
MALAYSIA sekali lagi mencuri perhatian industri penerbangan apabila Berjaya Air menerima pesawat ATR 72-600 pertama dunia yang menggunakan konfigurasi kabin kelas perniagaan sepenuhnya.
Pesawat premium dikenali sebagai ATR HighLine itu meletakkan Malaysia antara negara terawal menawarkan pengalaman penerbangan serantau bertaraf eksklusif menggunakan pesawat turboprop moden.
Kabin Eksklusif dengan Susunan 1-1

Berbeza konfigurasi biasa pesawat serantau, ATR 72-600 milik Berjaya Air ini hanya menawarkan 26 tempat duduk yang disusun dalam format 1-sebelah-1 bagi memberikan ruang lebih luas dan akses lorong terus kepada setiap penumpang.
Susun atur premium itu juga membolehkan semua penumpang menikmati pemandangan tingkap tanpa perlu berkongsi ruang sempit seperti dalam pesawat komersial biasa.
Ini menjadikan pengalaman penerbangan lebih hampir kepada jet peribadi berbanding pesawat serantau konvensional.
Tempat Duduk Lebih Besar, Mewah
Berjaya Air turut menggunakan kerusi ETEREA buatan Geven yang direka khas untuk keselesaan maksimum.
Menariknya, kerusi tersebut dikatakan antara tempat duduk paling lebar pernah dipasang dalam platform ATR.
Setiap tempat duduk hadir dengan ruang simpanan peribadi, konsol sisi eksklusif dan rekaan yang lebih menyerupai kabin penerbangan mewah.
Gabungan ruang lebih luas dan jumlah penumpang lebih sedikit menjadikan suasana dalam kabin jauh lebih selesa.
Tiada Ruang Simpanan Atas Kepala

Salah satu elemen paling unik pada ATR HighLine adalah ketiadaan ruang simpanan atas kepala seperti pesawat biasa. Sebaliknya, bahagian siling menggunakan panel hiasan khas bagi mewujudkan suasana lebih lapang dan premium.
Rekabentuk tersebut membolehkan cahaya semula jadi memenuhi ruang kabin, sekali gus memberikan rasa lebih terbuka. Konsep itu biasanya hanya boleh dilihat pada jet peribadi saiz besar.
Dapat Kelulusan Penerbangan Antarabangsa

Awal bulan ini, konsep kabin premium ATR HighLine tersebut menerima pengesahan rasmi daripada Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA), dan turut mendapat kelulusan pihak berkuasa penerbangan Malaysia bagi operasi komersial.
Majlis ketibaan pesawat tersebut berlangsung di Hangar Berjaya Air, Terminal Subang SkyPark.
Acara bersejarah itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud bersama wakil Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Fokus kepada Penerbangan Premium Serantau

CEO Kumpulan Berjaya Property Berhad, Syed Ali Shahul Hameed berkata, pelaburan tersebut membuktikan komitmen syarikat dalam membangunkan perniagaan penerbangan premium yang lebih mampan.
Beliau turut menjelaskan pengenalan ATR HighLine bakal membantu memperkukuh sektor pelancongan serantau dan membuka lebih banyak laluan baharu.
Pada masa sama, pengalaman kabin premium itu juga dilihat mampu mengetengahkan hospitaliti Malaysia kepada penumpang antarabangsa.
Langkah tersebut secara tidak langsung mengangkat imej Malaysia dalam industri penerbangan serantau.
Tujuh Laluan Baharu Akan Dibuka
Seiring ketibaan pesawat baharu ini, Berjaya Air turut mengumumkan peluasan rangkaian penerbangan,
yang bakal memperkenalkan tujuh laluan termasuk destinasi popular seperti Koh Samui, Phu Quoc, Medan, Pekanbaru dan Batam.
Selain itu, laluan tersebut juga dijangka membantu meningkatkan akses ke portfolio resort dan hotel milik Kumpulan Berjaya seperti The Taaras Resort di Pulau Redang. Strategi itu memperlihatkan fokus Berjaya Air terhadap segmen pelancongan premium dan eksklusif.
Beroperasi dari Subang Sejak 1989
Berjaya Air mula beroperasi sejak 1989 dan berpangkalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang SkyPark.
Dengan kemunculan ATR 72-600 HighLine, syarikat tersebut kini bersedia menawarkan pengalaman penerbangan butik yang lebih mewah dan peribadi.
Berjaya Air juga dijangka menerima sebuah lagi pesawat ATR 72-600 dengan konfigurasi ‘Semua Kelas Perniagaan’ pada suku ketiga tahun ini.
Langkah itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara pemain baharu dalam segmen penerbangan serantau premium.
SUMBER: TheVocket







