HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) terus memperkukuh perkhidmatan selepas jualan menerusi Yamaha Quality Service (YQS), dengan lebih 300 Pusat Servis Berkualiti Yamaha seluruh negara., sekali gus muncul rangkaian pusat servis motosikal terbesar di Malaysia.
Inisiatif itu bertujuan memastikan setiap pemilik motosikal Yamaha menerima pengalaman penyelenggaraan berkualiti menerusi penggunaan alat ganti tulen, kepakaran mekanik bertauliah dan teknologi diagnostik moden bagi mengekalkan prestasi dan kebolehpercayaan motosikal.
Alat Ganti Tulen Yamaha dengan Waranti Kilang
Setiap Pusat Servis Berkualiti Yamaha (YQS) hanya menggunakan Alat Ganti Tulen Yamaha yang dibangunkan mengikut spesifikasi asal pengeluar.
Penggunaan komponen tulen bukan saja memastikan prestasi motosikal kekal optimum, tetapi membantu meningkatkan ketahanan dan jangka hayat komponen.
Selain itu, semua alat ganti disertakan Waranti Kilang Yamaha, manakala ketulenan minyak pelincir YAMALUBE boleh disahkan dengan mengimbas kod QR pada botol bagi memberi keyakinan kepada pengguna.
Mekanik Bertauliah Ikut Piawaian Yamaha
Setiap motosikal Yamaha yang diservis di Pusat YQS dikendalikan mekanik yang mengikuti latihan khas mengikut standard Yamaha.
Setiap mekanik dilatih bagi memahami spesifikasi teknikal dan prosedur penyelenggaraan tepat untuk setiap model.
Malah, setiap pusat servis ada sekurang-kurangnya seorang Mekanik Tahap Perak yang disokong Mekanik Tahap Gangsa, manakala Ketua Mekanik memperoleh pensijilan selepas mengikuti latihan lanjutan di Global Yamaha Certified Training Academy (YTA).
Teknologi Diagnostik Terkini Percepat Pemeriksaan
Bagi memastikan proses penyelenggaraan lebih cekap, setiap Pusat YQS dilengkapi peralatan diagnostik terkini dan kelengkapan servis khas Yamaha.
Kemudahan itu membolehkan juruteknik mengesan masalah motosikal dengan lebih pantas dan tepat sebelum kerja baik pulih atau penyelenggaraan dijalankan, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan yang tidak dikenal pasti.
Lebih Mudah Akses Servis Berkualiti Seluruh Negara
Dengan lebih 300 Pusat YQS di lokasi strategik seluruh Malaysia, pemilik motosikal Yamaha kini mempunyai akses lebih mudah kepada perkhidmatan selepas jualan yang memenuhi piawaian pengeluar.
Melalui gabungan penggunaan alat ganti tulen, tenaga kerja bertauliah dan teknologi diagnostik moden, Yamaha berharap setiap pelanggan dapat menikmati pengalaman pemilikan yang lebih yakin, selamat dan memuaskan dalam setiap perjalanan.




























