
SEMPENA sambutan ulang tahun ke-80, Vespa memperkenalkan model khas Vespa Edizione Ottantesimo, sebuah edisi koleksi berasaskan Vespa GTS 310 yang dihasilkan dalam jumlah terhad hanya 1,946 unit di seluruh dunia.
Model istimewa itu diperkenalkan di Foro Italico, Rome pada 25 Jun lalu sebagai sebahagian daripada acara “80 Years of an Icon”, dan sudah boleh ditempah menerusi laman rasmi Vespa.
Penghormatan Untuk Vespa 98 tahun 1946

Jumlah pengeluaran sebanyak 1,946 unit dipilih sebagai penghormatan kepada tahun kelahiran Vespa menerusi pengenalan Vespa 98 pada 1946.
Setiap unit didatangkan dengan nombor siri tersendiri, menjadikannya sebuah model eksklusif yang disasarkan kepada pengumpul dan peminat tegar Vespa.
Kemasan Inspirasi Badan Keluli Ikonik Vespa

Identiti utama Vespa Edizione Ottantesimo ialah kemasan badan unik yang diinspirasikan daripada besi/keluli mentah, sebagai penghormatan kepada struktur badan monokok keluli yang menjadi antara ciri paling ikonik Vespa sejak diperkenalkan lapan dekad lalu.
Kemasan bertekstur itu digabungkan dengan sentuhan moden melalui penggunaan warna hijau khas pada beberapa komponen utama, sekali gus menghasilkan gabungan elemen klasik dan kontemporari.
Rekabentuk Eksklusif Dengan Sentuhan Klasik

Antara elemen unik model ini ialah:
- Pelana berwarna hijau dengan jahitan tona sama serta corak jahitan melintang.
- Penutup tempat duduk belakang jenis keras yang boleh ditanggalkan bagi memberikan penampilan seperti jentera lumba Vespa klasik.
- Tempat duduk masih diluluskan untuk dua penunggang walaupun menampilkan imej single-seater.
- Rim berwarna hijau diinspirasikan daripada rim keluli tekan milik Vespa 98 (1946), lengkap dengan kemasan diamond-cut.
- Grafik tiga dimensi angka 80 pada kedua-dua sisi badan menggunakan warna hijau sama, dengan rekaan yang menggabungkan logo heksagon ulang tahun dan bentuk menyerupai kepala bolt sebagai simbol karya tangan Vespa.
- Plak peringatan bernombor dipasang di bawah tempat duduk.
Enjin 310 HPE Paling Berkuasa

Vespa Edizione Ottantesimo dibangunkan menggunakan platform Vespa GTS 310 dan dikuasakan enjin silinder tunggal 310 HPE (High Performance Engine), iaitu enjin paling berkuasa pernah digunakan pada sebuah Vespa.
Enjin 4-lejang, 4-injap dengan suntikan bahan api elektronik dan sistem penyejukan cecair itu menghasilkan 25HP @ 6,500rpm serta 28.9Nm @ 5,250rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik CVT bersama torque server dan klac empar kering automatik yang dilengkapi peredam getaran.
Menurut Vespa, model ini menawarkan penggunaan bahan api sekitar 31.25km/l dan memenuhi piawaian emisi Euro 5+.
Ciri Standard

- Lampu LED penuh.
- Paparan TFT berwarna 5 inci.
- Sistem sambungan VESPA MIA sebagai ciri standard.
- Sistem Tanpa Kunci tanpa penggunaan anak kunci konvensional.
- Lampu ihsan pada bahagian belakang perisai hadapan dan ruang simpanan bawah tempat duduk.
- Kawalan cengkaman elektronik (ASR).
- Sistem brek anti-kunci (ABS).
Topi Keledar Khas

Setiap pembelian Vespa Edizione Ottantesimo turut menerima topi keledar khas yang direka sepadan dengan skuter tersebut.
Topi keledar itu menggunakan kemasan kelabu matte yang menyerupai tekstur badan Vespa, dipadankan dengan aksen hijau, manakala grafik angka 80 turut dipaparkan pada bahagian belakang menggunakan rekaan sama seperti pada badan skuter.

Pelbagai Aksesori Rasmi
Vespa turut menawarkan beberapa aksesori rasmi untuk model edisi khas ini, antaranya:
- Kotak simpanan belakang berkapasiti 36 liter dengan warna sepadan badan.
- Kusyen penyandar belakang menggunakan material dan warna sama seperti pelana.
- Rak barangan hadapan dan belakang.
- Pelindung sisi.
- Fairing.
- Penghadang angin.
- Sistem penggera elektronik.

Setiap Pembelian Dapat Buku Eksklusif Assouline
Setiap unit Vespa Edizione Ottantesimo turut disertakan sebuah buku meja (coffee table book) eksklusif terbitan Assouline, jenama penerbitan mewah yang terkenal dengan buku berkaitan seni, budaya, gaya hidup dan reka bentuk.
Buku khas itu memaparkan perjalanan legenda Vespa menerusi koleksi imej ikonik, termasuk bahan arkib yang jarang dipertontonkan daripada arkib Piaggio, selain mengimbas evolusi Vespa serta pengaruhnya terhadap budaya dan gaya hidup di seluruh dunia.
Spesifikasi Vespa Edizione Ottantesimo

- Enjin: 310cc silinder tunggal 4-lejang, 4-injap, suntikan elektronik HPE, penyejukan cecair
- Gerek x Lejang: 75mm × 70.1mm
- Kuasa maksimum: 25HP @ 6,500rpm
- Tork maksimum: 28.9Nm @ 5,250rpm
- Transmisi: CVT dengan torque server
- Struktur: Badan kepingan logam (sheet metal) jenis load-bearing
- Suspensi hadapan: Lengan ayun sisi tunggal dengan pegas gegelung dan kawalan hidraulik
- Suspensi belakang: Penyerap hentak hidraulik berkembar dengan pelarasan prabeban pegas empat kedudukan
- Brek hadapan: Cakera 220mm dengan ABS
- Brek belakang: Cakera 220mm dengan ABS
- Kawalan cengkaman: ASR
- Tayar hadapan: 120/70-12 (tubeless)
- Tayar belakang: 130/70-12 (tubeless)
- Dimensi (P x L x Jarak Roda): 1,980mm x 765mm x 1,380mm
- Tinggi pelana: 790mm
- Penggunaan bahan api: 31.25km/l
- Kapasiti tangki bahan api: 8.5 liter























