
BARU-BARU ini Mitsubishi memaklumkan kehadiran Pajero baharu yang kini sedang giat dibangunkan. Namun, selain Pajero, Mitsubishi sebenarnya sudah mempunyai sebuah SUV besar, canggih dan mewah menerusi Outlander generasi keempat.
Model yang diperkenalkan sejak 2021 itu merupakan SUV perdana (flagship) Mitsubishi, namun sehingga kini masih belum memasuki pasaran ASEAN termasuk Malaysia.
Terbaharu, Mitsubishi Outlander PHEV menerima beberapa penambahbaikan untuk pasaran Jepun, melibatkan sistem bantuan pemandu dan ciri kemudahan harian yang lebih praktikal.
Outlander PHEV dibangunkan berasaskan konsep EV untuk kegunaan harian, hibrid untuk perjalanan jauh.

Pada kemas kini besar Oktober 2024, model itu menerima bateri baharu yang meningkatkan jarak pemanduan elektrik dan prestasi pecutan, selain penambahbaikan pada reka bentuk, kabin serta sistem audio premium yang dibangunkan bersama Yamaha.
Sebagai sebuah PHEV, Outlander boleh dipandu dalam mod EV sehingga 102 km dan 106 km, bergantung kepada varian.
Menariknya, Outlander PHEV turut muncul sebagai model PHEV paling laris di Jepun selama dua tahun berturut-turut bagi tahun fiskal 2024 dan 2025.
Sistem bantuan Pemandu Dipertingkat
Kemas kini utama membabitkan penambahan fungsi Leading Car Departure Notification (LCDN) menerusi pakej bantuan pemandu Mitsubishi e-Assist.
Sistem tersebut akan mengesan apabila kenderaan di hadapan mula bergerak ketika berhenti di lampu isyarat atau dalam kesesakan lalu lintas.
Jika pemandu masih tidak bergerak, amaran akan diberikan melalui bunyi amaran dan paparan pada kluster meter.
Kini Boleh Buka dan Kunci Pintu Automatik

Outlander PHEV turut menerima fungsi baharu yang membolehkan pintu dibuka dan dikunci secara automatik tanpa perlu menekan butang pada kunci.
Apabila pemilik menghampiri kenderaan pada jarak kira-kira satu meter sambil membawa kunci pintar (keyless operation key), pintu akan dibuka secara automatik.
Status nyahkunci boleh dikenal pasti menerusi:
- Lampu kecemasan berkelip
- Lampu posisi, lampu belakang dan lampu nombor pendaftaran menyala
- Bunyi pengesahan (answer-back buzzer)
- Cermin sisi terbuka secara automatik
Apabila pemandu meninggalkan kenderaan dan bergerak melebihi kira-kira tiga meter, sistem akan mengunci pintu secara automatik.
Pada masa sama:
- Lampu kecemasan akan berkelip
- Bunyi pengesahan akan kedengaran
- Cermin sisi dilipat secara automatik
Trenkuasa PHEV 2.4 liter dan bateri 22.7kWj

Outlander PHEV menggunakan enjin petrol 2.4 liter MIVEC DOHC 16-injap empat silinder.
Enjin:
- Kuasa maksimum: 133PS (98kW) @ 5,000rpm
- Tork maksimum: 195Nm @ 4,300rpm
- Nisbah mampatan: 11.7:1
- Tangki bahan api: 53 liter
Motor elektrik:
- Motor depan: 85kW, 255Nm
- Motor belakang: 100kW, 195Nm
- Output berkadar: 40kW depan / 40kW belakang
Bateri:
- Jenis: Litium-ion
- Kapasiti: 22.7kWj
- Voltan keseluruhan: 355V
Harga Mitsubishi Outlander PHEV 2026 di Jepun
- M (5 tempat duduk) – 5,369,100 yen (RM136,800)
- G (5 tempat duduk) – 5,985,100 yen (RM152,500)
- G (7 tempat duduk) – 6,076,400 yen (RM154,800)
- P (5 tempat duduk) – 6,419,600 yen (RM163,500)
- P (7 tempat duduk) – 6,510,900 yen (RM165,900)
- P Executive Package (5 tempat duduk) – 6,700,100 yen (RM170,700)
- P Executive Package (7 tempat duduk) – 6,791,400 yen (RM173,000)
- BLACK Edition (5 tempat duduk) – 6,810,100 yen (RM173,500)
- BLACK Edition (7 tempat duduk) – 6,901,400 yen (RM175,800)
Pelanggan di Jepun turut layak menerima subsidi kenderaan tenaga bersih sebanyak 840,000 yen (sekitar RM21,400).











