DUCATI Panigale serba baharu (generasi ketujuh/2025) telah dilancarkan di pasaran tempatan pada Oktober lalu.
Seiring dengan teknologi dan pelbagai perubahan, harganya melonjak kepada RM182,900 bagi V4 dan RM230,900 untuk V4 S.
Sebagai perbandingan, untuk model 2023 masing-masing dijual pada harga RM145,900 dan RM188,900.
Pengubat hati mungkin terletak pada Panigale V2 (2025) yang baharu diperkenal ditambah dengan enjin V2 baharu. Turut mengambil tempat, Streetfighter V2 baharu dan kedua-duanya merasmikan enjin silinder berkembar baharu.
Menurut Ducati, Panigale V2 dan Streetfighter V2 merupakan versi paling ringan setakat ini. Daripada segi rekaan, Panigale V2 membawa pengaruh V4.
Gaya depan nampak sama tetapi bukan pada bahagian lain seperti tangki, fairing dan ekor.
Pada bahagian belakang, lampu LED dibahagi kepada dua dan meneruskan tradisi motosikal sport Ducati. Satu yang menarik ialah ekzos dengan dua muncung berada di bawah pelana dan tradisi perlumbaan Panigale.
Letakan itu menampakkan ciri maskulin, ekzos Panigale V4 pula diletakkan di bawah lengan ayun dan model ini tidak perlu menjerit kuasa kerana sudah dikenali dengan berprestasi.
Rim corak Y Panigale V2 adalah terjemahan rim tiga bilah Marchesini.
Semasa ujian pembangunan di litar, Panigale V2 memberikan prestasi setara model sebelum ini. Menurut Ducati, penunggang merasa senang seawal selekoh pertama lagi susulan kurang tenaga fizikal yang diperlukan selain senang untuk mencapai had dan mengekalkannya semasa tunggangan di litar.
Di atas jalan, Panigale V2 menjadi motosikal sport Ducati paling mudah dan menyeronokkan setakat ini. Karakter itu dicapai melalui kedudukan tunggangan yang kurang tertumpu pada bahagian depan, kesenangan tunggangan dan keselesaan haba yang membolehkan penunggang menikmatinya.
Ciri-ciri mudah dan selesa untuk dipandu juga diberi perhatian pada Panigale V4 baharu dan boleh dilihat halatuju pembangunan motosikal sport Ducati.
Streetfighter V2
Motosikal naked ini turut beriringan dengan Panigale V2 dan menjadi Streetfighter paling ringan dan tangkas di jalan raya dan berprestasi di litar. Formula yang digunakan ialah enjin 890 cc, casis Panigale V2, hendal lebar dan tinggi dan berat 175 kilogram (kg).
Turut membentuk karakter, rintangan angin tanpa fairing untuk dinikmati penunggang. 15 kg berjaya dikurangkan pada Panigale V2 dan 18 kg untuk Streetfighter V2.
Sekali lagi gaya depan si 'makhluk asing' ini sama tetapi berbeza dengan V4 dan lebih jelas lagi pada bahagian sisi. Lenggokan ekzos yang berlingkar dan kemudian duduk di bawah pelana begitu menggiurkan.
Tangki minyak, panel belakang dan rim aloi sama seperti Panigale V2. Panigale V2 dan Streetfighter V2 bukan pilihan yang lebih murah daripada V4 tetapi sebuah model yang mahu wujud sendiri.
Enjin V2 baharu
Enjin V2 890 cc dengan pemasaan variabel pada injap kemasukan menghasilkan 120 kuasa kuda (hp). Enjin dengan piawaian Euro5+ ini hanya seberat 54.5 atau 9.4 kg lebih ringan daripada Superquadro dahulu dan enjin silinder berkembar paling ringan dari Ducati.
Untuk bermain di litar, V2S dengan ekzos perlumbaan meningkatkan kuasa kepada 126 hp dan berat turun sebanyak 4.5 kg. Terdapat tiga Mod Kuasa yang tersedia iaitu High, Medium dan Low dengan 95 hp.
Casis dan brek
Casis monokok V2 menggunakan enjin sebagai elemen tegangan (sebahagian daripada kekuatan dan ketegaran rangka).
Lengan ayun berkembar diinspirasi daripada Hollow Symmetrical Swingarm pada Panigale V4 dan menawarkan faedah sama seperti kestabilan ketika keluar selekoh dan rasa tunggangan di litar yang membolehkan penunggang memanfaatkan sepenuhnya tayar lumba (slick).
Fork depan dari Marzocchi dan penyerap hentak Kayaba di belakang. Seperti biasa V2 S lebih istimewa dengan fork dan penyerap hentak Öhlins dan bateri litium-ion yang lebih ringan.
Satu lagi, lengan ayun Streetfighter V2 30 milimeter (mm) lebih panjang daripada Panigale V2 dan dilengkapi damper hendal. Perbezaan itu untuk mengekalkan kestabilan semasa selekoh dan memecut memandangkan model ini tidak mempunyai fairing.
Brek Brembo depan dengan dua cakera 320 mm dan kaliper monoblok M50 memainkan peranan di litar dan jalan raya.
Ciri-ciri Ducati Panigale dan Streetfighter V2 (2025):
Panigale V2 S
- Warna Ducati Red.
- Enjin 890 cc V2, 120 hp@10,750 rpm, 93.3Nm@8,250 rpm.
- Berat tanpa petrol 175 kg.
- Rangka monokok.
- Fork Öhlins NIX-30, penyerap hentak Öhlins.
- Bateri litium.
- Kaliper monoblok Brembo M50.
- Tayar Pirelli Diablo Rosso IV 120/70 dan 200/55.
- IMU 6-paksi.
- Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC), Ducati Power Launch dan Ducati Pit Limiter (DPL), Ducati Quick Shift (DQS) 2.0, Engine Brake Control (EBC), ABS dengan pembelokan.
- Skrin TFT 5-inci.
- Mod Race, Sport, Road, Wet.
- Lampu besar LED dengan DRL.
Panigale V2
- Warna Ducati Red.
- 2 tempat duduk.
- Berat tanpa petrol 179 kg.
- Showa Big Piston Fork (BPF) 43 mm, boleh laras.
- Penyerap hentak Sachs, boleh laras.
- Ducati Power Launch dan Ducati Pit Limiter (DPL) - aksesori pilihan.
Streetfighter V2 S
- Warna Ducati Red.
- Enjin 890 cc V2, 120 hp@10,750 rpm, 93.3Nm@8,250 rpm.
- Berat tanpa petrol 176 kg.
- Rangka monokok.
- Fork Öhlins NIX-30, penyerap hentak Öhlins.
- Bateri litium.
- Kaliper monoblok Brembo M50.
- Tayar Pirelli Diablo Rosso IV 120/70 dan 200/55.
- IMU 6-paksi.
- Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC), Ducati Power Launch dan Ducati Pit Limiter (DPL), Ducati Quick Shift (DQS) 2.0, Engine Brake Control (EBC), ABS dengan pembelokan.
- Skrin TFT 5-inci.
- Mod Race, Sport, Road, Wet.
- Lampu besar LED dengan DRL.
Streetfighter V2
- Warna Ducati Red.
- 2 tempat duduk.
- Berat tanpa petrol 177 kg.
- Showa Big Piston Fork (BPF) 43 mm, boleh laras.
- Penyerap hentak Sachs, boleh laras.
- Ducati Power Launch dan Ducati Pit Limiter (DPL) - aksesori pilihan.
Ducati Panigale V2 2025:
Ducati Panigale V2S 2025:
Ducati Streetfighter V2S 2025:
Leave a Reply