iCAUR Malaysia mengesahkan iCAUR V23 kini dipasang tempatan (CKD) di Shah Alam pada harga kekal kompetitif RM132,780 dengan unit pertama dijangka tiba di semua bilik pameran sah akhir bulan ini.
Ini juga model CKD kedua iCAUR selepas iCAUR 03, yang mana langkah itu dibuat selepas iCAUR mengukuhkan momentum sebagai antara tiga jenama kenderaan elektrik (EV) teratas di Malaysia bagi penggal pertama 2026.
Pengeluaran iCAUR V23 versi CKD itu bermula secara rasmi Julai 2026 sebagai komitmen jangka panjang jenama itu terhadap pasaran tempatan.
Persoalannya, apakah beza antara iCAUR V23 versi CKD dan import penuh (CBU)? Jawapannya adalah hampir tiada!
Kualiti, Spesifikasi Tahap CBU, Harga Kekal
Menurut iCAUR Malaysia, SUV EV versi CKD itu mengekalkan sepenuhnya spesifikasi dan kualiti versi CBU tanpa sebarang kompromi, termasuk rekabentuk ikonik dan ciri EV canggih yang menjadi identiti V23.
Pengarah Kanan iCAUR Malaysia, Francis Chin berkata;
Bagi kami, CKD bukan sekadar pencapaian pengeluaran, tetapi komitmen pasaran. V23 membuktikan pembeli Malaysia bersedia untuk EV yang mempunyai personaliti, dan pemasangan tempatan membolehkan kami bertindak balas lebih pantas dengan bekalan lebih yakin.”
Strategi CKD itu membolehkan iCAUR meningkatkan keyakinan bekalan dan mempeluas kehadiran jenama dengan lebih agresif.
Apa Kekal Pada iCAUR V23 CKD?
Mungkin anda tertanya, apakah yang kekal pada iCAUR V23 CKD yang dipasangkan secara tempatan?
- Harga RM132,780, sama seperti versi CBU
- Rekabentuk Boxy retro klasik dengan karakter lasak dan moden, rim 21 inci dan hanya cermin sisi yang sedikit lebih besar untuk versi CKD
- Kualiti standard dan spesifikasi setaraf CBU
- Ciri off-road ringan sama seperti jarak tinggi bumi 210mm dan keupayaan meredah kedalaman air setinggi 600mm
- Dilengkapi ciri standard sama seperti unit infotainmen skrin sentuh vertikal 15.4 inci Quad HD dengan konektiviti wayarles Apple CarPlay, dan Android Auto
- Kerusi dengan fungsi ventilasi untuk keselesaan ketika cuaca panas
- Kapasiti but 234 liter, dan boleh dipeluas hingga 744 liter jika kerusi belakang dilipat
- Perakam video digital (DVR) terbina dalam (dashcam) siap pasang dari kilang
- iCAUR V23 iWD CKD kekal dilengkapi ciri Monitor Pandang Keliling (AVM) 540º dengan pandangan lut sinar bawah kenderaan
- Spesifikasi bateri 81.76kWh dengan jarak pemanduan 430km (NEDC) untuk varian iWD
- Pengecasan pantas (DC) sehingga 104kW
- Pengecasan standard (AC) 6.6kW
- Dilengkapi fungsi kenderaan-kepada-beban Vehicle-to-Load (V2L)
Orang ramai yang berminat dijemput melihat sendiri iCAUR V23 CKD dan membuat tempahan pandu uji di bilik pameran berhampiran.
Sebagai makluman, iCAUR adalah jenama EV global hasil kolaborasi antara Chery dan SmartMi Tech. Jenama tersebut membuat debut global di Pameran Auto Shanghai 2025 dengan sasaran peluasan ke-100 negara menjelang 2028.



















