PERODUA Myvi atau Proton Iriz? Ini antara sekian banyak soalan ditanya bakal pembeli kereta pertama, atau yang merancang membeli kereta lebih kecil mengikut keperluan dan bajet masing-masing.
Kedua-dua model ada keunikan tersendiri. Kelmarin, Perodua memperkenalkan Myvi (2022) versi dipertingkat (facelift), iaitu kira-kira tiga bulan selepas Proton melancarkan Iriz 2021, juga versi dipertingkat.
Berdasarkan permintaan ramai, artikel akan cuba membuat perbandingan membabitkan dua varian teringgi model tersebut, iaitu Perodua Myvi 1.5L AV dan Proton Iriz 1.6L Active.
BACA >>> Ini 5 Perkara Baharu Proton Kongsi Tentang Iriz, Persona (2022)
REKABENTUK
- Myvi (2022) mengetengahkan rekabentuk bampar depan lebih menyerlah dengan tambahan lampu siang (DRL) LED, diposisikan menegak di sisi bampar. Lampu utama nampak lebih besar, dengan kemasan kelabu di atas.
- Gril atas nampak lebih besar dan ada palang panel krom di tengah, selari bawah lampu utama. Nombor plat pula dipasangan di tengah bampar depan. Spoiler bawah bampar depan berkonsep dwi-tona, bergaya sporty.
- Iriz (2021) menampilkan rekabentuk bampar depan lebih lembut, dan elegan, manakala lampu DRL dibuat melintang.
- Ada kemasan kelabu atau krom kusam (matte) sebagai frem gril bawah paten sarang lebah (honeycomb).
- Gril atas mengambil konsep ukiran tradisional Malaysia, dipanggil Infinite Weave yang dibingkaikan dalam frem merah gaya busur, dinamakan Ethernal Bow.
- Nombor plat diposisikan di gril bawah. Lampu depan Iriz nampak lebih tirus dengan kemasan hitam di atas dan bawah lampu utama. Lip bawah juga dwi-tona seperti Myvi.
- Lekuk badan atas bonet kedua-dua model juga berbeza. Lekuk Myvi lebih lurus dan melebar keluar, sebaliknya Iriz melengkung dan menirus ke hujung bonet.
- Sudut sisi Myvi menampakkan gaya sebenar hatchback dengan menyerlahkan garis badan kereta moden. Warna bumbung senada warna badan.
- Hendal pintu Myvi dikromkan, manakala cermin sisi jenis boleh lipat automatik dan berwarna hitam. Ada juga skirt sisi dengan aksen hitam yang menguatkan imej sporty.
- Saiz rim 15 inci dengan rekaan jejari kembar lima bilah.
- Iriz pula menampilkan warna badan dwi-tona, dengan bumbung hitam, termasuk spoiler dan warna badan kontras. Hendal pintu juga sama seperti warna badan, dan ada skirt sisi hitam.
- Dari sisi, Iriz mendapat gaya crossover dengan tambahan pelapik gerbang roda maskular warna kontra dan rel bumbung hiasan.
- Rekaan rim 16 inci Iriz juga unik dengan corak bunga kain songket.
- Myvi mengekalkan rekabentuk belakang minimalis dengan warna badan mendominasi 95 peratus ruangan. Ada spoiler dwi-tona dan set lampu kombi sama seperti model semasa.
- Hendal pintu but diposisikan di tengah pintu, dan di bawah lencana 'P' (Perodua). Penutup tangki minyak di sebelah kiri, tipikal seperti model-model dari Jepun.
- Bahagian belakang Iriz pula didominasi warna hitam pada spoiler bumbung, dan separuh pintu but serta sebahagian bampar belakang.
- Tiada lagi lencana 'harimau' Proton, tetapi digantikan teks 'PROTON' yang dilekatkan sepanjang tengah pintu but. Hendal pintu but diletak rendah, sebaris bampar belakang.
- Kedua-dua model hadir dengan antena jenis sirip yu.
KABIN
- Ruang kabin Myvi AV menggunakan kombinasi tona berbeza, hitam dan merah pada kerusi, termasuk aksen merah pada ventilator penyaman udara. Juga aksen warna tembaga pada panel pintu, konsol gear dan papan pemuka.
- Menggunakan material kulit pada kerusi dan stereng.
- Tiada perehat lengan tengah untuk Myvi AV, tetapi disediakan Perakam Video Digital (DVR). Juga ada mod kuasa (power mode) di stereng bersama butang audio, Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Kawalan Kekal Lorong (LKC), pengecam suara (voice recognition) dan paparan multi-info (MID).
- Unit infotainmen masih sama jenis skrin sentuh TFT yang dilengkapkan sistem multimedia dengan konektiviti USB, Bluetooth, SmartLink dan HDMI di tengah papan pemuka dan di bawah ventilator penyaman udara tengah.
- Juga disediakan pembaca kad tol Touch 'n G0 (TnG) yang berfungsi seperti Smart Tag, tidak perlu risau lagi pasal bateri, cuma masukkan saja kad TnG.
- Ruang kabin Iriz Active lebih sporty dengan mengetengahkan tona kabin serba hitam yang diserikan aksen merah pada konsol gear, ventilator penyaman udara dan stereng. Paling menarik perhatian, tali keledar merah.
- Panel pintu tertera sulaman 'Active' dan sulaman benang merah pada kerusi dan perehat lengan. Ya, ada perehat lengan tengah pada Iriz Active. Material kerusi adalah semi-kulit dengan farik, manakala stereng dibalut kulit sintetik (leatherette)
- Unit infotainment Iriz jenis apung dengan skrin sentuh TFT 8 inci dengan ciri navigasi, arahan suara, konektiviti telefon pintar dan Bluetooth, 4G dan WiFi dan 5 port USB, termasuk di sebalik cermin pandang belakang untuk kamera pemuka (dashcam).
- Unit infotainment diposisikan atas ventilator penyaman udara. Posisi begini lebih selesa dan mesra pemandu kerana tidak perlu menunduk.
- Ada suis stereng untuk audio dan panggilan bebas tangan.
- Pedal sport
- Masing-masing model ada punat tekan mula (push-start).
BACA >>> #TahukahAnda: Bagaimanakah Bezakan Kulit Sebenar dan Kulit Sintetik (Leatherette)?
- Kedua-dua model menggunakan rekaan kluster instrumen hampir sama dengan dua meter analog dan skrin digital di tengah.
- Kluster insterumen Myvi AV nampak moden dan kemas dengan angka takometer dan spidometer di atas takah, sebaliknya Iriz Active memaparkan angka di bawah takah takometer dan spidometer dengan fon tebal.
- Skrin digital MID Myvi AV memaparkan bar petrol, indikator gear, jam, jarak perjalanan dan trip.
- Iriz Active pula, indikator suhu diletakkan kluster takometer, manakala bar dalam kluster spidometer.
VARIAN DAN HARGA
Perodua menawarkan lima varian Myvi (2021) pada harga seperti berikut (Semenanjung, tanpa insuran dan tidak termasuk cukai jualan):
- 1.5L AV - RM58,800
- 1.5L H - RM53,900
- 1.5L X - RM49,900
- 1.3L G - RM47,700
- 1.3L G (Asas) - RM45,700
Proton Iriz ada tiga varian dengan harga di bawah:
- 1.6L Active - RM54,800
- 1.6L Executive - RM47,800
- 1.3L Standard - RM40,800
Myvi 1.5L AV lebih mahal RM4,000 berbanding Proton Iriz 1.6L Active, sebagai varian paling premium barisan produk masing-masing. Varian paling asas, Myvi 1.3L G juga lebih mahal kira-kira RM4,900 berbanding Iriz 1.3L Standard.
TRENKUASA
Myvi AV menggunakan sistem transmisi baharu, D-CVT dengan fungsi gear pisah (split gear) untuk keseronokan pemanduan, dan memberikan lebih penjimatan bahan api. Trenkuasa digunakan enjin 4-silinder 1.5L DOHC Dual VVT-i berkuasa 102hp @ 6,000rpm dan tork 136Nm @ 4,200rpm.
Myvi (2022) juga menawarkan enjin 1.3L dengan kuasa 94hp @ 6,000rpm dan tork 121Nm @ 4,000rpm.
Iriz Active dijana enjin 4-silinder sebaris 1.6L DOHC VVT berkuasa 107hp @ 5,750rpm, dan tork 150Nm @ 4,000rpm dengan transmisi CVT. Iriz turut menawarkan enjin 1.3L untuk varian asas dengan kuasa 93hp @ 5,750rpm, tork 120Nm @ 4,000rpm.
Iriz Active lebih berkuasa dengan kelebihan kapasiti enjin 100cc yang memberikan ekstra kuasa 5hp dan tork 14Nm berbanding Myvi 1.5L. Bagaimanapun, perbezaan kuasa dan tork antara Myvi dan Iriz 1.3L cuma 1hp dan 1Nm sahaja.
DIMENSI
Myvi AV
- Dimensi: Panjang 3,895mm, lebar 1,735mm, tinggi 1,515mm
- Pusingan radius minimum: 5.1 meter (Myvi 1.3L = 4.8 meter)
- Berat kasar: 1,025kg (Myvi 1.3: 985kg)
- Kapasiti but: 277 liter
- Kapasiti tangki: 36 liter
Iriz Active
- Dimensi: Panjang 3,945mm, lebar 1,722mm, tinggi 1,574mm | Panjang 3,945mm, lebar 1,722mm, tinggi 1,554mm (1.3L)
- Berat kasar: 1,185kg | 1,165kg (Standard), 1,178kg (Executive),
- Kapasiti but: 215 liter
- Kapasiti tangki: 40 liter
Myvi lebih pendek dan rendah berbanding semua varian Iriz, tetapi lebih lebar. Myvi AV 160kg lebih ringan daripada Iriz Active. Myvi baharu juga menawarkan kapasiti but lebih besar berbanding Iriz. Bagaimanapun, semua varian Iriz ada lebihan kapasiti tangki minyak 4 liter.
KESELAMATAN
Myvi AV
- Menerima penambahbaikan sistem keselamatan menerusi ciri Bantuan Pandu Pintar Perodua (Perodua Smart Drive Assist, PSDA) yang disediakan untuk semua varian (kecuali 1.3G), iaitu:
- Bantuan Keselamatan Termaju (ASA) 3.0
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
- Bantuan Kekal Lorong (LKA)
- Sistem Pemantau Titik Buta (BSM)
- Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA)
- Ini menjadikan semua varian Myvi baharu dilengkapi teknologi Autonomi Tahap 2 (kecuali varian asas) di bawah harga RM60,000, juga pertama dalam sejarah automobil tempatan.
- Ciri PSDA terdiri daripada tiga bahagian utama, iaitu:
- Bantuan Keselamatan Termaju (A.S.A): Amaran Pra-Perlanggaran (PCW), Brek Pra-Perlanggaran (PCB), Kawalan Salah Operasi Pedal serta Amaran Pergerakan Depan.
- Bantuan Pemanduan: Sistem Amaran Lencong (LDW), Sistem Elak Tukar Lorong (LDP), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Kawalan Kekal Lorong (LKC) dan Pemantau Titik Buta (BSM).
- Bantuan Parkir: Sensor Belok Depan, Sensor Belok Belakang, Kamera Undur dan Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA)
- Lampu Tinggi Automatik (AHB)
- Tambahan lain ialah enam beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC), Kawalan Traksi (TC), Signal Henti Kecemasan (ESS), Bantuan Mula Daki (HSA) dan pautan kerusi kanak-kanak ISOFIX sebagai ciri standand dan Sistem Kunci Pintu Automatik.
Proton Iriz Active
- Menawarkan enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek (BA), Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), Kawalan Traksi (TC), Bantuan Pegun Bukit (HHA), Kamera Undur, sensor parkir depan dan Belakang. Iriz tiada ciri bantuan pemanduan pintar seperti Myvi (2022), tetapi menawarkan struktur badan diperkuat dengan keluli tekap panas (HPF).
WARNA
Myvi AV: Cranberry Red (merah), khas untuk varian ini sahaja. Juga ada pilihan warna lain seperti Ivory White (putih), Glittering Silver (perak), Lava Red (merah, tiada untuk AV), Granite Grey (kelabu) dan Electric Blue (biru).
Iriz Active: Biru, Kelabu, Perak, Putih, Citric Orange (jingga) dan Passion Red (merah). Tiada warna khas untuk Iriz Active kerana varian premium daoat dibezakan dengan kit khas ala 'crossover' yang tiada pada varian lain.
BACA >>> Perbandingan: Kereta Apa Lagi Boleh Beli dengan Harga Perodua Ativa AV, RM72k?
BACA >>> Perbandingan: Perodua Ativa vs Proton X50, Apa yang Berbeza?
Leave a Reply