
KEPUTUSAN Formula Satu (F1) menjenamakan perlumbaan di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 in Malaysia mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat. Ramai menyifatkannya pelik kerana perlumbaan berlangsung di Malaysia, tetapi menggunakan nama Bahrain.
Bagaimanapun, situasi luar biasa itu berlaku susulan konflik geopolitik di Asia Barat yang menyebabkan Bahrain tidak dapat menganjurkan perlumbaan di negaranya sendiri. Sebagai penyelesaian, hak penamaan (naming rights) Bahrain dikekalkan, manakala Sepang dipilih sebagai venue alternatif. Walaupun kedengaran janggal, sejarah Formula 1 sebenarnya pernah menyaksikan beberapa perlumbaan menggunakan nama negara lain walaupun berlangsung di lokasi berbeza.
Grand Prix San Marino: Berlumba di Itali Selama 26 Tahun

Contoh paling terkenal ialah Grand Prix San Marino, yang berlangsung di Litar Imola dari 1981 hingga 2006. Menariknya, Imola sebenarnya terletak di Itali dan bukannya negara kecil San Marino yang berada kira-kira 100 kilometer dari litar tersebut.
Nama San Marino digunakan kerana ketika itu Itali sudah mempunyai Grand Prix Itali di Monza. Bagi membolehkan dua perlumbaan berlangsung dalam negara yang sama pada musim yang sama, FIA memilih menggunakan nama San Marino bagi perlumbaan di Imola.
Lebih menarik, litar yang sama pernah menganjurkan perlumbaan Formula 1 di bawah tiga nama berbeza, iaitu Grand Prix Itali (1980), Grand Prix San Marino (1981-2006) dan Grand Prix Emilia-Romagna bermula 2020.

Grand Prix Luxembourg: Berlumba di Nürburgring, Jerman
Satu lagi contoh unik ialah Grand Prix Luxembourg pada musim 1997 dan 1998. Perlumbaan itu sebenarnya tidak berlangsung di Luxembourg, sebaliknya di Litar Nürburgring, Jerman yang terletak kira-kira 80 kilometer dari sempadan kedua-dua negara.
Ketika itu Jerman sudah mempunyai Grand Prix Jerman di Hockenheim. Nürburgring sebelum itu menggunakan nama Grand Prix Eropah, namun hak penamaan tersebut dipindahkan ke Jerez, Sepanyol pada 1997. Akibatnya, penganjur memilih nama Luxembourg bagi membezakan dua perlumbaan yang diadakan di Jerman.
Selepas hak Grand Prix Eropah kembali ke Nürburgring pada 1999, nama Grand Prix Luxembourg terus lenyap daripada kalendar Formula 1.
Grand Prix Switzerland: Diadakan di Perancis

Switzerland pernah menjadi antara venue asal Formula 1 menerusi Litar Bremgarten antara 1950 hingga 1954. Namun tragedi Le Mans 1955 menyebabkan negara itu mengharamkan perlumbaan litar atas faktor keselamatan.
Walaupun begitu, nama Grand Prix Switzerland tetap muncul semula dalam Formula 1. Pada 1982, perlumbaan tersebut diadakan di Litar Dijon-Prenois, Perancis kerana Switzerland masih tidak membenarkan perlumbaan di negaranya sendiri.
Perlumbaan itu turut mencipta sejarah apabila Keke Rosberg meraih satu-satunya kemenangan musim tersebut sebelum akhirnya muncul juara dunia Formula 1 1982.

Grand Prix Eropah di Azerbaijan
Satu lagi keputusan yang mengundang persoalan ialah Grand Prix Eropah 2016 di Baku, Azerbaijan. Walaupun Azerbaijan sering digelar negara rentas benua antara Eropah dan Asia, ibu negaranya, Baku, secara geografi lazimnya dianggap berada di benua Asia.
Justeru, penggunaan nama Grand Prix Eropah ketika perlumbaan sulung di Baku dilihat agak luar biasa. Bermula musim 2017, perlumbaan itu akhirnya menggunakan nama Grand Prix Azerbaijan, yang kekal digunakan sehingga hari ini.
Bahrain GP di Sepang, Sebahagian Daripada Sejarah F1

Penganjuran Bahrain Grand Prix di Malaysia mungkin kedengaran pelik pada pandangan pertama, namun ia bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah Formula 1. Sebelum ini, faktor logistik, komersial dan peraturan telah beberapa kali menyaksikan sesuatu perlumbaan menggunakan nama negara lain walaupun berlangsung di lokasi berbeza.
Apa yang membezakan situasi kali ini ialah perlumbaan dipindahkan ke Malaysia akibat faktor geopolitik dan keselamatan, sementara hak penamaan Bahrain dikekalkan. Ia sekali gus menambah satu lagi bab unik dalam sejarah Formula 1, selain mengembalikan aksi perlumbaan kelas perdana dunia ke Litar Antarabangsa Sepang selepas kali terakhir menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia pada 2017.
SUMBER: Sports Yahoo!







