
MERCEDES-MAYBACH memperkenalkan Mercedes-Maybach GLS 2027 yang menerima pelbagai penambahbaikan dari segi rekaan, kemewahan, teknologi serta prestasi.
Antara pembaharuan utama termasuk rekaan luaran lebih eksklusif, kabin lebih mewah, enjin V8 hibrid ringan (mild hybrid) lebih berkuasa, sistem suspensi dipertingkat, sistem operasi MB.OS generasi baharu serta teknologi bantuan pemanduan terkini.
Mercedes-Maybach GLS 2027 dipasang di kilang Mercedes-Benz di Tuscaloosa, Alabama, Amerika Syarikat yang telah menghasilkan lebih lima juta SUV Mercedes-Benz sejak 1997.

Bagi model Maybach, proses pemasangan dalaman dilakukan oleh pasukan khas yang menerima latihan khusus di fasiliti Mercedes-Maybach Manufaktur di Jerman.
Dua juruteknik akan menyiapkan setiap unit secara manual di luar barisan pemasangan biasa sebelum kenderaan menjalani proses pemeriksaan akhir bagi memastikan setiap komponen memenuhi standard kemasan Maybach.

Tempahan kini dibuka di China sebelum diperluaskan ke Amerika Syarikat dan Eropah pada penghujung Julai 2026, diikuti pasaran lain.
Untuk makluman, Maybach GLS versi terdahulu turut ditawarkan di Malaysia pada harga sekitar RM 2 juta.
Rekaan eksklusif dengan identiti Maybach lebih menyerlah

Bahagian hadapan menerima gril khas Maybach yang direka semula dengan lampu LED di sekeliling bingkai, selain tulisan MAYBACH kini turut diterangi buat pertama kali.
Di beberapa pasaran terpilih, logo Mercedes-Benz tegak pada bonet juga menerima pencahayaan bagi menyerlahkan lagi identiti model mewah tersebut.

Lampu utama Digital Light kini tampil dengan elemen kemasan Rose Gold, selain memuatkan logo Maybach bersama pencahayaan ambien pada sisi modul lampu dan bahagian yang menghubungkan lampu utama dengan gril hadapan.
Turut melengkapkan bahagian hadapan ialah:
- Bampar baharu dengan rekaan lebih kemas dan eksklusif, corak Maybach pada liang udara berkemasan krom serta pelindung bawah (underbody protection) berbalut krom.

Di belakang, Mercedes-Maybach memasang lampu belakang baharu yang dihubungkan menerusi panel hiasan pada pintu belakang bagi memberikan imej lebih lebar.
Lampu belakang itu turut menggunakan grafik bintang tiga dimensi yang dikelilingi kemasan krom, sekali gus menampilkan identiti Maybach yang lebih jelas.
Enjin V8 hibrid ringan lebih berkuasa

Mercedes-Maybach GLS 2026 dikuasakan enjin 3,982cc V8 Biturbo M177 EVO baharu yang dipadankan dengan sistem Integrated Starter Generator (ISG) 2.0 berasaskan rangkaian elektrik 48V.
Sistem itu menghasilkan kuasa 612 PS (450 kW), dengan tambahan Boost 23 PS (17 kW), manakala tork maksimum mencecah 850Nm.
Menurut Mercedes-Maybach, output tersebut setanding enjin V12, namun menawarkan tahap kecekapan, respons dan keselesaan yang lebih baik.
Enjin baharu itu turut memberikan respons pendikit lebih pantas, penghantaran kuasa lebih lancar, fungsi coasting, jana semula tenaga (recuperation) dan sistem start-stop yang lancar atau hampir tidak dapat dirasai.
Bagi mengurangkan getaran, Mercedes-Maybach turut menambah dua aci imbangan Lanchester, sekali gus menjadikan operasi enjin lebih halus.
Turut disediakan ialah mod pemanduan Maybach menerusi sistem Dynamic Select, yang ditala khusus bagi memberikan keselesaan maksimum kepada semua penumpang.
Sistem stereng lebih tepat

Mercedes-Maybach turut memperkenalkan sistem stereng baharu dengan nisbah stereng lebih langsung.
Penambahbaikan itu meningkatkan ketepatan, kelincahan serta respons stereng sama ada ketika memandu di bandar mahupun di jalan berselekoh.
Suspensi Airmatic kini lebih pintar

SUV mewah ini menggunakan suspensi udara Airmatic generasi baharu sebagai kelengkapan standard.
Sistem itu mampu melaras kadar redaman secara ramalan menggunakan data masa nyata Car-to-X daripada kenderaan Mercedes-Benz lain yang berada di hadapan.
Maklumat keadaan permukaan jalan dihantar menerusi Mercedes-Benz Intelligent Cloud sebelum suspensi melaras tetapan mengikut keadaan sebenar.
E-Active Body Control membaca jalan 1,000 kali sesaat

Sistem E-Active Body Control ditawarkan sebagai pilihan dan dibangunkan berasaskan suspensi Airmatic.
Ia menggunakan lima pemproses berbilang teras bersama lebih 20 sensor untuk menganalisis keadaan pemanduan sehingga 1,000 kali sesaat.
Setiap penyerap hentak dan spring dikawal secara individu bagi mengurangkan oleng (roll), anggukan (pitch), serta daya angkat (lift) badan kenderaan.
Dalam mod Curve, badan kenderaan boleh condong sehingga tiga darjah ketika mengambil selekoh bagi mengurangkan daya sisi yang dirasai penumpang.
Sistem itu turut mengekalkan ketinggian badan tanpa mengira jumlah muatan atau keadaan permukaan jalan.
Bagi pemanduan di permukaan kasar, mod Offroad menawarkan fungsi Rocking Mode yang menaik dan menurunkan badan kenderaan secara automatik bagi membantu membebaskan tayar daripada pasir atau lumpur.
Keseluruhan sistem beroperasi menggunakan rangkaian 48V dengan empat unit motor-pam yang dipasang pada setiap roda serta dikawal oleh satu unit kawalan pusat.
Sistem itu juga mampu menjana semula tenaga elektrik (energy recuperation).
Pilihan warna dan rim baharu

Mercedes-Maybach turut memperluaskan pilihan warna badan menerusi beberapa kemasan baharu, termasuk:
- Dark Petrol.
- MANUFAKTUR Patagonia Red Metallic.
- Gabungan dua tona Dark Petrol/Verde Silver Metallic.
Program MANUFAKTUR turut diperluaskan bagi menawarkan lebih banyak pilihan personalisasi.
Menurut Mercedes-Maybach, hampir semua pelanggan memilih sekurang-kurangnya satu pilihan daripada program tersebut, termasuk pakej dalaman kulit penuh yang meliputi bahagian bumbung kabin.
Kemasan bumbung berkenaan dihasilkan secara manual di fasiliti MANUFAKTUR di Sindelfingen, Jerman, menggunakan sehingga 20 kepingan kulit yang dijahit oleh seorang tukang bagi memastikan kemasan yang sempurna.
Rim 23 inci dengan logo terapung

Model baharu ini turut menerima rim aloi 22 inci rekaan baharu, manakala rim tempa (forged) 23 inci menampilkan ciri unik menerusi hab tengah (centre cap) terapung.
Mekanisme galas bebola (ball bearing) membolehkan logo Mercedes-Benz kekal dalam kedudukan tegak walaupun roda sedang berputar.
Papan pemijak elektrik lebih eksklusif

Pemijak sisi elektrik akan keluar secara automatik dalam tempoh kurang satu saat sebaik sahaja pintu dibuka.
Ia menggunakan kemasan aluminium beranod bersama getah anti gelincir serta logo Maybach berkemasan krom.
Pada waktu malam, jalur LED akan menerangi papan pemijak sambil memancarkan logo Mercedes-Maybach ke permukaan jalan sebelum sistem tersebut kembali tersorok apabila pintu ditutup.
Varian Night Series tampil lebih sporty
Mercedes-Maybach turut menawarkan varian Night Series yang menggunakan pelbagai kemasan krom gelap pada bahagian hadapan dan sisi badan.
Pemijak sisi elektrik menerima kemasan aluminium gelap, manakala rim aloi 23 inci menggunakan rekaan tujuh jejari bersama corak Maybach.
Pilihan warna luaran terdiri daripada:
- Obsidian Black Metallic.
- MANUFAKTUR Opalite White Bright.
- MANUFAKTUR Opalite White Magno.
- Gabungan dua tona Obsidian Black Metallic/Mojave Silver Metallic.
Di dalam kabin pula, pelanggan boleh memilih kombinasi kulit Black/Black Pearl atau Crystal White/Black Pearl, dipadankan dengan kemasan kayu walnut Open-Pore Brown bersama corak Herringbone serta kemasan tiang berwarna perak.
Kabin digital MB.OS dan MBUX Superscreen

Ruang dalaman Mercedes-Maybach GLS 2027 menerima papan pemuka baharu yang menampilkan MBUX Superscreen bersama sistem operasi Mercedes-Benz Operating System (MB.OS).
Paparan itu menggabungkan tiga skrin bersaiz 12.3 inci di bawah satu panel kaca dengan grafik eksklusif Maybach berwarna Rose Gold, logo Maybach berwarna emas serta latar belakang gabungan warna emas, Rose Gold dan hitam.
Corong pendingin hawa turut direka semula dan dipasang secara bersepadu pada permukaan kaca MBUX Superscreen. Rekaan tanpa sirip konvensional itu menggunakan mekanisme khas bagi mengawal aliran udara sambil meningkatkan penampilan kabin.
MB.OS menggabungkan teknologi AI, seni bina pemprosesan baharu serta sambungan kekal kepada Mercedes-Benz Intelligent Cloud, selain menyokong kemas kini Over-the-Air (OTA) bagi menambah fungsi dan pilihan personalisasi sepanjang hayat kenderaan.

Antara ciri baharu yang ditawarkan termasuk:
- Zero Layer yang memaparkan maklumat penting tanpa perlu membuka menu tambahan.
- Footer Bar yang boleh disesuaikan.
- Folder aplikasi yang boleh dinamakan sendiri.
- Sokongan lebih 40 aplikasi merangkumi audio, video, hiburan dan produktiviti, dengan lebih banyak aplikasi akan ditambah menerusi kemas kini OTA.
MBUX Virtual Assistant turut dipertingkat dengan integrasi ChatGPT, Microsoft Bing Search dan Google Gemini, membolehkan sistem memahami arahan lebih kompleks, mengingati perbualan terdahulu serta berinteraksi secara lebih semula jadi.
Pembantu maya itu dipaparkan dalam bentuk logo Mercedes-Benz berwarna Rose Gold pada paparan Zero Layer.
Bagi penumpang belakang, Mercedes-Maybach menyediakan dua skrin HD penuh bersaiz 11.6 inci bersama alat kawalan yang boleh dikonfigurasi untuk mengendalikan penyaman udara, tirai privasi dan sistem hiburan belakang. Kamera terbina dalam turut membolehkan panggilan video dilakukan ketika perjalanan.
Kerusi lebih selesa dengan fungsi urut baharu

Mercedes-Maybach mempertingkatkan keselesaan semua penumpang menerusi fungsi urutan baharu.
Antara pembaharuan ialah:
- Tempat duduk hadapan menerima fungsi urutan getaran pada kusyen.
- Dua kerusi Executive belakang kini menawarkan fungsi urutan sehingga ke bahagian betis buat kali pertama pada GLS.
Kulit Nappa baharu dan lebih banyak pilihan kemasan

Mercedes-Maybach memperkenalkan upholsteri Maybach Exclusive Nappa Leather baharu dalam kombinasi warna Beech Brown/Macchiato Beige.
Turut diperkenalkan ialah dua pilihan kemasan dalaman baharu:
- Kayu Brown Open-Pore V-Groove Walnut.
- Fabrik Silver/Black Diamond Pattern High Gloss.
Kemasan tersebut turut digunakan pada panel yang menutupi peti sejuk belakang, yang mampu memuatkan dua botol bersaiz 0.75 liter bagi mengekalkan karakter lounge mewah model ini.
Sistem audio dipertingkat
Sistem audio Burmester 3D Surround Sound dengan Dolby Atmos kini menerima dua pembesar suara tambahan di bahagian belakang.
Secara keseluruhan, sistem itu menawarkan:
- 15 pembesar suara.
- Amplifier berkuasa 710W.
- Julat bunyi lebih luas untuk semua penumpang.
Penapis udara elektrik dan kabin lebih senyap
Mercedes-Maybach turut memperkenalkan sistem penapisan udara elektrik baharu yang memperbaharui udara kabin kira-kira setiap 90 saat.
Sistem berbilang lapisan itu menggabungkan penapis awalan (pre-filter), penapis ion serta penapis dalaman yang terus berfungsi walaupun mod kitar semula udara (recirculation) diaktifkan.
Kesenyapan kabin turut dipertingkat menerusi penggunaan bahan penebat tambahan pada ruang enjin, terowong transmisi, dinding pemisah enjin serta beberapa ruang dalam struktur badan.
Selain itu, penutup enjin turut dipasang bahan penyerap bunyi khas bagi mengurangkan bunyi pembakaran frekuensi tinggi, sekali gus meningkatkan lagi keselesaan pemanduan.
MB.Drive Assist Pro dengan kuasa pemprosesan 254 TOPS
Mercedes-Maybach GLS baharu dilengkapi sistem bantuan pemanduan terkini yang menggunakan:
- 10 kamera luaran.
- Lima radar.
- 12 sensor ultrasonik.
- Komputer sejukan air berasaskan MB.OS.
Unit pemprosesan itu mempunyai kuasa pengiraan sehingga 254 trilion operasi sesaat (254 TOPS) bagi memproses semua data sensor secara masa nyata menggunakan teknologi AI.
Bantuan pemanduan bandar lebih pintar

Di Eropah, model ini didatangkan standard dengan pakej MB.Drive Standard yang merangkumi Distronic Distance Assist.
Bergantung kepada pasaran, Mercedes-Maybach turut menawarkan MB.Drive Assist, MB.Drive Assist Plus atau MB.Drive Assist Pro.
Menerusi MB.Drive Assist Pro, sistem mampu membantu pemandu bergerak dari tempat letak kereta sehingga ke destinasi dalam persekitaran bandar menggunakan gabungan navigasi dan bantuan pemanduan Tahap 2 (SAE Level 2).
Walaupun sistem boleh membantu mengawal stereng, membrek dan memecut, pemandu masih perlu memegang stereng serta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap operasi kenderaan.
Fungsi itu akan diperkenalkan terlebih dahulu di China sebelum diperluaskan ke Amerika Syarikat dan pasaran lain, bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan.
MB.Drive Parking Assist dipertingkat
Sistem MB.Drive Parking Assist kini mampu mengesan petak parkir dengan lebih awal, termasuk petak parkir menyerong dan kawasan parkir tanpa garisan putih.
Ia juga membantu mengeluarkan kenderaan daripada petak parkir walaupun proses meletakkan kenderaan dilakukan secara manual.
Kelajuan parkir automatik meningkat sehingga 5 km/j, manakala fungsi Wheel Protection baharu membantu mengelakkan rim bergesel dengan pembahagi jalan.
Turut disediakan ialah Reverse Manoeuvring Assist yang membolehkan kenderaan mengundur secara automatik mengikut laluan sejauh 150 meter yang baru dilalui, sekali gus memudahkan pemanduan di kawasan sempit.







































