
KTM mengumumkan ketibaan KTM 390 Duke 2026 untuk pasaran Jepun dengan beberapa penambahbaikan, termasuk penggunaan sistem brek WP yang dibangunkan sendiri buat kali pertama.
Model naked popular itu mengekalkan pembaharuan besar yang diperkenalkan pada generasi terdahulu, termasuk enjin, casis dan penggayaan serba baharu, sebelum menerima naik taraf sistem brek bagi menawarkan prestasi membrek yang lebih baik.

390 Duke 2026 ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Hitam dan Biru, serta dipasang di India.
Model ini mula dijual di Jepun pada Julai 2026 dengan harga 829,000 yen (RM20,700).
Sistem Brek WP Baharu

Naik taraf utama bagi model 2026 ialah penggunaan sistem brek WP yang dibangunkan sendiri oleh KTM.
Di hadapan, motosikal ini dipadankan dengan cakera brek 320mm bersama kaliper brek WP FCR4 empat piston jenis radial-mount yang dibangunkan baharu.
Bahagian belakang pula menggunakan cakera brek 240mm bersama kaliper brek WP RCF4 satu piston yang turut dibangunkan baharu.
Casis Ringan, Pengendalian Mantap

Duke menggunakan rangka trellis keluli dua bahagian yang dipadankan dengan subrangka aluminium tuang (die-cast).
Turut dipertingkat ialah tetapan triple clamp dan offset hendal bagi memberikan kawalan serta karakter pengendalian yang lebih tepat.
Rangka itu dipadankan dengan lengan ayun ringan dan direka mengelilingi suspensi belakang, manakala penyerap hentak belakang dipasang secara off-centre.
Reka bentuk tersebut membolehkan ruang kotak udara diperbesarkan selain membantu merendahkan ketinggian pelana kepada 820mm tanpa menjejaskan kestabilan atau pengendalian. KTM menyatakan pendekatan itu membolehkan lebih ramai penunggang menikmati 390 Duke dengan lebih yakin.
Enjin LC4c 399cc, 45PS

Kuasa dijana enjin LC4c silinder tunggal, sejukan cecair berkapasiti 398.7cc bersama transmisi manual enam kelajuan yang menghasilkan kuasa 45PS pada 8,500rpm dan tork 39Nm pada 7,000rpm.
Enjin itu direka untuk menawarkan pecutan yang lancar serta prestasi yang mudah dikendalikan sama ada di bandar mahupun jalan berliku.
Suspensi WP APEX Boleh Laras
390 Duke 2026 menggunakan:
- Fork hadapan WP APEX Open Cartridge 43mm dengan pelarasan lantunan (rebound) dan mampatan (compression) sehingga lima tahap.
- Penyerap hentak belakang jenis split piston yang menawarkan pelarasan lantunan serta prabeban (preload).
Tetapan itu membolehkan penunggang melaras karakter suspensi mengikut gaya tunggangan masing-masing.
TFT 5 inci Dengan 3 Mod Tunggangan
KTM turut melengkapkan 390 Duke dengan skrin TFT berwarna penuh 5 inci yang menawarkan tiga mod tunggangan:
- Street – mod standard untuk penggunaan harian.
- Rain – tindak balas trotel lebih lembut ketika jalan basah.
- Track – paparan khas litar dengan meter rpm lebih besar, fungsi lap timer serta hanya memaparkan maklumat penting ketika tunggangan di litar.
Mod Track juga membolehkan fungsi Launch Control digunakan bagi membantu mendapatkan pelancaran yang lebih optimum ketika memulakan tunggangan.
Selain itu, penunggang turut boleh mengaktifkan atau menyahaktifkan Supermoto ABS dan Cornering Motorcycle Traction Control (MTC) menerusi paparan TFT.

Spesifikasi KTM 390 Duke 2026 Jepun
- Enjin: 398.7cc, silinder tunggal, DOHC, sejukan cecair
- Kuasa: 45PS (33kW) @ 8,500rpm
- Tork: 39Nm @ 7,000rpm
- Transmisi: 6 kelajuan
- Rangka: Trellis keluli dengan subrangka aluminium
- Suspensi depan: WP APEX Open Cartridge 43mm boleh laras
- Suspensi belakang: WP Split Piston boleh laras
- Brek depan: Kaliper brek WP FCR4 radial-mount empat piston + cakera 320mm
- Brek belakang: Kaliper brek WP RCF4 satu piston + cakera 240mm
- Tayar depan/belakang: 110/70 R17 dan 150/60 R17
- Ketinggian pelana: 820mm
- Kapasiti tangki: 15 liter
- Berat: 165kg (termasuk bahan api)
- Warna: Hitam, Biru








