
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan 15 individu selepas satu aksi promosi menggunakan suar (flare) dan tunggangan berbahaya di Bukit Bintang tular di media sosial.
Kumpulan tersebut dipercayai melakukan aksi berisiko di Jalan Sultan Ismail berhampiran kawasan tumpuan pelancong awal pagi Ahad lalu bagi mempromosikan sebuah kedai pakaian.
Police are tracking down a group of individuals who carried out a dangerous public stunt involving burning flares in Bukit Bintang earlier this morning.
The incident is believed to have involved around seven to eight individuals, with authorities now tracing the vehicle owners… pic.twitter.com/NWA34udDK8
— BFM News (@NewsBFM) May 18, 2026
Polis Bertindak Kurang 24 Jam
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata kesemua suspek berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas video kejadian mula tersebar. Seramai 14 lelaki dan seorang wanita berusia antara 17 hingga 30 tahun ditahan menerusi beberapa operasi di Batu Caves, Shah Alam, Kajang dan Dengkil.
Menurut beliau, kumpulan tersebut terdiri daripada pemilik kedai pakaian berusia 24 tahun, pekerja premis dan individu yang diupah khas untuk melakukan aksi tersebut.

Ada Yang Dibayar Hingga RM700
Hasil siasatan awal mendapati lapan individu menerima bayaran antara RM50 hingga RM700 untuk terlibat dalam aksi promosi tersebut. Polis turut merampas beberapa barangan termasuk sebuah trak pikap, dua motosikal scrambler elektrik dan pakaian yang digunakan ketika kejadian.
Apa yang lebih mengejutkan, motosikal scrambler elektrik yang digunakan sebenarnya merupakan model off-road yang tidak dibenarkan digunakan di jalan raya awam. Kenderaan tersebut dipercayai milik beberapa suspek dan bukannya disewa daripada pihak luar.

Promosi Sempena Ulang Tahun Kedai
Siasatan awal mendapati aksi berbahaya itu dilakukan sempena kempen promosi ulang tahun keenam sebuah kedai pakaian di Dengkil. Rakaman video tular menunjukkan beberapa individu menyalakan suar sambil menaiki belakang trak pikap dan motosikal di tengah jalan raya.
Aksi tersebut mencetuskan kebimbangan ramai kerana dilakukan di kawasan sibuk serta berpotensi mengundang kemalangan kepada pengguna jalan raya lain. Setakat ini, semua suspek dilaporkan negatif dadah manakala semakan rekod jenayah lampau masih dijalankan pihak polis.
Disiasat Bawah Beberapa Akta

Kes kini disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Selain itu, siasatan turut melibatkan Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. Kesemua suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan lanjut.
Insiden tersebut sekali lagi menjadi peringatan bahawa aktiviti promosi atau konten media sosial melibatkan jalan raya awam perlu dilakukan secara terkawal dan mengikut undang-undang bagi mengelakkan risiko terhadap keselamatan orang ramai.
SUMBER: New Straits Time






