
AGENSI Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terus memperketat operasi terhadap pemilik kenderaan mewah yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya menerusi Ops Luxury.
Terbaharu, seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan dan pakar motivasi keusahawanan bergelar Datuk antara individu terkenal yang ditahan dalam operasi tersebut.
Toyota Vellfire Ditahan Di Bukit Bintang

Bekas pemain bola sepak itu dilaporkan ditahan sekitar jam 4 pagi ketika memandu sebuah Toyota Vellfire di kawasan Bukit Bintang. Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi, MPV mewah tersebut kemudian disita selepas didapati melakukan beberapa kesalahan serius.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada perlindungan insurans, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan lesen memandu yang juga sudah tamat tempoh. Hasil semakan mendapati LKM kenderaan tersebut sudah tamat sejak 7 Disember tahun lalu dan masih belum diperbaharui sehingga kini.
Mercedes-Benz Brabus AMG Turut Disita

Dalam operasi berasingan, seorang pakar motivasi terkenal turut ditahan selepas memandu sebuah Mercedes-Benz Brabus AMG di sekitar Lembah Klang. Kenderaan itu disita selepas didapati menggunakan LKM tamat tempoh selain tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.
Menurut Jazmanie, keadaan itu bukan sahaja membahayakan pemandu tetapi turut memberi risiko kepada pengguna jalan raya lain sekiranya berlaku kemalangan. Lebih mengejutkan, JPJ turut mendapati kenderaan tersebut masih menggunakan nombor pendaftaran lama walaupun pemilik sudah membuat pertukaran nombor rasmi.
Guna Nombor Lama Juga Satu Kesalahan

Jazmanie berkata, penggunaan nombor pendaftaran lama selepas proses pertukaran nombor selesai merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang. Beliau berkata demikian ketika sidang media di Depoh Tunda JPJ Kuala Lumpur malam tadi.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam. Menurut beliau, Ops Luxury memberi fokus kepada pemilik kenderaan mewah yang culas memperbaharui dokumen penting termasuk cukai jalan dan perlindungan insurans.
Porsche Antara Kenderaan Dengan Tunggakan Tinggi

Dalam perkembangan sama, JPJ turut mendedahkan terdapat kes LKM tamat tempoh yang dikesan sejak 1 Januari 2025. Malah, antara kenderaan dengan tunggakan LKM paling tinggi yang direkodkan dalam operasi itu ialah sebuah Porsche dengan jumlah bayaran mencecah RM16,000.
JPJ menegaskan pihaknya memandang serius isu ketidakpatuhan melibatkan pemilik kenderaan mewah dan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.
Dengan operasi seperti Ops Luxury semakin agresif dijalankan, pemilik kenderaan diingatkan supaya memastikan semua dokumen termasuk lesen memandu, cukai jalan dan insurans sentiasa aktif bagi mengelakkan tindakan sitaan.
SUMBER: Harian Metro






