PELUMBA pasukan Formula Satu (F1) McLaren Mastercard, Lando Norris membuka tirai kemenangan musim 2026 apabila muncul juara Grand Prix (GP) Hungary selepas perlumbaan penuh drama di Litar Hungaroring, sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama buat pasukan itu musim ini.
Pelumba Britain itu menamatkan perlumbaan di depan Max Verstappen (Oracle Red Bull Racing Ford) dan rookie Mercedes-AMG Petronas, Kimi Antonelli selepas rakan sepasukannya, Oscar Piastri, yang mendahului sebahagian besar perlumbaan terpaksa menarik diri akibat masalah kotak gear.
Strategi McLaren Berhasil, Nasib Tidak Menyebelahi Piastri
Perlumbaan bermula dengan Norris dari petak utama, tetapi Piastri berjaya memintas di Turn 2 sebaik saja perlumbaan bermula sebelum menguasai perlumbaan pada separuh pertama.
Norris beberapa kali meminta pasukan membenarkannya memintas, tetapi McLaren memilih mengekalkan kedudukan kedua-dua pelumba.
Situasi berubah selepas hentian pit kedua apabila Piastri tersangkut di belakang Carlos Sainz (Atlassian Williams) sebelum berlaku sentuhan dengan jentera pelumba itu.
Insiden tersebut menyebabkan Norris memperoleh kelebihan besar menerusi kelajuan lebih pantas di trek kosong, sebelum Piastri akhirnya terpaksa bersara akibat masalah kotak gear ketika berbaki kira-kira 15 pusingan.
Verstappen, Antonelli Lengkapkan Podium
Kehadiran kereta keselamatan virtual (VSC) susulan persaraan Piastri membuka peluang kepada Verstappen dan Antonelli mengekalkan kedudukan masing-masing selepas memilih tidak memasuki pit, sekali gus menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.
Scuderia Ferrari HP pula terlepas peluang menaiki podium apabila Lewis Hamilton dikenakan penalti 5 saat kerana memandu melebihi had laju di laluan pit. Walaupun melintasi garisan penamat di depan Antonelli, penalti itu menyaksikan Hamilton jatuh ke kedudukan kelima, manakala Charles Leclerc dinaikkan ke kedudukan keempat.
Racing Bulls Cemerlang, Aston Martin Tunjuk Peningkatan
Isack Hadjar (Oracle Red Bull Racing Ford) menamatkan perlumbaan di tempat keenam, disusuli George Russell (Mercedes-AMG Petronas) yang bangkit dari permulaan hambar selepas sistem antihenti (anti-stall) menyebabkan beliau tercicir sehingga kedudukan ke-21 pada awal perlumbaan sebelum menamatkan saingan di tempat ketujuh.
Visa CashApp Racing Bulls turut mencuri perhatian apabila duo pelumba Liam Lawson dan Arvid Lindblad masing-masing meraih mata di tempat kelapan dan ke-10, manakala Nico Hulkenberg membawa Audi Revolut ke tangga kesembilan.
Aston Martin Aramco Honda pula mempamerkan prestasi paling kompetitif musim ini apabila Lance Stroll dan Fernando Alonso menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 dan 14 menggunakan pakej naik taraf baharu.
Selain Piastri, dua lagi pelumba gagal menamatkan perlumbaan ialah Valtteri Bottas (Cadillac Racing) akibat masalah brek terlalu panas dan Sergio Perez yang mengalami kerosakan bahagian depan kiri jentera.
Menurut Norris, kemenangan itu hadir hasil strategi tidak dijangka, tetapi disokong prestasi jentera McLaren yang amat kompetitif sepanjang perlumbaan.
Aku dah beri segalanya untuk kejar Oscar.
Kelajuan hari ini mungkin antara terbaik pernah aku buat. Jentera sangat sedap dan aku pula sangat yakin. Strategi memanjangkan tempoh guna tayar akhirnya jadi kunci kemenangan.”
F1 kini memasuki cuti musim panas sebelum kembali bersambung menerusi GP Belanda di Litar Zandvoort pada 21 – 23 Ogos 2026.
SUMBER: Formula1.com
























