PERODUA Ativa AV dengan harga RM72,000 ialah varian paling premium dalam barisan famili model kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu yang baru saja dilancarkan pengeluar nasional itu, minggu lalu.
Kami tahu ramai sudah berangan dan berkemampuan memiliki SUV segmen-A tersebut. Namun, pernahkah anda terfikir ada model jenama lain yang boleh dibeli pada harga tersebut? Jangan terkejut, sebenarnya ada 12 model kereta pelbagai jenama yang boleh dibeli dengan bajet Ativa AV.
Dalam artikel ini, kami letakkan julat harga antara RM70,000 dan RM80,000 untuk memudahkan anda menimbangkan model pilihan. Apapun masing-masing model ada kelebihan. Jika anda termasuk dalam kluster 'baik beli', artikel ini memang untuk anda. 😚
1. TOYOTA YARIS 1.5J (2021) - RM70,940
Toyota melancarkan Yaris facelift hujung tahun lalu. Dalam julat harga Ativa AV, anda boleh dapatkan varian paling asas, iaitu Yaris J yang dijana enjin berkuasa 105hp @ 6,000rpm dan tork 140Nm @ 4,200rpm dengan transmisi CVT 7-kelajuan. Varian asas ini disertakan 7 beg udara tetapi tidak diberikan ciri bantuan pemandu Toyota Safety Sense yang hanya eksklusif untuk E dan G. Bagaimanapun, sistem keselamatan lain adalah standard untuk semua model Yaris, iaitu Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) dan Kawalan Traksi (TRC).
Bagi golongan bujang atau famili kecil yang tidak memerlukan banyak ruang, Yaris mungkin alternatif terbaik selain Ativa AV. Hatchback Toyota ini memang cantik dan sesuai dengan mereka yang berjiwa muda. Nak pandu di kawasan bandar pun lebih mudah sebab bersaiz kompak walaupun Ativa pun tidaklah besar mana.
2. HONDA JAZZ 1.5L S | E (2017) - RM72,511.54 | RM78,161.82
Satu lagi hatchback boleh dibeli dalam julat Ativa AV ialah Honda Jazz varian S dan E. Model ini menggunakan enjin 4-silinder 16-injap 1.5L SOHC i‑VTEC yang menghasilkan 120hp dan tork 145Nm. Varian paling asas didatangkan dengan 2 beg udara SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA). Varian E pula ditambah 2 beg udara sisi, Bantuan Mula-Daki (HSA) dan Signal Henti Kecemasan (ESS).
Hatchback ini lebih berkuasa daripada Yaris, tetapi kurang dari segi ciri keselamatan. Model ini juga sudah agak lama berada di pasaran. Pilihan terletak di tangan anda, nak lebih kuasa atau lebih ciri keselamatan?
3) KIA RIO EX (2018) - RM78,888
Hatchback terakhir dalam senarai ini datang dari Korea. Kia Rio dikuasakan enjin 1.4L MPI DOHC D-CVVT berkuasa 99hp dan tork 133Nm dengan transmisi automatik 6-kelajuan. Pakej keselamatan diberikan ialah Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantuan Mula Daki (HSA), Agihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Stabiliti Eletronik (ESC), Amaran Titik Buta (BSW) dan 6 beg udara.
Jika anda bosan dengan kereta Jepun sebab terlalu klise, bolehlah cuba kereta Korea ini. Walaupun kuasa Rio paling rendah berbanding Yaris dan Jazz, transmisi automatik 6-kelajuan ditawarkan adalah kotak gear paling ringkas dan tidak banyak kerenah. Ini pasti memberikan kelegaan kepada anda sepanjang memiliki hatchback ini.
4. TOYOTA VIOS 1.5J (2021) - RM74,623
Satu lagi produk Toyota ialah Vios facelift (2021). Dengan tambahan kira-kira RM2,000 daripada harga Ativa AV, anda sudah boleh dapat Vios J, iaitu varian paling asas. Kereta ini mempunyai spesifikasi sama seperti Yaris, tetapi versi sedan. Ciri keselamatan juga hampir sama.
Jadi, jika anda seorang yang tidak sukakan terikut-ikut dengan trend SUV, dan mahu nampak berbeza, sedan ini mungkin pilihan anda.
5. HONDA CITY 1.5S (2020) - RM74,191
Satu lagi sedan boleh dibeli ialah Honda City 1.5 (2020), iaitu varian paling asas S pada harga murah sedikit daripada Vios.
City 1.5 dijana enjin 1.5L DOHC i-VTEC berkuasa 119hp dan tork 145Nm serta dipadankan transmisi CVT, dan sedan ini juga sedikit lebih berkuasa daripada Vios dan Yaris. Namun, beg udara disediakan cuma empat sahaja. Ciri keselamatan lain ialah Bantuan Stabiliti Kenderaan (VSA), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Eletronik (EBD), Bantuan Brek (BA) dan Bantuan Mula Daki (HSA).
Sedan ini adalah model sedan subkompak bukan nasional paling popular di Malaysia dengan mendapat banyak respons positif daripada kalangan pembeli. Jadi ia pasti tidak akan mengecewakan anda. Jika anda mahukan sedan dengan ekstra kuasa, inilah modelnya. Namun, sama seperti perbandingan antara Jazz dan Yaris, jika anda lebih mementingkan ciri keselamatan, tawaran Vios lebih menarik.
6. NISSAN ALMERA 1.5L E BLACK SERIES (2018) - RM74,199
Pada harga bawah RM80,000, anda boleh mendapatkan varian terendah Nissan Almera edisi hitam, iaitu E. Model ini dikuasakan enjin 1.5L DOHC yang menghasilkan 100hp, dan tork 139Nm serta menggunakan teknologi 'Drive-by-Wire'. Ciri keselamatan kereta ini ialah Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Eletronik (EBD) dan 4 beg udara.
Apa yang membuatkan model ini lebih menarik berbanding Vios dan City ialah tawaran kemasan 'Black Series' bernilai RM8,500 pada gril depan, penutup cermin sisi, spoiler, rim aloi jejari-Y 15 inci dan kit aero Tomei (skirt sisi, bampar depan dan belakang). Bagaimanapun sedan ini sudah terlalu lama berada di pasaran dan mungkin kurang menggiurkan.
7. PERODUA ARUZ 1.5 X | AV (2019) - RM72,900 | RM77,900
SUV Perodua ini mempunyai tanda harga yang mahal sedikit daripada Ativa tetapi masih boleh dipertimbangkan. Model ini dikuasakan enjin 4-silinder 1.5L dengan blok aluminium Dual VVT-i bersama kotak gear automatik kawalan elektronik (E-AT) yang menghasilkan kuasa 103hp dan tork 136Nm. Atas kertas, enjin ini menghasilkan lebih kuasa, tetapi kurang tork berbanding Ativa.
Namun, saiz Aruz yang lebih besar daripada Ativa adalah kelebihan utama model ini. Ciri keselamatan disediakan ialah 6 beg udara, Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC), Bantuan Mula-Daki (HSA) dan ISOFIX. Bagi Aruz varian AV, ciri keselamatan tambahan ialah bantuan keselamatan termaju (ASA) 2.0.
Walaupun Aruz nampak agak ketinggalan dari segi spesifikasi dan teknologi, tetapi model ini ada kelebihan ruang berbanding Ativa iaitu 7-kerusi. Model ini pastinya menjadi daya tarik utama kalangan pembeli yang sudah berkeluarga, ciri ini memang tidak boleh diendahkan.
8. PROTON X50 1.5T STANDARD (2020) - RM79,200
Rasanya anda semua sudah penat dengan perbandingan antara Ativa dan X50. Namun, tidak boleh dinafikan harga Ativa AV dengan Proton X50 varian terendah ini berada dalam julat harga sama, cuma ekstra dalam RM7,200. Varian standard X50 dipadankan enjin 3-silinder 1.5T berkuasa 148hp @ 5,500rpm, dan tork 226Nm @ 1,500-4,000rpm dengan transmisi dual-klac (DCT) 7-kelajuan.
Ciri keselamatan dimiliki X50 Standard ialah 4 beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Eletronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Brek Pegun Automatik (AHB), Sistem Kawalan Traksi (TCS), Bantuan Pegun Bukit (HHA) dan Bantuan Turun Bukit (DSC).
Memang tidak adil membandingkan dua model ini, tetapi beza harga tidaklah terlalu besar. Jadi, model ini memang patut dimasukkan dalam senarai. Kelebihannta, X50 menawarkan perincian dan kehalusan dari segi kemasan dan prestasi yang meletakkan SUV ini lebih premium berbanding Ativa. Kami boleh katakan ekstra wang yang dilaburkan untuk kereta ini pasti bukan pembaziran.
9. PROTON EXORA BLACK EDITION (2021) - RM69,800
Kali ini kita masuk pada harga bawah RM70,000. Rasanya, kenderaan pelbagai guna (MPV) buatan Proton ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Didatangkan dengan warna serba hitam baharu membuatkan MPV ini nampak elegan dan menawan. Model ini menggunakan enjin 4-silinder 1.6L DOHC VVT Turbo berkuasa 103hp, dan tork 205Nm dengan transmisi CVT.
Pakej keselamatan disediakan ppula terdiri daripada 2 beg udara SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Eletronik (EBD) dan Kawalan Stabiliti Eletronik (ESC).
Jika mementingkan ruang yang selesa untuk keluarga besar anda, inilah keretanya. Dari segi kualiti pemanduan, SUV Ativa lebih baik daripada Exora, tetapi tidak mampu menandingi keluasan ditawarkan model pesaingan berkenaan. Kelemahan Exora, MPV ini berdepan beberapa masalah teknikal yang selalu diadukan pemiliknya. Malah, model ini juga terlalu lama berada di pasaran dan anda mungkin sudah bosan dengan rekabentuknya.
10. TOYOTA AVANZA 1.5E (AT) (2019) - RM77,963
Satu lagi MPV boleh dibeli dalam julat harga Ativa AV ialah Avanza varian terendah, 1.5E. Model ini menggunakan enjin 4-silinder 16-injap 1.5L DOHC Dual VVT-i yang menjana 103hp dan tork 136Nm serta transmisi automatik 4-kelajuan. Ciri keselamatan ditawarkan ialah 2-beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), dan Agihan Brek Eletronik (EBD).
Jika anda mencari MPV dengan bajet bawah RM80,ooo, inilah modelnya. Spesifikasi Exora lebih baik, tetapi dari segi reliabiliti dan ketenangan minda, model Toyota ini memang berbaloi dimiliki. Kelemahannya mungkin rekabentuk 'tua' yang mungkin kurang diminati sesetengah pembeli walaupun Toyota cuba menyegarkan model ini dengan penampilan lebih moden.
11. HAVAL H1 Elite - RM72,289
Ramai cakap inilah model paling sesuai dibandingkan dengan Ativa dari segi segmen. Berada dalam kelas SUV mini yang sama, harga ditawarkan untuk varian paling premium ini juga hampir sama dengan Ativa AV. Dijanakan enjin petrol 4 silinder 1.5L aspirasi natural (NA) VVT MPI, berkuasa 105hp @ 6,000rpm dan tork 138Nm @ 4,200rpm dengan transmisi automatik manual, juga dipanggil semi automatik (AMT).
Ciri keselamatan ialah imobiliser, Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek Hidraulik (HBA), Bantuan Mula Daki (HHC) dan Sistem Kawalan Traksi (TCS). Lebih menarik, ciri keselamatan itu diberikan standard untuk semua varian.
Namun, apa yang membuatkan Ativa AV lebih superior ialah sistem bantuan pemandu, ASA 3.0 yang tiada pada model ini. Rekabentuk pula bergantung kepada cita rasa masing-masing. Jika berbelah-bahagi, apa kata pandu uji kedua-duanya dan fikirlah masak-masak.
BACA >>> #PanduUji: Haval H1 - Tegap Macam SUV, Lincah Macam Hatchback
12. MITSUBISHI TRITON QUEST (2019) - RM79,890
Inilah satu-satunya model trak pikap dalam senarai ini. Mitsubishi Triton Quest dikuasakan enjin 2.5L turbodiesel yang menghasilkan kuasa 108hp dan tork 200Nm @ 2,000rpm dengan transmisi manual 5-kelajuan. Ciri keselamatan model ini ialah Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD) dan 2 beg udara.
Jika anda mencari kenderaan yang boleh digunakan untuk melakukan kerja-kerja berat dan lasak, trak pikap ini memang pilihan yang lebih baik berbanding Ativa. Bukan saja boleh memuatkan lima penumpang pada satu-satu masa, tetapi juga muatan berat lain yang mungkin tidak boleh dimasukkan dalam SUV Perodua itu.
Nak beli Ford Raptor mahal sangat, dapat Triton pun jadilah. Tapi, beli apa-apa trak pun nanti dipanggil 'Hailak' juga. Tapi model trak pikap ini antara termurah di pasaran.
KESIMPULAN
Ya, ada banyak sebenarnya kereta yang kita boleh beli dalam julat harga RM70,000-RM80,000 selain Perodua Ativa AV. Kami sudah pun senaraikan pelbagai jenis model kereta dalam harga tersebut. Sekarang, terpulanglah kepada anda untukbuat pilihan terbaik bergantung kepada cita rasa dan keperluan peribadi.
Tidak perlu ikut cakap orang sebab anda juga yang kena bayar bulan-bulan. Fikir dulu, kaji secermat mungkin dan selamat membeli...
BACA >>> #TahukahAnda: 8 Sebab Cermin Depan Kereta Anda Boleh Retak, Pecah
BACA >>> Kucing Atas Bumbung Tak Mahu Turun Punca Tren Batal Perjalanan
Muhammad Arshad Bin Mustapaha says
ya saya setuju.. anda juga yg akan byar bulan2.. pikir dan buat lah timbang tr sewajarnya.. minat setiap org berbeza. yg penting mampu utk dibela.. kerana pemakaian kenderaan bukan sekadar bayaran bulanan semata, tp kos lain seperti servis..tayar.. aircond... aligment balancing.. duit minyak.. duit tol.. duit parking. slmt menjadi pengguna..
Rusli HASSAN says
Harga kurang lebih dgn ARUZ. ARUZ 7 penumpang lebih baik dan bernilai utk dimiliki. Reka bentuk cantik lagi ARUZ.