KALI pertama bertemu Nissan X-Trail baharu ini, ia seolah-olah mempunyai gaya dan aura tersendiri. Bukan saja tampak ranggi, model crossover terbaharu Edaran Tan Chong Motor (ETCM) turut hadir dengan pelbagai ciri dan teknologi keselamatan terkini.
Jika di bandingkan dengan versi terdahulu yang hadir dengan rekaan bulat dan kotak, apa yang boleh saya katakan X-Trail generasi ketiga ini jauh berbeza serta memiliki paras rupa ada Umphh...
Kenapa ada Umphh? Kerana dari semua sudut, rekabentuknya nyata menonjol, luar atau dalam. Jadi, tidak hairanlah ia sudah menerima lebih daripada 1,300 unit tempahan awal.
Di mana letaknya kehebatan model ini sehingga ia mampu menarik minat orang ramai untuk memilikinya? Benarkah X-Trail baharu ini jauh lebih baik berbanding versi sebelumnya? Saya akan kupaskan satu persatu kehebatan model yang dipasang sepenuhnya (CKD) dari kilang Tan Chong di Serendah, Selangor untuk perhatian anda yang sedang tercari-ciri kereta baharu..
Selesai majlis pelancaran, saya bersama rakan media lain diundang memandu uji model ini ke Lumut Perak. Hadir dalam dua varian iaitu 2.0L 2WD dan 2.5L 4WD, harga ditawarkan juga kompetitif selain menawarkan prestasi gagah sama ada dipandu di lebuh raya ataupun laluan off- road.
HARGA: (atas jalan termasuk insurans)
- 2.0L 2WD: RM142,800
- 2.5L 4WD: RM165,800
PESAING:
- Honda CR-V
- Mazda CX-5
5 WARNA PILIHAN:
- Perak (Tungsten Silver)
- Hijau zaitun (Titanium Olive)
- Hitam (Diamond Black)
- Biru (Graphite Blue)
- Putih (Brilliant White).
Aspek mekanikal, varian 2.0L 2WD dijana unit enjin MR20DD bersama sistem pancitan terus bahan api dan Twin CVTC yang mampu menjana kuasa sebanyak 142hp pada 6,000rpm dan tork 200Nm (4,400rpm).
Bagi varian tertinggi iaitu 2.5L 4WD, ia dikuasakan unit enjin QR25DE-k2 dengan CVTC yang mampu menghamburkan kuasa maksimum 170hp pada 6,000rpm dan tork 233Nm (4,000rpm).
Kedua-dua varian ini dilengkapi kotak gear Xtronic CVT Generasi Seterusnya dengan mode manual 7-kelajuan serta sistem ECO mode untuk menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik.
Selain itu, varian 2.5L juga dilengkapi dengan sistem ALL MODE INTELLIGENT 4x4 (4x4-i) yang menawarkan pilihan di antara pacuan dua roda, Auto Mode atau Lock Mode untuk pacuan empat roda sepanjang masa.
LUARAN:
Nampak sama tapi bukan serupa. Itulah pandangan pertama saya apabila melihat rekaan hadapan X-Xtrail yang tampak seiras dengan model Murano.
Hadir dengan rekaan sporty dan bergaya, X-Trail dilihat masih mengekalkan beberapa aspek signatur Nissan. Ia didatangkan gril berbentuk V bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk Boomerang.
Rekaan sporty dan digabungkan bersama teknologi inovatif, Nissan X-Trail serba baharu mampu menjadi antara crossover yang serba boleh untuk menghadapi apa jua jenis jalan.
Melihat pada kedua-dua varian iaitu 2.0L 2WD dan 2.5L 4WD, rekaan luarannya adalah tidak banyak beza. Cuma terdapat beberapa perbezaan. Antara kelebihan varian 2.5L 4WD adalah menerusi lampu utama LED, lampu isyarat membelok LED. Roof Rails dan rim aloi bersaiz 17 inci.
DALAMAN:
Selain rekaan luar yang mantap, jentera ini turut mengutamakan intipati keselesaan kepada pemiliknya. Sewaktu berada di dalamnya, ia memaparkan imej ‘simple’ tetapi bergaya. Segala yang perlu dapat dicapai dengan mudah.
Ini memberi makna baru kepada keselesaan dan ergonomik. Rekaan dalaman diterap dengan tona premium piano black bagi menambah baik ambien kabin.
X-TRAIL 2.5L 4WD
X-TRAIL 2.0L 2WD
Apa yang menarik perhatian saya, X-Trail menawarkan konfigurasi tempat duduk 5+2. Jika lihat dari luar, anda mungkin tidak perasan kehadiran kerusi belakang baris ketiga. Walau bagaimana, ia hanya sesuai diduduk oleh kanak-kanak atau meletak barang memandangkan ruangan yang agak terhad.
Kapasiti kargonya juga mengagumkan. Anda boleh memuatkan apa sahaja di ruang kargo ini (kecuali lembu, tapi bolehlah cuba) kerana ia boleh memuatkan kapasiti barang sehingga 1,520L 1,520L (tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat rata) dan 550L jika tempat duduk baris ketiga dilipat sepenuhnya).
Selain kehadiran rekaan lebih segar dan dinamik, X-Trail serba baharu turut menampilkan teknologi kawalan chasis termaju yang pertama seumpamanya di dunia.
- Sistem Active Ride Control: Berfungsi mengurangkan pergerakan atau olengan tubuh kenderaan dirasai oleh pemandu ketika melalui jalan tidak rata dengan mengawal kuasa tork enjin dan brek.
- Sistem Active Engine Brake: Mengubah suai kuasa brek enjin untuk membantu pemandu mengurangkan kelajuan apabila membelok atau hendak memberhentikan kenderaan.
- Sistem Active Trace Control: Ciri pertama disematkan pada kenderaan Nissan berfungsi mengagihkan tekanan brek kepada roda tertentu secara automatik untuk mengurangkan masalah understeer dan membantu pemandu mengawal kenderaan ketika mengambil selekoh.
- Around View Monitor: Sistem yang memudahkan urusan memarkir kenderaan dengan kehadiran empat unit kamera yang memberi gambaran sekeliling kenderaan dari pandangan atas, pertama dalam kelasnya.
Sepanjang mengemudi X-Trail ke Lumut, Perak, kami sempat mengujinya di laluan off-road sejauh 5km yang terletak di Rawang. Walaupun hanya 5km, ia sudah dapat membuktikan kemampuannya.
Saya sempat bergurau pada rakan media lain, "alahai sayangnya kereta baru dah kena lenjan off-road. Kereta cantik pulak tue".
Berbalik cerita pemanduan off-road, kami diberikan varian 2.5L 4WD. Mod pemanduan di letak pada Auto Mode yang membolehkan ia menukar kepada pacuan empat roda secara automatik sekiranya diperlukan. Laluan berbukit, batu dan berlubang tidak menjadi penghalang.
Bagi mendapat pemanduan lebih menyeronokkan, saya sengaja memadamkan Program Stabiliti Elktronik (ESP). Biarpun ESP dipadamkan, ia masih dapat dikemudi dengan baik dan terkawal. Olengan badan juga tidak begitu terasa ketika melayan selekoh mahupun melakukan pusingan U.
Ketika beraksi di lebuh raya, X-Trail mampu bertindak cemerlang. Kelajuan 200kmj tidak menjadi penghalang buatnya. Sebenarnya agak sukar untuk mencari kelemahan X-Trail baharu ini. Semuanya adalah lebih baik berbanding versi-versi terdahulu. Cuma, kedapan angin masih agak kedengaran.
Secara keseluruhan, saya berpuas hati dan agak tertarik dengan X-Trail. Cuma saya lebih meminat model sedan berbanding SUV. Mungkin saya akan fikirkan sekiranya mempunyai keperluan dan rezeki.
Bagi mereka yang masih terpinga-pinga mencari sebuah SUV pilihan, Nissan X-Trail generasi ketiga boleh dimasukkan dalam pilihan anda.
Leave a Reply