukan dalam pemanduan dunia sebenar sejauh 2,000km merentasi Itali, Perancis, Jerman, dan Austria, merangkumi 97 peratus jarak pemanduan
Elak Kemalangan (83 Peratus)
- Teknologi Brek Kecemasan Autonomi (AEB) melepasi keperluan baharu Euro NCAP dengan mudah
- Sistem AEB mendedahkan keupayaan mitigasi yang baik dalam mengelak perlanggaran sesama kenderaan
- AEB juga berfungsi cemerlang dalam situasi mengelak perlanggaran ketika membelok di simpang dan laluan motosikal
- Perlindungan aktif yang diberikan kepada pejalan kaki dan penunggang basikal juga dikategorikan cemerlang
Perlindungan Kemalangan (86 Peratus)
- Meraih mata maksimum untuk semua penilaian impak sisi
- Prestasi cemerlang impak sisi disumbangkan beg udara tengah standard yang menghalang perlanggaran sesama penumpang.
- Ujian impak ofset depan memberikan perlindungan baik untuk semua saiz dewasa
- Perlindungan baik itu termasuk patung ujian wanita saiz kecil di kerusi penumpang depan
- Bagaimanapun, iX3 hilang mata penuh dalam ujian perlanggaran penuh (full width test) disebabkan gred dada pemandu yang sekadar mencatatkan bacaan marginal 85 peratus.
Keselamatan Pasca-Kemalangan (95 Peratus)
- Sistem eCall terbina dalam berfungsi dengan sangat dipercayai untuk melaraskan bantuan bersama pihak penyelamat.
- Sistem trenkuasa elektrik voltan tinggi berjaya melakukan pengasingan pemicu bateri secara sempurna pasca-impak bagi meminimumkan risiko kebakaran
- Semua hendal pintu elektronik akan terkeluar automatik dan kekal berfungsi sepenuhnya selepas impak berlaku
- Ciri hendal pintu itu turut disempurnakan kehadiran sistem pelepasan manual yang mudah capai.
Zeekr 7GT: Struktur Kebal dengan Sokongan Perisian Pintar
Mewakili inovasi teknologi dari China, Zeekr 7GT Privilege AWD hadir sebagai kereta famili EV saiz penuh dengan berat 2,405kg.
Moodel itu memberikan kualiti buatan struktur sangat kukuh dan tahap kecerdasan perisian tinggi.
Prestasi ujian mencatatkan kelebihan ketara dalam aspek perisian pintar, walaupun menerima sedikit kritikan pada bahagian ergonomik kabin:
Pemanduan Selamat (79 Peratus)
- Sistem pemantauan pemandu (DMS) Zeekr meraih mata maksimum kerana sangat sensitif dalam mengesan gangguan visual teruk dan keletihan
- Ciri pemantauan kabin diperkuat dengan sensor canggih untuk mengesan salah laku pemakaian tali keledar riba sahaja
- Dilengkapi suis manual untuk mematikan beg udara penumpang depan untuk kegunaan kerusi keselamatan kanak-kanak jenis hadap belakang
- Ada sistem pengesan kehadiran kanak-kanak dalam kabin (child presence detection) untuk memberi amaran kepada orang sekeliling jika ada anak tertinggal
- Namun, model itu menerima skor lemah bagi fungsi kawalan umum
- Kelemahan kawalan itu berpunca daripada pemisahan operasi penting daripada tetapan pemanduan hingga penyaman udara yang diletakkan sepenuhnya pada skrin sentuh pusat dan bukan butang fizikal
- Dalam ujian pemanduan 2,000km di Sepanyol dan Perancis, sistem pembantu had laju mengecam papan tanda dengan ketepatan 79 peratus kes
- Angka pengecaman had laju mewakili 89 peratus daripada jumlah keseluruhan jarak pemanduan dilalui
Elak Kemalangan (89 Peratus)
- Sistem keselamatan aktif bertindak balas sangat baik di jalan raya
- Sistem Brek Kecemasan Autonomi (AEB) berfungsi hampir sempurna dalam mengurangkan risiko perlanggaran depan, undu, dan lintasan persimpangan
- Sistem cegah pintung dibuka bersepadu memberi amaran awal kepada penumpang untuk mengelak membuka pintu jika terdapat penunggang basikal menghampiri
Perlindungan Kemalangan (93 Peratus)
- Ketahanan struktur terbukti sangat kuat
- Meraih mata penuh bagi impak pengadang mudah alih sisi, impak pilar sisi, dan impak penumpang jauh
- Prestasi impak pasif tinggi disokong penuh konfigurasi beg udara tengah
- Ujian impak ofset depan mencatatkan perlindungan dewasa yang baik atau memuaskan, dan mata penuh untuk kedua-dua patung dumi ujian kanak-kanak di belakang
- Keupayaan pertahanan struktur turut dibuktikan fleksibel melalui pemodelan virtual (virtual modelling) merentasi persentil ke-5, ke-50, dan ke-95.
Keselamatan Pasca-Kemalangan (95 Peratus)
- Zeekr 7GT menyamai prestasi cemerlang BMW dalam menguruskan situasi selepas perlanggaran
- Berjaya melaksanakan sistem pengasingan kuasa voltan tinggi automatik dan kunci pintu terbuka automatik dengan lancar
- Hendal pintu manual kekal tidak rosak dan boleh dibuka mudah dalam semua siri ujian
- Mata hanya dipotong sedikit kerana fungsi perkhidmatan pihak ketika (Third-Party Service, TPS) eCall yang tidak mencapai skor maksimum penuh.
Rumusan Prestasi, Masa Depan Keselamatan Automotif
Jika dibuat analisis perbandingan keseluruhan, kedua-dua model memiliki kelebihan tersendiri dalam mendepani protokol baharu itu:
Aspek Keselamatan Aktif, Pasif
- Zeekr 7GT menerajui persaingan dalam aspek keselamatan aktif dan ketahanan struktur perlanggaran
- Model dari China itu mencatatkan skor tinggi 89 peratus untuk Elak Kemalangan dan 93 peratus bagi Perlindungan Kemalangan
Aspek Ergonomik Pemanduan
- BMW iX3 membuktikan keunggulannya dalam aspek pemanduan mesra pengguna
- SUV Jerman itu meraih skor 73 peratus bagi Pemanduan Selamat, disumbang pengekalan butang fizikal yang mengurangkan gangguan fokus pemandu
Tahap Kecekapan Kecemasan
- Kedua-dua model berkongsi tahap kejuruteraan yang sama tinggi dalam pengurusan impak kecemasan
- Ini dibuktikan menerusi rekod skor 95 peratus bagi kategori Keselamatan Pasca-Kemalangan
Pengarah Program Euro NCAP, Dr Aled Williams berkata, keselamatan automotif berkembang pesat sejak keputusan pertama diterbitkan pada awal 1997.
Protokol terbaharu itu diperkenalkan sebagai respons terhadap maklum balas pengguna dan inovasi kejuruteraan teknologi moden.
Kejayaan BMW iX3 and Zeekr 7GT membuktikan pengeluar kenderaan mampu menghasilkan model yang selamat dalam pelbagai tahap, bermula seringkas penyediaan butang fizikal hingga sistem bantuan pemandu yang berfungsi seiring kehendak pemandu, dan bukan mengganggu.

















































