HUBUNGAN erat Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa menjadi antara faktor utama Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air, sekali gus menyaksikan perlumbaan berprestij itu kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas sembilan tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain hubungan diplomatik yang baik antara kedua-dua negara, faktor keselamatan, kestabilan politik dan keupayaan Malaysia menganjurkan acara bertaraf antarabangsa turut memainkan peranan penting dalam pemilihan tersebut.
Menurut beliau, reputasi Malaysia ketika mempengerusikan Asean tahun lalu yang disifatkan antara terbaik turut meningkatkan keyakinan negara luar terhadap kemampuan Malaysia.
Hubungan baik Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim membantu.
Kalau negara kita tak aman, tak ada orang nak datang. Bukan kredit kepada PMX, tetapi kepada sistem negara, rakyat, keamanan, tentera, polis, penjawat awam, sektor swasta, pengurusan hotel dan restoran yang bersama-sama menjayakan negara,” katanya.
Penganjuran Lebih Murah, FIA Gugurkan Bayaran Awal AS$1 Juta
Anwar turut mendedahkan Kerajaan awalnya mengambil pendekatan berhati-hati terhadap cadangan membawa semula F1 kerana keutamaan ketika ini adalah menangani isu kos sara hidup, penyediaan perumahan dan kebajikan rakyat.
Bagaimanapun, selepas meneliti keseluruhan cadangan, Kerajaan yakin penganjuran tersebut tidak akan membebankan kewangan negara.
Malah, beliau berkata Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) bersetuju memansuhkan bayaran awal penganjuran sebanyak AS$1 juta (RM4.1 juta), sekali gus membolehkan Malaysia menjadi tuan rumah dengan kos jauh lebih rendah berbanding kebiasaan.
Kos Penyelenggaraan SIC Hanya RM16 Juta Setahun
Menurut Anwar, Kerajaan hanya perlu memperuntukkan sekitar RM16 juta setahun bagi kerja penyelenggaraan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) supaya memenuhi piawaian yang ditetapkan untuk perlumbaan bertaraf dunia.
Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding kos yang lazim ditanggung negara lain untuk menganjurkan perlumbaan F1 yang boleh mencecah ratusan juta ringgit sehingga RM1 bilion.
F1 Kembali ke Sepang Oktober Ini
Semalam, Malaysia mengesahkan bakal menjadi tuan rumah F1 GP Bahrain Gulf Air yang dijadual berlangsung di SIC pada 2 – 4 Oktober 2026.
Ini menandakan kepulangan semula perlumbaan F1 ke Malaysia selepas kali terakhir dianjurkan pada 2017.
Sebagai rekod, SIC menjadi gelanggang rasmi GP Malaysia selama hampir dua dekad bermula 1999 hingga 2017, sebelum perlumbaan itu dihentikan susulan peningkatan kos penganjuran dan fi pelesenan tinggi.
Dengan perkembangan terbaharu, Malaysia sekali lagi bakal kembali berada dalam kalendar F1 dunia, sekali gus dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan, ekonomi dan industri permotoran tempatan.
SUMBER: SinarHarian









