SELEPAS debut di Auto Shanghai 2026, Jetour F700 2027 didedahkan secara rasmi bersama spesifikasi awal, imej rasmi dan beberapa maklumat penting menjelang pelancaran di China.
Lebih menarik, model itu bukan sekadar trak pikap biasa, tetapi dibangunkan sebagai trak pikap hibrid plug-in (PHEV) premium, sekali gus menjadi ‘adik-beradik’ kepada kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah, Jetour G700 yang baru saja ditayangkan di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026, baru-baru ini.
Apa paling mencuri perhatian adalah gabungan prestasi luar biasa dengan keupayaan perjalanan jarak jauh, yang mana F700 Jetour F700 2027 dikatakan mampu menawarkan jarak pemanduan keseluruhan sehingga 1,300km.
Platform Sama Seperti G700, Guna Sistem PHEV 800V
Dari aspek mekanikal, Jetour F700 2027 menggunakan arkitektur sama seperti G700 (foto atas) dengan casis jenis frem bersepadu (integrated frame), dan dipadankan suspensi double-wishbone di depan dan multi-link di belakang.
Nadi utama ialah enjin 4-silinder 2.0L turbo yang menghasilkan output kuasa 210ps dan tork 340Nm, dengan gabungan sistem PHEV 800V.
Jetour bagaimanapun belum mendedahkan kuasa gabungan keseluruhan sistem, tetapi besar kemungkinan berkongsi trenkuasa sama seperti G700 yang menghasilkan output kuasa sekitar 904ps dan tork 1,135Nm menerusi bantuan dwi-motor elektrik.
Jika angka tersebut disahkan nanti, Jetour F700 2027 bakal menjadi antara trak pikap PHEV paling berkuasa pernah dihasilkan.
Bateri Dijangka 34.13kWh, EV Sejauh 100km
Walaupun spesifikasi bateri masih dirahsiakan, Jetour mengesahkan Jetour F700 2027 mampu bergerak sehingga 1,300km dengan tangki penuh dan bateri dicas penuh.
Berdasarkan konfigurasi G700, F700 dijangka menggunakan bateri litium-besi-fosfat (LFP) 34.13kWh, yang mampu memberikan jarak pemanduan elektrik (EV) sekitar 100km, sebelum enjin petrol mengambil alih.
Gabungan kecekapan elektrik untuk kegunaan harian dan enjin turbo bagi perjalanan jauh menjadikan konsep PHEV itu semakin relevan, terutama dalam segmen trak pikap.
Rekabentuk Lasak, Tetapi Premium
Dari segi penampilan, Jetour jelas mahu meletakkan Jetour F700 2027 dalam kategori trak pikap premium. Rekabentuk keseluruhan tampil berkotak (boxy), tegap dan maskulin dengan identiti yang hampir menyerupai G700.
Antara elemen utama ialah:
- Lampu utama LED bentuk segi empat
- Gril depan besar dengan imej garang
- Gerbang roda maskular
- Lampu belakang LED moden
- Badan tinggi gaya off-road
Dari segi dimensi pula, F700 berukuran panjang 5,495mm, lebar 2,050mm, dan tinggi 1,985mm, manakala jarak roda 3,350mm.
Saiz tersebut meletakkan F700 sebaris kebanyakan trak pikap segmen satu tan premium di pasaran.
Kabin Lebih Mewah daripada Kebanyakan Trak Pikap
Jetour turut memberi penekanan kepada aspek kemewahan Jetour F700 2027 yang akan ditawarkan dalam konfigurasi:
- 5-kerusi, atau 4-kerusi dengan kerusi kapten (Captain Seat) di belakang
- Bahagian kabin diilhamkan daripada G700 dengan paparan digital penuh yang memanjang merentasi papan pemuka.
Turut melengkapkan kabin ialah:
- Unit infotainmen skrin sentuh 15.6 inci
- Konsol tengah moden
- Kawalan sistem pacuan empat roda (4WD)
- Pelbagai fungsi pintar dan ciri premium
Suasana dalam kabin lebih menyerupai SUV mewah berbanding sebuah trak pikap kerja tradisional.
Sudah Disahkan ke Filipina, Bagaimana Malaysia?
Berita dari negara jiran, Jetour Auto Filipina sudah mengesahkan Jetour F700 2027 bakal memasuki pasaran negara itu, walaupun tarikh pelancaran masih belum diumumkan. Ia dijangka diperkenalkan sama ada penghujung tahun ini atau awal 2027.
Bagi Malaysia pula, belum ada sebarang pengesahan rasmi Jetour Malaysia.
Namun melihat trend semasa pasaran tempatan yang semakin menerima teknologi PHEV, tidak mustahil F700 turut dipertimbangkan pada masa akan datang, terutama jika jenama itu mahu memasuki segmen trak pikap premium.
Jika benar dibawa masuk, Jetour F700 2027 bakal berdepan saingan seperti BYD Shark 6, Ford Ranger PHEV, GWM Cannon Alpha PHEV dan beberapa model trak pikap elektrifikasi lain yang dijangka memasuki pasaran dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Dengan kuasa berpotensi mencecah 904ps, jarak pemanduan 1,300km, teknologi 800V dan kabin bertaraf SUV premium, Jetour F700 2027 dilihat mempunyai semua ramuan untuk menjadi antara trak pikap PHEV paling menarik di pasaran global.
SUMBER: AutoIndustriya



















