
JENAMA kereta, Mercedes-Benz terus membangkitkan keterujaan peminat apabila mendedahkan teaser terbaharu G-Class Cabriolet 2027, kali ini menampilkan versi AMG G63 dengan bumbung fabrik dibuka sepenuhnya. Model tersebut dijangka menjadi antara pelancaran paling menarik jenama Jerman itu apabila memasuki fasa produksi dalam masa terdekat.
Apa yang paling mencuri perhatian ialah ia bakal menjadi G-Class Cabriolet produksi pertama yang ditawarkan dalam konfigurasi empat pintu. Sebelum ini, semua G-Class bumbung lembut berasaskan casis W460, W461 dan W463 hanya ditawarkan dalam versi dua pintu, kecuali model ultra eksklusif Mercedes-Maybach G650 Landaulet yang dihasilkan sebanyak 99 unit sahaja.
Rekaan Baharu Lebih Praktikal

Berdasarkan video dan imej teaser yang dikongsi Mercedes-Benz, bumbung fabrik baharu itu memanjang sehingga ke bahagian hadapan kabin, berbeza dengan G650 Landaulet yang hanya melindungi ruang penumpang belakang. Ia turut dilengkapi bahagian header yang lebih besar, sekali gus memberi bayangan mekanisme buka dan tutup bumbung mungkin beroperasi secara automatik sepenuhnya.
Dengan bumbung dibuka, kelihatan satu palang silang (crossmember) yang besar di belakang tempat duduk bagi meningkatkan ketegaran struktur badan serta melindungi penumpang sekiranya berlaku kemalangan atau kenderaan terbalik. Walaupun sedikit menjejaskan pengalaman pemanduan terbuka, komponen itu penting bagi memenuhi piawaian keselamatan moden.
Masih Kekalkan Identiti G-Class
Mercedes-Benz turut melakukan beberapa penambahbaikan pada bahagian belakang. Tayar simpanan masih dipasang pada pintu belakang, namun kini menggunakan lengan hayun (swing arm) khas yang membolehkan ia digerakkan secara berasingan.
Pintu belakang juga masih mengekalkan bukaan sisi seperti G-Class standard, tidak lagi menggunakan rekaan pintu lipat ke bawah seperti model Cabriolet terdahulu. Lampu brek ketiga kini dipasang terus pada tayar simpanan, memberikan penampilan yang lebih kemas berbanding rekaan lama.
Dijangka Guna Enjin Sama Seperti G-Class Standard

Dari sudut mekanikal, G-Class Cabriolet 2027 dijangka berkongsi rangkaian enjin sama seperti model hardtop sedia ada. Ini termasuk enjin 3.0L enam silinder sebaris turbo mild hybrid yang menghasilkan 449PS dan 560Nm untuk varian G500, enjin diesel G450d dengan 367PS dan 750Nm, serta enjin 4.0L V8 biturbo pada AMG G63 yang menjana 585PS dan 850Nm.
Mercedes-Benz turut menawarkan G580 with EQ Technology berkuasa elektrik sepenuhnya dengan empat motor elektrik yang menghasilkan 587PS dan 1,165Nm. Namun, varian elektrik itu dilihat kurang sesuai untuk versi Cabriolet memandangkan reka bentuk bumbung lembut dijangka memberi kesan kepada kecekapan aerodinamik dan seterusnya mengurangkan jarak pemanduan.
Setakat ini, Mercedes-Benz masih belum mengumumkan tarikh pelancaran rasmi mahupun harga bagi G-Class Cabriolet 2027, namun berdasarkan perkembangan semasa, model berkenaan dijangka membuat kemunculan penuh sebelum penghujung tahun ini atau pada awal 2027.







