DALAM pasaran motosikal tempatan hari ini yang masih ramai penunggang gilakan kapcai dan skuter untuk segmen bawah RM15,000, kehadiran Modenas Pulsar RS200 dan Yamaha YZF-R15 pasti memberikan kelegaan kepada peminat sportbike Malaysia. Lebih-lebih lagi kalangan mereka yang mahukan menjadikan motosikal sebegini sebagai tunggangan harian.
Memang diakui, menunggang sportbike masih tidak praktikal dari segi membawa muatan barangan dan penumpang. Namun, dengan harga sekitar RM11,000-13,000, setanding kapcai dan skuter popular di pasaran, R15 dan Pulsar RS200 mampu menjadi pilihan utama buat mereka yang tertarik dengan idea menunggang motosikal ala jentera lumba ke tempat kerja setiap hari.
Walaupun rupa dan konsep hampir sama, berdasarkan pengalaman kami sendiri, kedua-dua sportbike itu mempunyai karakteristik dan pengalaman berbeza. Ia mungkin sesuai atau tidak sesuai untuk sesetengah penunggang. Jadi mana satukah yang bakal jadi pilihan anda?
BACA >>> #BikinMotor: Modifikasi Berani Tukar Pulsar RS200 Jadi Ninja H2R
Jom, ikuti perbandingannya di bawah ini:
1. SPESIFIKASI
Berikut jadual lengkap spesifikasi antara R15 dan Pulsar NS200:
2. KUASA
Perbezaan utama sudah tentu aspek kuasa. Pulsar RS200 dengan enjin 200cc sudah tentu menawarkan sesaran lebih besar daripada R15 yang cuma 155cc. Bagaimanapun, kedua-dua enjin mempunyai personaliti berbeza.
Enjin 155cc R15 dilengkapi teknologi aktuasi injap variabel (VVA), kuasa dikekalkan dari peringkat awal putaran enjin hingga kelajuan maksimum dicapai. Ini bermakna, pada halaju sederhana, enjin ini bekerja seperti kebanyakan kapcai 150cc lain, contohnya Yamaha Y15ZR.
Bagaimanapun apabila dikerah lebih 7,500rpm, VVA mula membenarkan R15 mencapai kelajuan maksimum lebih tinggi, iaitu sekitar 145kmj. Sudah tentu ia lebih berkuasa berbanding halaju Y15ZR sekitar 125kmj dalam kondisi standard (kelajuan berbeza ikut faktor luaran seperti berat penunggang dan cuaca).
Tambahan lagi, transmisi klac manual 6-kelajuan dengan ciri klac gelincir (slipper clutch) membantu melancarkan proses anjakan turun gear, sekali gus menjadikan R15 lebih seronok ditunggang agresif, terutama di jalan berselekoh.
Sebaliknya, enjin Pulsar RS200 bersesaran 200cc jelas lebih bertenaga dengan kelajuan maksimum sekitar 150kmj, tetapi tidaklah jauh berbeza dengan R15 kerana beza sesaran cuma 50cc. Namun, sportbike Modenas ini bukan dibikin semata-mata untuk berlumba.
Berbanding enjin R15 yang dibina untuk tunggangan agresif, tetapi RS200 lebih menumpukan kepada aspek penjimatan bahan api menerusi pengenalan teknologi 3 palam pencucuh (DTS-i) yang menjanjikan proses pembakaran bahan api lebih efisien.
Perkara ini pernah kami huraikan dalam artikel terdahulu (klik pautan bawah):
BACA >>> Palam Pencucuh Berganda - Mampukah Tingkat Prestasi atau Gimik Semata-Mata?
Walaupun tiada teknologi VVA dan klac gelincir seperti R15, tambahan sesaran 45cc masih memberikan kelebihan ketara ke atas kuasa pecutan RS200 dan ini penting jika anda penunggang berbadan besar atau berat.
3. GAYA
Soal rupa agak subjektif. Namun, memang tidak boleh dinafikan, R15 mempunyai kelebihan dari segi legasi bahasa rekabentuk Yamaha dengan gaya agresif yang diilhamkan daripada model-model sportbike senior seperti Yamaha R1, R6 hinggalah R15.
Ini dapat dilihat pada rekaan fairing tajam menirus, rongga masukan udara antara dua lampu utama (walaupun sekadar hiasan), dan sisi pelana belakang terpisah. Uniknya, ciri seperti fork depan terbalik (USD), frem Deltabox dan swingarm aluminium sangat jarang dimilik jenis motosikal dalam segmen ini.
Jika rupa menjadi kriteria utama, anda tidak tersilap dengan memilih R15.
Pulsar RS200 pula menampilkan sportbike dengan rekabentuk lebih ke arah sports touring. Lampu utama jenis projektor dengan fairing depan dan tangki lebar memberikan imej seakan motosikal bersesaran lebih 200cc. Imej ini dikukuhkan lagi dengan penggunaan frem perimeter (hampir sama dengan frem Deltabox untuk R15), dan ekzos di bawah (underbelly).
Rakan atau jiran sebelah rumah pun boleh percaya kalau anda beritahu ini sportbike 500cc. 🙂
Namun, ada beberapa kritikan terhadap rekabentuk Pulsar RS200, terutama fairing depan yang terlampau padat dan lampu belakang yang terpisah daripada ekor. Pendapat kami, rekaan lampu belakang Pulsar NS200 (naked bike) nampak lebih garang.
4. PENGENDALIAN & KESELAMATAN
Sebagai model yang mahu dijadikan motosikal harian, sangat penting untuk kita mengambil kira aspek pengendalian, keselesaan dan keselamatan.
Seperti sportbike sebenar, R15 menawarkan ergonomik tunggangan agresif yang memberikan tunggangan stabil pada kelajuan tinggi di jalan lurus atau selekoh. Namun, untuk kegunaan harian, terutama jika melibatkan perjalanan jarak jauh, sportbike Yamaha ini agak memenatkan kerana anda perlu lebih banyak membongkokkan badan.
Jadi jika masih mengharapkan keselesaan sebuah sportbike, Pulsar RS200 memiliki beberapa kelebihan yang boleh dipertimbangkan seperti ergonomik tunggangan lebih menegak dan suspensi belakang jenis Nitrox (gas) boleh laras.
Menariknya, pelana kedua-dua model adalah memuaskan penunggang jika dibandingkan beberapa motosikal lain dalam segmen 250cc ke bawah.
Dari segi keselamatan, Pulsar RS200 mempunyai kelebihan dengan ciri Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) pada roda depan yang untuk membantu mengawal jentera ketika membrek kecemasan. Bagaimanapun berdasarkan pengalaman, prestasi brek Yamaha R15 dirasakan lebih baik berbanding Pulsar RS200, manakala ciri klac gelincir membantu R15 mengelak berlaku situasi roda belakang terkunci ketika menganjak turun gear dalam kelajuan tinggi di selekoh.
5. PRAKTIKALITI
Jika sudah berhasrat memilih sportbike untuk tunggangan harian, hal ruang simpanan patut dilupakan. Ini kerana ruang yang ada cuma cukup untuk menyimpan kit baik pulih dan kecemasan.
Juga lupakan hal membawa pembonceng kerana bukan saja tidak selesa, tetapi menakutkan, terutama buat mereka bertubuh tinggi daripada penunggang. Rasa gayat!
Ada beberapa aksesori seperti beg tangki dan pelana yang boleh dipasang, itupun kalau anda tidak kisah mengetepikan imej asal sebuah sportbike. Ataupun lebih baik beli saja motosikal lain kalau memang ruang simpanan jadi prioriti, betul?
Namun, jika tujuan utama, misalnya berhijrah dari kereta ke sportbike, atas faktor ekonomi petrol dan masa, anda pasti puas hati dengan dua model ini. Kedua-duanya mampu mencapai kelajuan lebuh raya dengan mudah, dengan penjimatan bahan api sekitar 40-50 km/liter atau sekitar 400-500km untuk setiap isian penuh mengikut tunggangan berhemah.
Sebaliknya, jika terotel kerap dipulas lebih 130kmj, angka penjimatan tersebut boleh menurun sekitar 30-35km/liter. Apapun, masih jauh lebih baik daripada memandu kereta.
Kos penyenggaraan dan baik pulih juga menjimatkan untuk kedua-dua sportbike ini. Bukan saja kereta, tetapi juga lebih mesra poket berbanding sportbike 250cc ke atas.
Kepada penunggang baru, anda kena faham, R15 mempunyai indikator posisi gear di mana ketiadaan fitur ini membuatkan penunggang baru Modenas RS200 kerap teragak-agak mahu menukar gear pada kelajuan tinggi. Bagaimanapun kedua-duanya didatangkan dengan indikator tukar gear.
Buat penunggang lebih berpengalaman, R15 lebih lincah dan tangkas untuk menyelit dalam situasi lalu lintas padat di bandar sesak kerana memiliki fizikal lebih kompak. Pulsar RS200 pula lebih stabil ketika meredah lebuh raya dalam kelajuan tinggi.
BACA >>> #BikinMotor: Transformasi Yamaha R15 v3 Jadi YZF-R1M dengan Kos Cuma RM2.6k
RUMUSAN
Walaupun dua sportbike ini dalam kategori sama, tetapi kedua-duanya mempunyai karakter berbeza.
R15 menawarkan karakteristik sportbike sebenar yang sesuai untuk penunggang agresif, dan pilihan terbaik untuk mereka yang mencari jentera latihan apabila beralih dari kapcai ke sportbike lebih berkuasa.
Bagi penunggang yang mahu beli satu motosikal saja, R15 masih sesuai dijadikan jentera tunggangan harian ke tempat kerja, termasuk tunggangan 'santai' hujung minggu di 'litar-litar antarabangsa tempatan' seperti Bukit Tinggi dan Kuala Klawang misalnya.
Namun, jika dilihat dalam skop tunggangan harian semata-mata, Pulsar RS200 jelas ada banyak kelebihan. Selain lebih berkuasa dan harga lebih murah sekitar RM1,500-RM2,000 berbanding R15, faktor keselesaan tunggangan jarak jauh dan ciri ABS pasti sangat membantu.
Lebih-lebih lagi situasi atas jalan hari ini kerap menyaksikan berlaku kemalangan yang berpunca daripada ragam pengguna yang tetiba menukar lorong dan buat pusingan-U sesuka hati.
Walaupun jenama Modenas mungkin tidak segah Yamaha, dalam konteks kegilaan peminat motosikal di Malaysia, tetapi ingat, sudah 10 juta model Pulsar RS200 terjual seluruh dunia. Ini ditambah dengan sokongan Bajaj kepada Modenas dalam memastikan servis selepas jualan berjalan lancar dan baik. Jadi, memilih Pulsar RS200 boleh dikatakan pembelian berbaloi berbanding pesaing lain dalam segmen sama.
Akih says
Brpa tahap kelajuan yg boleh digunakan utk running motor baru? Dan Pulsar user