
OMODA UK memperkenalkan kemas kini untuk OMODA 9 SHS P (2026), termasuk pelancaran varian baharu Black Noble yang tampil dengan penampilan lebih eksklusif menerusi tema serba hitam, selain menerima pelbagai penambahbaikan dari segi keselesaan, kemasan kabin, dinamik pemanduan dan ciri praktikal.
Varian baharu itu melengkapkan barisan SUV hibrid plug-in (PHEV) OMODA 9 yang menjadi model utama (flagship) jenama berkenaan di United Kingdom.

Harga bermula £44,995 (RM246,120) bagi OMODA 9 SHS P MY2026, manakala Black Noble dijual pada £46,495 (RM254,330). Kedua-dua varian kini dibuka untuk tempahan dengan penghantaran pertama dijadual bermula Ogos.
Untuk makluman, Malaysia turut menerima OMODA 9 edisi hitam kusam namun bukan untuk model PHEV.
Black Noble Tampil Dengan Identiti Serba Hitam

OMODA 9 SHS P Black Noble menampilkan kemasan badan Iced Jasper Black dengan tema hitam menyeluruh bagi menggantikan kebanyakan elemen krom pada model standard.
Antara perubahan yang diberikan ialah:
- Cat badan Iced Jasper Black kemasan kusam.
- Rim aloi hitam.
- Rel bumbung hitam kusam.
- Kemasan hitam kusam pada bampar hadapan dan belakang.
- Sentuhan fabrik suede hitam pada ruang dalaman.
Gabungan tersebut memberikan penampilan lebih garang dan premium buat pelanggan yang mahukan identiti lebih eksklusif.
Kabin Lebih Mewah dan Selesa

OMODA 9 SHS P 2026 turut menerima beberapa penambahbaikan yang menumpukan kepada keselesaan pemandu dan penumpang.
Antaranya ialah:
- Kerusi hadapan dengan fungsi urutan.
- Pelapik bumbung fabrik suede.
- Pelarasan elektrik kerusi pemandu 8 hala.
- Pelarasan elektrik kerusi penumpang hadapan 6 hala.
- Sokongan paha (thigh bolster) elektrik untuk pemandu.
- Cermin hadapan dengan fungsi pemanas (heated windscreen).
Suspensi Tala Semula

OMODA turut menala semula sistem suspensi bebas yang dipadankan dengan Continuous Damping Control (CDC).
Sistem tersebut melaras redaman penyerap hentak secara masa nyata mengikut keadaan jalan dan input pemanduan bagi meningkatkan kestabilan, kawalan badan, keselesaan tunggangan serta tahap penapisan bunyi di dalam kabin.
Program stereng turut dikemas kini untuk memberikan maklum balas yang lebih baik kepada pemandu.
Trenkuasa SHS PHEV, 449 hp

OMODA 9 SHS P MY2026 kekal menggunakan trenkuasa Super Hybrid System (SHS) yang menggabungkan enjin petrol turbo 1.5 liter dengan bateri 34.46 kWj.
Bagi pasaran UK, sistem itu menghasilkan:
- Kuasa maksimum 449 hp.
- Pecutan 0 hingga 100 km/j dalam 4.9 saat.
- Jarak pemanduan melebihi 700 batu (sekitar 1,127 km).
Selain itu, model MY2026 turut menerima fungsi Vehicle to Load (V2L) yang dipertingkatkan kepada 6.6 kW, membolehkan SUV ini membekalkan kuasa kepada lebih banyak peralatan elektrik luaran.
Malaysia terima OMODA C9 PHEV Spesifikasi Berbeza

Sebagai perbandingan, OMODA C9 PHEV yang dilancarkan di Malaysia Mac lalu dijual pada harga RM208,800.
Model itu menggunakan enjin 1.5 liter turbo bersama tiga motor elektrik dan bateri 34.46 kWj jenis litium ferum fosfat (LFP), menghasilkan 537 PS serta 650 Nm.
Pecutan 0 hingga 100 km/j mengambil masa 4.9 saat, dengan jarak pemanduan elektrik sehingga 145 km (WLTP) dan jarak keseluruhan sekitar 1,100 km.
Sementara itu, Malaysia turut menerima OMODA C9 Matte Black Limited Edition pada Mac lalu dengan harga RM191,800.

Namun, model tersebut hanyalah edisi khas berasaskan varian AWD enjin petrol 2.0 liter turbo, bukannya versi PHEV seperti OMODA 9 SHS P Black Noble di United Kingdom.
OMODA C9 Matte Black Limited Edition dikuasakan enjin 2.0 liter turbo yang menghasilkan 261 PS dan 400 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.
Varian AWD turut dilengkapi sistem suspensi adaptif Continuous Damping Control (CDC).
Sumber: OMODA UK, PaulTan
OMODA 9 SHS-P Black Noble UK
OMODA 9 SHS-P 2026 UK

















