KIA terus meluaskan potensi kenderaan dibina khas (PBV) menerusi Kia PV5 WAV (Wheelchair Accessible Vehicle) yang kini dipilih sebagai model rasmi program perintis Teksi Rekabentuk Universal (UD Taxi) di Seoul, Korea Selatan.
Terdahulu, PanduLaju pernah melaporkan mengenai PBV itu pada Mei 2025.
Bermula 1 Julai hingga Disember 2026, sebanyak 12 unit Kia PV5 WAV akan digunakan dalam projek perintis hasil kerjasama antara Kia dan Kerajaan Metropolitan Seoul.
Menariknya, Kia Malaysia sebelum ini pernah mempamerkan Kia PV5 di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS). Berkekalkan rekabentuk van berkotak ala van Jepun 80-an dan dimensi besar, PV5 terasa lapang dan selesa.
Di sebalik tarikan tersebut, Kia belum mengesahkan sama ada PV5 akan ditawarkan secara rasmi di pasaran tempatan.
Kia PV5 dilihat ada potensi menarik untuk Malaysia menerusi rekabentuk moden, kabin luas dan konfigurasi fleksibel.
Selain sesuai dijadikan van perniagaan atau logistik, konsep dibawa juga menjadikan model itu berpotensi sebagai kenderaan pelbagai guna (MPV) elektrik untuk kegunaan keluarga.
Model Teksi Boleh Guna Semua Penumpang
Berbeza teksi khas untuk orang kurang upaya, UD Taxi direka supaya boleh digunakan pengguna kerusi roda dan penumpang biasa dalam satu kenderaan sama.
Program itu ialah model pengangkutan pertama seumpamanya di Korea Selatan yang bakal memberi keutamaan kepada penumpang berkerusi roda. Penumpang biasa juga boleh menempahnya menggunakan kaedah dan tambang yang sama seperti teksi saiz sederhana sedia ada.
Data penggunaan dan tahap kepuasan pelanggan sepanjang tempoh percubaan enam bulan itu akan digunakan bagi menentukan sama ada perkhidmatan tersebut akan dipeluas pada masa depan.
Direka Khas untuk Mobiliti Lebih Inklusif
Kia PV5 WAV dibangunkan sejak peringkat awal dengan memberi keutamaan kepada kebebasan mobiliti golongan kurang upaya dan warga emas.
Antara ciri utama ditawarkan ialah:
- Kenderaan elektrik rekabentuk universal pertama di Korea Selatan yang boleh digunakan penumpang biasa dan pengguna kerusi roda
- Dibangunkan menggunakan platform khas E-GMP.S dengan lantai rendah dan ruang kabin luas
- Sistem entri sisi membolehkan pengguna kerusi roda memasuki kenderaan melalui bahagian sisi
- Dilengkapi sistem kunci kerusi roda bagi memastikan keselamatan sepanjang perjalanan
- Tempat duduk baris ketiga membolehkan penjaga menemani, selain membantu pengguna kerusi roda ketika perjalanan
Sebelum program bermula, Kia dan Kerajaan Seoul turut mendapatkan maklum balas daripada industri teksi selain mengadakan beberapa sesi demonstrasi bersama pengguna kerusi roda.
Kurangkan Kekurangan Teksi Khas OKU
Menurut Kia dan Kerajaan Seoul, program itu dijangka membantu menangani kekurangan teksi khas untuk orang kurang upaya (OKU) selain memenuhi permintaan mobiliti yang semakin meningkat daripada warga emas dan golongan keperluan khas.
Di negara lain, konsep teksi mesra semua pengguna seperti itu sudah lama digunakan, misalnya Black Cab di Britain dan JapanTaxi di Jepun.
Selain meningkatkan aksesibiliti, penggunaan satu kenderaan untuk operasi teksi biasa dan perkhidmatan kepada pengguna kerusi roda juga dijangka membantu meningkatkan kecekapan operasi dan keuntungan pengusaha teksi.
Kia turut memaklumkan kerjasama seumpama itu akan dipeluas ke bandar dan wilayah lain di Korea Selatan pada masa akan datang.
Spesifikasi Kia PV5 WAV
Kia bagaimanapun tidak memperincikan spesifikasi teknikal kenderaan yang digunakan dalam program perintis itu.
Berdasarkan spesifikasi rasmi PV5 WAV Long Range yang dipasarkan di Korea Selatan, model tersebut menggunakan motor elektrik 120kW dan tork 250Nm, dipadankan bateri 71.2kWj yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 345km mengikut kitaran pensijilan Korea.
- Motor elektrik menghasilkan output kuasa 120kW dan tork 250Nm
- Bateri 71.2kWh
- Jarak pemanduan sehingga 345km mengikut kitaran pensijilan Korea
- Kecekapan tenaga 4.4km per kWj
Memiliki dimensi panjang 4,695mm, lebar 1,895mm, dan tinggi 1,905mm, manakala jarak roda 2,995mm.
Harga Kia PV5 WAV
Di Korea Selatan, Kia PV5 WAV dijual pada harga bermula 51.1 juta won (RM135,860) selepas insentif cukai. Sebelum insentif cukai, model itu berharga sekitar 53.82 juta won (RM143,100).























