
ISU helmet tanpa pensijilan SIRIM sering jadi persoalan dalam kalangan penunggang di Malaysia. Secara asas, helmet tanpa SIRIM bukan terus dianggap salah, tetapi ada syarat penting yang perlu dipatuhi sebelum ia boleh digunakan di jalan raya.
Helmet Buatan Malaysia, Wajib SIRIM

Pertama, untuk helmet buatan tempatan, pensijilan SIRIM adalah wajib. Namun bagi helmet import, ia tidak semestinya perlu SIRIM, asalkan mempunyai pensijilan antarabangsa yang diiktiraf, khususnya piawaian ECE R22.06 yang kini menjadi rujukan utama.
Apa yang ramai tak tahu, di Malaysia, kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memainkan peranan penting.
Ini bermakna, walaupun helmet tidak mempunyai pelekat SIRIM, ia masih boleh digunakan jika memenuhi piawaian yang diluluskan dan diiktiraf JPJ.
Bahasa mudahnya, sebarang helmet yang dijual di Malaysia akan melalui pemeriksaan dan kelulusan daripada pihak JPJ sebelum dijual dalam pasaran tempatan.
Helmet Ada DOT, Wajib Ada SIRIM

Bagaimanapun, ada satu perkara penting – piawaian DOT FMVSS 218 sahaja tidak mencukupi untuk pasaran Malaysia.
Helmet dengan pensijilan DOT perlu mempunyai pensijilan ECE untuk dianggap sah digunakan. Perkara sama juga terpakai untuk piawaian lain seperti SNELL.
ECE pula diiktiraf sebagai piawaian di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) dan digunakan secara meluas di lebih 60 negara, menjadikannya antara standard keselamatan helmet paling ketat dan relevan ketika ini.







