HONDA Malaysia hari ini rasmi meraikan penyiapan inisiatif pemasangan tenaga solar pertama di Kilang Melaka, Alor Gajah, yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Majlis itu menandakan pencapaian penting dalam perjalanan kelestarian syarikat dan langkah awal ke arah visi global Honda untuk mencapai neutraliti karbon untuk semua produk dan aktiviti korporat menjelang 2050.
Melalui pendekatan pelaburan sendiri, syarikat melabur kira-kira RM14 juta untuk projek tersebut.
Pelaburan itu mencerminkan kepercayaan Honda Malaysia betapa penjagaan alam sekitar dan pertumbuhan perniagaan mampu bergerak seiring, mencipta nilai berkekalan untuk pelanggan, komuniti dan generasi akan datang.
8,960 Panel Solar, Jana 7,042MWh Setahun

Sistem tenaga solar tersebut terdiri daripada kira-kira 8,960 panel solar yang dipasang atas bumbung Kilang Melaka, dengan jumlah kapasiti terpasang melebihi 5.6 megawatt (MW).
Sistem itu dijangka menjana kira-kira 7,042 megawatt-jam (MWh) tenaga elektrik boleh baharu setiap tahun, sekali gus mengurangkan emisi karbon dioksida (CO2) kilang sebanyak 4,584 tan setahun, bersamaan kira-kira 10 peratus daripada jumlah pelepasan karbon.
Dengan memanfaatkan tenaga boleh baharu, Honda Malaysia akan mengurangkan kebergantungan kepada sumber elektrik konvensional sambil meningkatkan prestasi alam sekitar operasi.
Perintis BESS Kalangan Pengguna Industri di Malaysia
Selain Sistem Solar PV, Honda Malaysia turut melaksanakan Sistem Storan Tenaga Bateri (Battery Energy Storage System, BESS* untuk meningkatkan pengurusan tenaga boleh baharu.
BESS menyimpan lebihan tenaga solar untuk kegunaan kemudian, meningkatkan kecekapan dan memastikan bekalan lebih stabil untuk operasi.
Honda Malaysia berbangga menjadi perintis dalam kalangan pengguna elektrik industri di Malaysia dalam pemasangan BESS, yang menandakan pencapaian penting dalam perjalanan ke arah neutraliti karbon dan menyokong peralihan negara ke arah rendah karbon.
Seiring komitmen kelestarian, Honda Malaysia juga berjaya memperoleh pensijilan Indeks Kesiapsiagaan Industri terhadap Iklim dan Kelestarian (COSIRI), dengan rating 3.07 bintang.
Pencapaian itu menggariskan asas alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat yang kukuh dan menonjolkan usaha proaktif dalam melaksanakan amalan mampan merentasi operasi.
Lestari Melangkaui Kilang: dari e:HEV hingga Rakan Pengedar
Komitmen kelestarian Honda Malaysia melangkaui operasi pembuatan. Melalui peluasan berterusan barisan model e:HEV, syarikat menyediakan solusi mobiliti elektrifikasi termaju yang memberikan prestasi pemanduan dan kecekapan bahan api sambil mengurangkan kesan alam sekitar.
Honda Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Melaka dan Kerajaan Malaysia atas sokongan berterusan dalam memajukan inisiatif tenaga boleh baharu.
Insentif Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) memainkan peranan penting dalam memudahkan pelaksanaan projek itu, yang selari agenda kelestarian negara.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata, penyiapan projek tenaga solar itu menandakan pencapaian penting dalam perjalanan kelestarian syarikat.
Selain mengurangkan jejak alam sekitar, ia mencerminkan komitmen kami terhadap pembuatan yang bertanggungjawab dan aspirasi untuk menyumbang ke arah masa depan neutral karbon.
“Berdasarkan komitmen ini, Honda Malaysia akan terus meluaskan inisiatif tenaga solar ke Gudang Bekalan Alat Ganti di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 2027, mengukuhkan usaha jangka panjang kami untuk memacu operasi mampan.
“Di samping itu, perjalanan kelestarian kami melangkaui fasiliti sendiri, apabila pihak berkepentingan, termasuk pengedar Honda, turut mengamalkan amalan mesra alam seperti penuaian air hujan dan inisiatif pelupusan bateri yang betul.”
Penyelesaian projek solar itu mengukuhkan komitmen jangka panjang Honda Malaysia terhadap pertumbuhan perniagaan mampan sambil menyokong visi global Honda untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.












