PORSCHE bersedia membuka lembaran baharu dalam sejarah kenderaan utliti sukan (SUV) ikonik, Cayenne Turbo Electric, yang tampil sebagai SUV elektrik (EV) paling berkuasa pernah dihasilkan pengeluar Jerman itu.
SUV EV itu ditayangkan kepada media dan pelanggan terpilih menjelang pelancaran, sekali gus memberi gambaran jelas hala tuju elektrifikasi pengeluar tersebut.
Berdasarkan helaian spesifikasi diterima, Porsche Cayenne Turbo Electric menggabungkan prestasi luar biasa dengan praktikaliti SUV premium, selain mengekalkan DNA pemanduan Porsche yang menjadi identiti sejak sekian lama.
1,156ps, 1,500Nm – SUV EV Porsche Paling Berkuasa
Trenkuasa Porsche Cayenne Turbo Electric terdiri daripada sistem pacuan semua roda elektrik (ePTM) yang menghasilkan output kuasa sehingga 1,156ps (850kW) dengan fungsi Kawalan Luncur (Launch Control) dan tork 1,500Nm.
Prestasi ditawarkan cukup mengagumkan pecutan 0 – 100kmj sepantas 2.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 260kmj, sekali gus meletakkan model itu dalam kelompok SUV elektrik prestasi tinggi dunia.
Rekabentuk Premium dengan Dimensi Besar
Porsche Cayenne Turbo Electric menampilkan dimensi lebih besar dengan ruang kabin luas dan keselesaan maksimum. Berikut dimensi model tersebut:
- Panjang 4,985mm
- Lebar 1,980mm
- Tinggi 1,674mm
Unit dipamerkan menggunakan kemasan Algarve Blue Metallic (biru), dipadankan kabin kulit Leather Black/Turbonite yang menyerlahkan identiti eksklusif varian Turbo.
Sarat Teknologi, Ciri Premium
Sama seperti Porsche moden, Cayenne Turbo Electric hadir dengan pelbagai teknologi terkini bagi meningkatkan prestasi dan keselesaan pemanduan. Antara ciri utama ialah:
- Porsche Active Ride
- Stereng gandar belakang (Rear-Axle Steering)
- Rim Cayenne SportTech 22 inci
- Tayar prestasi 22 inci
- Bumbung panoramik
- Bar tunda elektrik boleh panjang
- Bantuan parkir ParkAssist bersama paparan keliling 2D Surround View
- Paparan dongak (HUD) realiti terimbuh (AR)
- Paparan skrin untuk penumpang (Passenger Display)
- Kerusi sport adaptif 18-larasan elektrik
- Vantilasi dan pemanas kerusi hadapan dan belakang
- Hendal pintu tutup lembut (soft-close doors)
- Soket kuasa 230V di ruang but
- Sistem audio Porsche Electric Sport Sound
- Turut melengkapkan ciri disediakan ialah pengecas telefon wayarles, kemasan hitam kilat pada frem tingkap dan logo lambang Porsche pada perehat kepala kerusi depan.
Jarak Pemanduan hingga 690km, Cas DC 800V
Walaupun helaian spesifikasi dipamerkan tidak mendedahkan kapasiti bateri, Porsche mengesahkan Cayenne Turbo Electric menggunakan arkitektur elektrik 800V, dengan pengecasan pantas (DC) hingga 400kW.
SUV elektrik itu mampu menawarkan jarak pemanduan hingga sekitar 690km (ECE), manakala pengecasan 10 – 80 peratus hanya mengambil masa 16 minit menggunakan pengecas DC kuasa tinggi.
Harga Thailand Mula RM834k, Varian Turbo Cecah Hampir RM1.2 Juta
Sebagai rujukan pasaran Asean, Porsche Cayenne Electric sudah dilancarkan secara rasmi di Thailand dalam tiga varian:
- Cayenne Electric – 6.85 juta baht (RM834,600)
- Cayenne S Electric – 7.35 juta baht (RM895,520)
- Cayenne Turbo Electric – 9.75 juta baht (RM1,187,930)
Harga tersebut meletakkan Porsche Cayenne Turbo Electric antara SUV elektrik premium paling mahal di pasaran Asean, tetapi turut menawarkan prestasi setanding dengan kereta sport prestasi tinggi.
Setakat ini, Sime Darby Auto Performance (SDAP) masih belum mengumumkan sama ada Cayenne Electric akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia.
Namun, model itu sudah debut di Thailand, dan peluang diperkenalkan di Malaysia pada masa akan datang dilihat agak cerah.
Spesifikasi Porsche Cayenne Turbo Electric
- Motor elektrik kembar (ePTM AWD)
- Output kuasa 1,156ps (850kW), dan tork maksimum 1,500Nm
- Pecutan 0 – 100kmj sepantas 2.5 saat
- Kelajuan maksimum 260kmj
- Dimensi panjang 4,985mm, lebar 1,980mm, dan tinggi 1,674mm
- Rim SportTech 22 inci
- Sistem suspensi Porsche Active Ride
- Stereng gandar belakang Rear-Axle Steering
- Bumbung panoramik
- Paparan Penumpang (Passenger Display) untuk unit infotainmen
- Paparan dongak (HUD) realiti terimbuh (AR)
- Kerusi sport adaptif elektrik boleh laras 18-tetapan
- Jarak pemanduan hingga 690km (ECE)
- Cas pantas (DC) sehingga 400kW
- Pengecasan 10 – 80 peratus mengambil masa 16 minit
Dengan kuasa hingga 1,156ps, tork 1,500Nm, teknologi cas pantas 800V dan pelbagai ciri premium lain, Porsche Cayenne Turbo Electric membuktikan SUV EV mampu menawarkan prestasi setaraf supercar tanpa mengorbankan keselesaan dan praktikaliti.
Jika dibawa masuk ke Malaysia kelak, model itu dijangka menjadi antara penanda aras baharu dalam segmen SUV elektrik mewah.
























































































