DARIPADA but hingga beg, dompet, dan tali jam tangan, kulit ialah material premium. Tanpa disangsikan lagi, material tersebut sangat sinonim dengan kemewahan. Cuba anda bayangkan Prada menghasilkan beg tangan daripada gelungan benang kait atau jika Rolls-Royce membalut kerusi model-model keluarannya dengan burlap atau kain guni? Faktanya, semua produk ultra premium sentiasa berhutang budi kepada kulit si lembu.
Suatu masa dahulu, material kulit hanya eksklusif untuk kenderaan mewah yang berharga ratusan ribu dan jutaan ringgit. Namun hari ini, kulit sudah siap ditawarkan pada kereta paling asas dan mampu milik.
BACA >>> Penggunaan Jenis Kayu dalam Kereta yang Perlu Anda Tahu
Namun, apa perlu anda tahu, semua jenis kulit pada kebanyakan kereta moden masa kini berbeza kualiti. Kulit upholsteri Perodua Axia tidak sama dengan apa yang anda lihat pada BMW 7 Series.
Jika anda perasan, bagi kereta dalam kategori mampu milik atau marhaen, pengeluarnya hanya menyebut terma kulit atau leather sahaja apabila memperkatakan tentang kemasan dalaman. Sebaliknya, pengeluar kereta mewah akan memperincikan jenis kulit digunakan seperti Nappa, anilina (aniline), semi-anilina dan vegetable-tanned (perang sayur?) yang bukan sahaja sedap didengar, tetapi juga cantik dipandang.
Persoalannya, apakah semua nama itu sekadar terma pemasaran ataupun ada maksud dan kriteria tersendiri?
KULIT ADA GRED BERBEZA
Pengarah Rekabentuk di GST-Seton AutoLeather (GST-SA) - syarikat pembekal kulit terbesar dunia untuk pengeluar kereta - Nicola Ashley berkata, kulit memberikan banyak nilai kerana orang ramai sudah terbiasa dengan rupa material tersebut yang mudah dilihat pada produk seperti kasut dan beg di pusat beli-belah. Semua pengalaman itu memberikan emosi positif tentang kulit. Tetapi faktanya, tidak semua kulit menawarkan kualiti setara.
"Di mana anda menternak haiwan akan menentukan kemasan material kulit itu. Setiap kulit ada keunikan tersendiri, sama seperti cap jari manusia. Setiap haiwan memiliki tanda atau kecacatan berbeza. Menariknya, kulit lembu jantan kurang berkedut berbanding lembu betina kerana haiwan jantan tidak hamil."
Selain tanda khas, kulit lembu juga tidak terlepas daripada gigitan serangga dan trauma lain yang boleh menjejaskan permukaan kulit dan mengurangkan gred material tersebut. Jadi, sesetengah penternak sanggup memelihara haiwan-haiwan mereka dalam kandang khas tanpa kawat duri untuk mengelak kecacatan kulit. Hasilnya, kulit haiwan lebih baik, halus dan berkualiti.
Kulit berkualiti tinggi boleh saja didapati dari seluruh dunia. Menurut Ashley lagi, kebiasaannya kulit lembu Amerika Utara berkualiti sangat bagus, manakala kulit lembu Jerman juga tidak kurang hebat.
BACA >>> Rolls-Royce Phantom Serenity Tampil Kehalusan, Kecantikan Kimono Klasik Jepun
KULIT ANILINA, SEMI-ANILINA DAN VEGETABLE TANNED
Kulit berkualiti tinggi yang ada pada kenderaan masa kini ialah daripada produk anilina (aniline), semi-anilina dan vegetable-tanned (perang sayur) yang kerap ditemui pada kereta-kereta mewah.
Kulit anilina kebiasaannya bukan jenis timbul (emboss) dan mungkin ada sedikit tambahan tekstur. Tetapi asasnya, anilina ialah jenis kulit yang lembut dan rata. Kulit jenis ini diwarnakan pencelup transparen supaya pengguna dapat melihat lebih banyak tekstur natural.
Menurut Ashley lagi;
"Sangat jelas kualiti yang ada pada kulit anilina sangat bagus. Dengan rawatan terhad, anda dapat lihat sebarang ketidaksempurnaan yang ada."
Kulit vegetable-tanned pula ialah produk yang dihasilkan menggunakan material organik dan digunakan pada kereta bertaraf sangat mewah dan eksotik. Buat masa kini, sangat sedikit kenderaan yang menggunakan jenis kulit tersebut. Rolls-Royce Phantom ialah antara model kenderaan yang menggunakan kulit vegetable-tanned jenama Corinova buatan GST-SA. Tanpa diragukan lagi, Phantom juga ialah kereta mewah paling halus pernah dihasilkan setakat ini.
FULL-GRAIN, NAPPA, DAN SMOOTH EMBOSSED GRAIN
Selangkah di belakang semua produk disebut di atas, ada tiga kriteria material kulit yang kerap diperkatakan, iaitu kulit asli (full-grain), Nappa dan kulit timbul (embossed leather). Dan Nappa ialah antara kulit yang sering disebut-sebut pengeluar automobil.
Nappa ialah jenis kulit asli atau full-grain yang mana permukaan asalnya belum dihapuskan atau diubah. Ini bermakna kulit Nappa memiliki banyak tekstur dan tanda asli. Pada masa sama kulit tersebut juga diberikan sentuhan kemasan untuk mendapatkan lebih ketahanan, termasuk memiliki banyak pigmentasi berbanding produk anilina.
Walaupun melalui proses penaiktarafan, Nappa masih mengekalkan rupa natural kulit itu, di mana permukaan asli kulit tidak diubah secara melampau melainkan sekadar menanggalkan bulu haiwan di atasnya. Kulit anilina sangat kurang pigmen berbanding Nappa. Ini membuatkan produk anilina agak kurang lasak, tetapi lembut dipegang untuk memberikan fiil mewah.
Nappa juga ada banyak permukaan timbul dan mempunyai tekstur unik, sama ada daripada kemasan bercorak teknikal hingga kepada paten eksotik dan butir-butir kerikil (pebble). Keunikan rupa dan fiil yang ada pada Nappa ialah sebab kenapa pengeluar sering memilih kulit jenis ini sebagai material dalaman produk-produk mereka.
BACA >>> Aksesori Dalaman Kereta Paling Dicari Sebaik Saja Dapat Kunci
KULIT LAIN
Kulit dibaik pulih ialah material paling banyak digunakan dalam industri automotif. Kulit jenis ini tidak begitu mementingkan aspek kualiti dan mempunyai banyak kecacatan semula jadi. Justeru supaya boleh digunakan, permukaan kulit tersebut akan digosok atau digilap untuk memudarkan kesan parut atau tanda yang kelihatan.
Anda boleh bayangkan kulit yang dibaik pulih itu seperti dinding rumah yang mungkin ada beberapa kecacatan pada kemasan seperti lubang kecil, serpih dan pecah. Jadi, sebelum dicat, sudah tentu dinding tersebut perlu ditampal simen khas dan digosok kertas pasir supaya permukaannya jadi rata dan licin. Begitu jugalah proses baik pulih kulit, di mana kecacatan yang ada akan dibaiki dan diberikan kemasan supaya tampak sempurna dan cantik.
Kulit belah atau split leather adalah antara kulit gred rendah yang ada di pasaran. Bagaimanapun material jenis ini tidak digunakan dalam industri automotif.
Sama seperti namanya, kulit belah dibuat dengan memotong bahagian tengah tebal kulit untuk mendapatkan dua kepingan bersaiz sama. Ini bermakna daripada hanya sekeping kulit, pengusaha dapat menjadikannya dua keping kulit. Bagaimanapun, disebabkan cuma separuh ketebalan, kulit jenis ini kurang tahan berbanding kulit full-grain, dan memerlukan lebih kerja baik pulih dan kemasan.
KULIT 'SOFT CORINTHIAN'
Anugerah material kulit paling popular mungkin boleh diberikan kepada kulit Corinthian lembut yang boleh ditemui pada coupe Chrysler Cordoba era 1970-80-an yang dipandu aktor, Ricardo Moltaban dalam iklan komersil televisyen ketika itu.
Percaya atau tidak, kulit Corinthian bukan hanya hebat pada nama, tetapi menurut Ashley, nama itu ialah istilah khas yang digunakan untuk kulit benar-benar berkualiti tinggi dan mewah.
"Pada masa itu, Corinthian ialah jenis kulit paling berkualiti tinggi dalam industri."
Menurut Ashley lagi, GST-SA ialah pengeluar yang menghasilkan material itu untuk Chrysler.
TREND MASA DEPAN
Melihat masa depan, penggunaan kulit dijangka akan jadi lebih popular, di mana permintaan akan semakin meningkat. Tetapi, itu bukan bermakna kualiti kulit bertambah baik.
"Kebanyakan jenis kulit yang digunakan dalam kenderaan hari ini sudah dirawat. Pada masa sama pengguna mula mahukan kulit yang lebih natural. Kita mahu kulit itu ada rupa dan rasa seperti kulit," kata Ashley.
Kini, ada banyak pengeluar sudah mula mencari semula pengeluar kulit yang mengutamakan kerja-kerja pembuatan tradisional kulit.
Kulit memberikan tarikan visual, dan sentuhan, termasuk bau serta tersemat kemewahan."
- Nicola Ashley, Pengarah Rekabentuk GST-Seton AutoLeather
Atas semua alasan berkenaan, populariti kulit semakin bertambah walaupun di pasaran Asia, pelanggan di rantau itu cenderung tidak mahu kulit yang berbau atau beraroma. Ashley turut mendedahkan bahawa industri fesyen sebenarnya memberikan impak besar terhadap perniagaan kereta.
"Ia bukan sekadar hitam, kuning air dan kelabu yang mengujakan kami sebagai pereka. Kami dapat lihat pelanggan mahukan ciri individualisasi, warna berbeza dan kulit," katanya lagi.
Sama ada ia produk vegetable-tanned ultra premium atau material kulit asli, kulit ialah sesuatu yang diburu pembeli kereta. Selain menambah sentuhan kemewahan walaupun bagi kenderaan paling asas, ada banyak lagi tarikan yang ada pada material kulit.
SUMBER: Auto Guide
gc says
well done
good teaching by u