BAGI peminat tegar Nissan, setiap perincian sesebuah model ada makna tersendiri. Selain rekabentuk badan, rim atau lencana, satu lagi elemen sering menjadi perhatian ialah warna kaliper brek.
Ramai mungkin menganggap sekadar hiasan, tetapi faktanya, Nissan menggunakan warna kaliper sebagai bahasa visual untuk menunjukkan tahap prestasi sistem brek sesebuah model.
Tradisi itu bermula daripada model ikonik Nissan GT-R sebelum diteruskan kepada model prestasi lain seperti Nissan Z dan Armada NISMO.
Berikut maksud di sebalik setiap warna kaliper brek Nissan.
1. Kaliper Perak – Untuk Pemanduan Harian
Kaliper perak ialah konfigurasi standard bagi kebanyakan model Nissan. Walaupun sistem brek direka untuk memberikan kuasa membrek meyakinkan dalam pelbagai kondisi jalan raya, tetapi lebih dioptimumkan untuk kegunaan harian dan bukan pemanduan agresif atau di litar.
Contohnya, Nissan Kicks 2026 menggunakan kaliper perak sebagai ciri standard.
2. Kaliper Merah – Lambang Prestasi Lebih Tinggi
Kaliper merah menandakan model tersebut dilengkapi sistem brek prestasi lebih tinggi.
Pada Nissan Z 2027, varian Sport masih menggunakan kaliper perak. Namun, varian Z Performance menerima naik taraf ketara menerusi sistem brek Akebono dengan:
- Kaliper brek 4-piston aluminium (depan)
- Kaliper brek 2-piston aluminium (belakang)
Sebagai perbandingan, Z Sport hanya menggunakan:
- Kaliper brek 2-piston besi tuang (depan)
- Kaliper brek 1-piston besi tuang (belakang)
Selain itu, cakera brek turut dibesarkan kepada:
- Depan: 14 inci (Sport: 12.6 inci)
- Belakang: 13.8 inci (Sport: 12.1 inci)
Pengurus Perancangan Produk Nissan Amerika Utara, Derek Kramer berkata, warna merah memberikan identiti prestasi yang mudah dikenali, terutama apabila dipadankan dengan rim tempa RAYS 19 inci pada Z Performance.
Selain Z Performance, Nissan Armada NISMO 2026 turut menggunakan kaliper merah dengan cakera brek 13.78 inci di depan dan belakang.
Sebelum itu, warna merah juga pernah digunakan pada Nissan 370Z 40th Anniversary Edition 2010.
3. Kaliper Merah Terang – Eksklusif untuk NISMO
Sekilas pandang, kaliper Nissan Z NISMO 2027 kelihatan hampir mirip Z Performance. Namun sebenarnya, Nissan menggunakan tona merah lebih terang, khas untuk model NISMO.
Lebih menarik, sistem brek depan menerima cakera brek dua bahagian (two-piece) yang menggunakan gabungan besi dan aluminium, diadaptasi daripada Nissan GT-R.
Kaliper Akebono itu turut menggunakan cat dan lapisan pelindung khas yang mampu menahan suhu tinggi ketika pemanduan prestasi atau di litar.
Saiz cakera brek juga lebih besar:
- 15 inci (depan)
- 13.8 inci (belakang)
4. Kaliper Emas – Lambang Sistem Brek Brembo
Kaliper emas menjadi identiti model Nissan yang menggunakan sistem brek Brembo. Tradisi ini bermula pada Skyline GT-R R34 yang diperkenalkan di Jepun pada 1999.
Sebelum itu, GT-R memang sudah menggunakan brek Brembo, tetapi dengan kaliper hitam. Sejak kemunculan R34, warna emas menjadi simbol prestasi Nissan dan terus digunakan pada beberapa model lain seperti:
- 350Z Track Edition (2003)
- GT-R R35 (dilancarkan di Jepun, 2007) sebelum memasuki pasaran Amerika Syarikat, 2008
Nissan GT-R R35 menggunakan sistem Brembo dengan:
- Kaliper brek 6-piston (depan)
- Kaliper brek 4-piston (belakang)
5. Kaliper Kuning – Sistem Brek Paling Ekstrem
Kaliper kuning ialah warna paling jarang ditemui pada model Nissan. Ia menandakan penggunaan sistem brek Brembo karbon seramik, iaitu teknologi yang dibangunkan untuk kegunaan litar.
Kelebihan brek karbon seramik adalah:
- Ketahanan tinggi terhadap fenomena brake fade
- Prestasi membrek konsisten walaupun selepas beberapa pusingan di litar
- Keupayaan menahan suhu sangat tinggi
Antara model pernah menggunakan kaliper kuning ialah:
- Nissan GT-R NISMO 2020
- Nissan GT-R Track Edition 2020
Kramer berkata, cat khas pada kaliper itu direka supaya tidak berubah warna walaupun beroperasi pada suhu lebih 1,000ºC.
Edisi Khas yang Langgar Tradisi
Walaupun Nissan ada sistem warna tersendiri, ada juga beberapa model khas yang tidak mengikut ‘peraturan’ tersebut. Antaranya ialah:
- Nissan GT-R50 by Italdesign (2020): Guna kaliper Brembo merah, walaupun kebiasaannya sistem Brembo berwarna emas
- Nissan Z Proto Spec (2023): Guna kaliper Akebono kuning, walaupun bukan sistem brek karbon seramik
Warna yang Bawa Identiti Prestasi
Bagi Nissan, warna kaliper brek bukan sekadar elemen kosmetik. Daripada kaliper perak untuk kegunaan harian hingga kaliper kuning bagi sistem karbon seramik prestasi tinggi, setiap warna ada maksud tersendiri mengenai keupayaan sistem brek sesebuah model itu.
Tradisi yang bermula sejak GT-R itu kini diteruskan pada famili Z moden, sekali gus menjadikan prestasi model Nissan bukan saja dapat dirasai ketika memandu, tetapi dikenal pasti hanya melalui warna kaliper brek.
































