
JENAMA Suzuki Cars Malaysia menerusi Naza Eastern Motors hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama platform langganan kenderaan FLUX bagi memperluaskan akses kepada model Suzuki menerusi konsep langganan kenderaan di Malaysia.
Kerjasama strategik itu menjadikan Suzuki Fronx dan Suzuki Jimny AllGrip Plus sebagai dua model pertama yang ditawarkan di platform FLUX, sekali gus memberikan pilihan lebih fleksibel kepada pengguna selain kaedah pembelian atau pinjaman konvensional. Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dan pelancaran kerjasama tersebut, FLUX turut menawarkan diskaun sehingga 69 peratus untuk bulan pertama dan bulan terakhir langganan terpilih.
Suzuki Mahu Perluaskan Akses Pemilikan, FLUX Permudah Mobiliti

Kerjasama itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Naza Automotive Group, Mohd Rizal Jailan; Ketua Pegawai Operasi Suzuki Cars Malaysia, Sivakumar Krishnan; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif FLUX, Aziz Ayman; serta Pengarah Komersial FLUX, Christine A.
Menurut Rizal, walaupun pemilikan kenderaan masih menjadi pilihan utama ramai rakyat Malaysia, permintaan terhadap penyelesaian mobiliti yang lebih fleksibel semakin meningkat. Melalui kerjasama ini, pelanggan yang belum bersedia membeli kenderaan secara terus masih mempunyai pilihan untuk menikmati pengalaman memiliki Suzuki melalui langganan bulanan. Malah, perkhidmatan FLUX juga akan diperkenalkan di bilik pameran Suzuki bagi membantu pelanggan memahami konsep langganan sebelum membuat keputusan.
Langganan Bulanan Tanpa Deposit, Insurans dan Kos Penyelenggaraan
FLUX menjelaskan model langganan kenderaan semakin mendapat perhatian pengguna, dengan kajian pasaran menunjukkan lebih 60 peratus pembeli kereta di Malaysia kini terbuka kepada alternatif langganan berbanding pembiayaan pinjaman.
Melalui pelan ini, pelanggan tidak perlu menyediakan wang pendahuluan, membayar premium insurans tahunan atau menanggung kos penyelenggaraan yang tidak dijangka. Semua kos tersebut digabungkan dalam satu bayaran bulanan tetap, selain pelanggan turut menerima kenderaan gantian (courtesy car) secara percuma sekiranya diperlukan. FLUX akan menguruskan aspek seperti cukai jalan, insurans, penyelenggaraan dan susut nilai, membolehkan pelanggan hanya menikmati pengalaman pemanduan.
Diskaun 69% Sempena Hari Kebangsaan

Bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-69, FLUX menawarkan promosi khas berupa diskaun 69 peratus untuk bulan pertama dan bulan terakhir bagi pelan langganan terpilih selama 24 hingga 36 bulan, sah sehingga 6 September 2026.
Di bawah promosi tersebut, Suzuki Fronx 1.5 Hybrid 2025 yang lazimnya berharga RM2,225 sebulan kini boleh dilanggan pada kadar promosi RM690 untuk bulan pertama dan terakhir, dengan penjimatan keseluruhan sebanyak RM3,070.
Sementara itu, Suzuki Jimny AllGrip Plus 2026 yang mempunyai yuran langganan biasa RM3,278 sebulan ditawarkan pada kadar RM1,016, sekali gus memberikan penjimatan sehingga RM4,524.
Pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan terus melalui laman web FLUX atau mendapatkan maklumat lanjut di semua bilik pameran rasmi Suzuki Cars Malaysia di seluruh negara.

























